Erra Fazira kabur status hubungan dengan Shahir




Erra sendiri tidak pasti dimanakah kedudukannya serta status hubungan bersama Shahir.

Pelakon dan penyanyi popular, Erra Fazira enggan memberi sebarang kenyataan berhubung status terkini hubungannya dengan Shahir Zawawi, biarpun lelaki itu sudah beberapa kali pernah menyuarakan hasrat untuk menjadikannya sebagai isteri.

Alasan Erra, 45, dia sendiri tidak pasti dimanakah kedudukannya serta status hubungan bersama bekas peserta program Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) itu.

“Sejak dari dahulu, kami tidak pernah secara terbuka mengakui bahawa kami ada apa-apa hubungan. Jadi, sama ada hubungan ini menang atau gagal, saya tidak boleh beri sebarang kepastian sebab tidak adil kalau pada awalnya kami tidak mengaku bercinta, tetapi akhirnya saya kata kami sudah putus.

“Susah untuk saya mengiyakan atau menidakkan. Selama ini, kenyataan berkenaan kahwin semuanya datang daripada mulut dia. Tetapi adakah perkara itu terlaksana sehingga ke hari ini? Jadi kalau saya cakap lebih pun tidak elok juga.

“Saya sendiri tidak pasti di mana kedudukan saya. Jadi bagi saya mudah. Kalau tidak pasti di mana kedudukan kita, untuk apa tetap berpaut pada perkara yang tidak pasti. Kalau sudah tahu tapak itu belum kukuh, janganlah terlalu awal untuk membeli bahan-bahannya,” katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar program realiti terbaharu Miss Lawak di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, pemilik nama sebenar Fazira Wan Chik itu turut mengakui sudah lama tidak bertemu dengan Shahir dan hanya berhubungan menerusi WhatsApp dan panggilan telefon.

“Saya dengan dia masih baik dan tidak bergaduh pun. Cuma saya sudah lama tidak berjumpa dengan dia. Sebab itu saya cakap, saya sendiri tidak pasti apa sebenarnya yang berlaku dan apakah hala tuju kami.

“Lelaki tidak faham, apabila mereka menabur kata-kata, ia akan menerbitkan harapan kepada seorang wanita. Apatah lagi perkara sebegini turut memberi kesan kepada keluarga.

“Mungkin bunyinya agak klise tetapi saya berserah dan mengikut sahaja dengan apa yang telah diaturkan Tuhan,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post