
Selepaas hampir tiga tahun hidup menjanda, penyanyi dangdut popular Amelina mengakui masih trauma untuk mencari pengganti bagi mengisi kekosongan hati selepas bercerai dengan bekas suami, Redhuan sekitar 2016.
Menyedari keenam-enam anaknya, Puteri Nur Atirah, 17, Putera Al Affiq, 16, Putera Al Asyraff, 15, Puteri Nur Asyurah, 13, Putera Al Arffa, 11, dan Putera Al Amzar, 9, membesar tanpa kasih sayang seorang ayah membuatkan Amelina lebih berhati-hati dalam soal memilih pasangan.
Namun, jika menemui lelaki yang sepatutnya, Amelina, 44, menyerahkan soal jodoh ke tangan Tuhan kerana fokusnya kini adalah mencari rezeki untuk membesarkan anak-anak.
Ikuti temu bual bersama pelantun lagu Semakin Rindu Semakin Asyik itu ketika ditemui usai final Gadis Panca MyBeauty 2018 yang berlangsung di Dewan Utusan baru-baru ini.
KOSMO!: Bagaimana dengan perkembangan karier anda selepas tamatnya program Gegar Vaganza musim kelima (GV5)?
AMELINA: Alhamdulillah, karier saya berjalan seperti biasa dengan banyak memenuhi undangan persembahan.
Penyertaan dalam program itu ibarat satu kepuasan kerana saya boleh mencuba pelbagai genre lagu. Dari situ dapat membuktikan kemampuan yang selama ini orang lihat saya hanya dengan genre dangdut.
Saya juga baru melancarkan sebuah lagu baharu yang iramanya lebih rancak. Ia kisah hidup saya sendiri yang penuh dengan kekecewaan, sakit hati dan kesedihan.
Bukan sengaja mahu bercerita kisah peribadi, tetapi saya anggap lagu ini sebagai motivasi bahawa penderitaan juga satu anugerah untuk kita berasa gembira. Tidak semestinya apabila derita kita perlu sentiasa bersedih.
Adakah anda ada menerima tawaran menyanyikan lagu selain dangdut selepas tamat GV5?
Sudah tentu ada. Setiap kali mengadakan persembahan, mesti ada permintaan daripada peminat yang mahu saya menyanyikan lagu-lagu lain. Antara lagu kesukaan mereka adalah Segalanya Pasti nyanyian Aida Agil, Seroja (Search) dan Kembali Terjalin (Slam).
Jika ditanya kesediaan saya untuk mencuba lagu berentak lain selepas ini, memang ada. Antara genre yang saya ingin cuba adalah pop balada sebab ia sesuai dengan suara saya. Mungkin nanti saya akan keluarkan koleksi lagu yang dipersembahkan dalam GV5.
Menjelang tahun baharu 2019, mungkin anda ada perancangan terkini untuk karier?
Kalau terlalu merancang sesuatu perkara pun tidak boleh juga. Untuk tahun depan, saya cuma ikut apa yang telah ditetapkan. Niat saya hanyalah satu iaitu bekerja keras bagi mencari rezeki untuk anak-anak. Sebagai manusia, memanglah ada perasaan untuk rancang macam-macam perkara, tetapi semuanya berbalik terhadap aturan rezeki.
Mungkin ada perancangan untuk berkahwin?
Calon pun tiada, macam mana mahu kahwin. Saya sudah melalui pengalaman hidup berumah tangga, ada suami serta anak-anak. Saya cakap terus terang, apa yang saya cari dalam hidup ini hanyalah kebahagiaan sendiri.
Insya-Allah, kalau ada rezeki untuk kembali berkahwin, biarlah orang itu betul-betul sayangkan saya, bukan kerana status saya sebagai penyanyi mahupun sebab simpati.
Saya mahu lelaki itu ikhlas menerima saya seadanya sebagai seorang wanita bernama Norazlina Amir Sharipuddin, bukannya Amelina. Sebab kehidupan realiti saya penuh dengan pancaroba. Orang fikir saya glamor dan gembira, hakikatnya tidak.
Adakah pengalaman lalu membuatkan anda trauma memikirkan soal berumah tangga?
Memang betul. Perasaan trauma itulah yang membuatkan saya reda dan tidak kisah. Kalau ada jodoh, saya teruskan dan jika tiada pun tidak mengapa.
Jadi relaks sahaja sebab kalau sampai masanya, jodoh itu tetap datang. Dahulu pun saya sendiri tidak pernah terfikir akan berkahwin dan tiba-tiba menghilang selama 15 tahun. Jadi sekarang semuanya tentang percaturan Tuhan.
Bagaimana pula dengan anak-anak?
Mereka sangat menyokong dan terbuka andainya saya berkahwin. Cuma apa-apa hal, saya akan tengok penilaian mereka terhadap lelaki yang cuba mendekati saya.
Sebab budak-budak ada naluri jika seseorang itu ikhlas mahupun tidak. Mereka membesar tanpa seorang bapa dan disebabkan itu, anak-anak sangat mengharapkan kasih sayang sebenar.
Sebelum buat sebarang keputusan, kena jumpa dengan anak-anak dulu.