Santesh terima pengiktirafan MBOR




Lagu Amalina versi tamil nyanyian Santesh menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) kerana mencatatkan jumlah tontonan tertinggi sebanyak satu juta tontonan dalam tempoh tiga hari ia dilancarkan dalam laman perkongsian video YouTube.

Santesh atau nama sebenarnya, K. Shanthesh, 31, berkata, pengiktirafan itu amat bermakna sepanjang bergelar penyanyi sekali gus menyuntik semangat untuk menghasilkan lagu yang lebih berkualiti.

"Saya berasa terharu dan terkejut apabila dimaklumkan lagu Amalina versi Tamil tersenarai sebagai lagu Tamil paling pantas menerima satu juta tontonan di YouTube dalam tempoh tiga hari.

“Meskipun ramai kehadiran penyanyi berbangsa India mewarnai industri hiburan, saya tidak sangka lagu nyanyian saya masih menerima sokongan daripada peminat,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbaharunya berjudul Mymuna di sini hari ini.

Menurut Santesh sambutan hangat terhadap lagu Amalina versi bahasa Melayu membuatkan peminat teruja menantikan Amalina versi Tamil.

Katanya, dia tidak menolak tempias penerimaan Amalina versi bahasa Melayu menyumbang pengiktirafan MBOR.

“Apabila versi terbabit dimuat naik dalam laman YouTube, lagu tersebut mendapat sambutan hebat pelbagai lapisan bangsa. Lagu Amalina versi Tamil juga berjaya menduduki carta trending YouTube selama seminggu,” katanya.

Sehingga kini, lagu Amalina versi Tamil mendapat lebih 6.8 juta tontonan manakala versi bahasa Melayu meraih 26 juta tontonan di YouTube.

Post a Comment

Previous Post Next Post