Prospek muzik Sarah Suhairi, Andi Bernadee dan Ben Ladin




Perjalanan seni mereka barangkali masih jauh namun dengan optimisme dan komitmen yang ditonjolkan sepanjang tahun lalu memberi titian populariti luar biasa buat Sarah Suhairi, Andi Bernadee dan Ben Ladin.

Sarah cemerlang dengan status sebagai juara sulung program pertandingan nyanyian Big Stage, Andi boleh disifatkan antara bakat yang baharu yang mudah mencuri tumpuan peminat apabila apa sahaja gimik yang dicetuskannya di sosial media atau ringkasnya disebut sosmed menjadi tular.

Ben pula tidak kurang hebatnya dengan nyanyian rap menerusi single perdana, Hikayat Ben Ladin yang menjadi siulan ramai.

Peluang 2019 Andi Bernadee

MERANGKUMKAN perjalanan karier seninya sepanjang tahun lalu sebagai satu permulaan terbaik selepas single debut berjudul Satu Peluang menerima sambutan hangat, penyanyi Andi Bernadee memasang impian serupa bahkan lebih besar untuk tahun ini.

Ujar penyanyi kelahiran Sabah itu, tahun lalu memberi tuah dan pengalaman manis yang sukar dilupakan kerana itulah momen introduksi dirinya dikenali selepas tiga tahun bertapak dalam industri dengan penyertaan dalam Big Stage dan single Satu Peluang.

Pemilik nama sebenar Andi Azrul Andi Mapangile itu merupakan penyanyi yang dicungkil bakatnya menerusi aplikasi nyanyian Smule.

Memandang ke hadapan dengan harapan menggunung tinggi, Andi, 27, mengatur strategi tahun 2019 bersama pelan yang semakin teratur demi memastikan graf kariernya sentiasa berada dalam posisi selesa.

KOSMO!: Apa yang anda boleh Andi rangkumkan tentang perjalanan karier sepanjang tahun lalu?

ANDI: Saya akui tahun 2018 memberikan tuah yang besar kerana hanya selepas tiga tahun berada dalam industri, barulah saya mendapat tempat dalam hati peminat.

Menerusi lagu Satu Peluang, sebenarnya ia betul-betul memberi peluang untuk saya dikenali. Jadi tahun 2018, saya rangkumkan sebagai penamat penantian saya dalam industri.

Penyertaan dalam program nyanyian Big Stage juga sebenarnya menjadi platform penting yang menjadi titik permulaan saya dikenali ramai. Biarpun tersingkir awal tetapi perkara itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mencuba.

Bagaimana pula dengan perancangan tahun ini?

Jika tiada aral melintang, ada single baharu akan dikeluarkan pada bulan Mac depan.

Untuk lagu itu, saya masih mengekalkan genre reggaeton. Namun, menjelang hujung tahun, sama ada November atau Disember saya akan keluar dengan single ketiga. Menariknya, saya akan bertukar angin dengan membawakan konsep pop atau balada.

Mengapa anda merancang untuk menukar genre muzik?

Jiwa saya lebih sukakan lagu-lagu berentak rancak bukannya perlahan. Orang selalu fikir nada suara saya lebih sesuai untuk lagu berentak sebegitu.

Sejak dari zaman sekolah, saya sudah ajar diri untuk tidak menyanyi lagu balada dan cari genre yang disukai dan menggambarkan personaliti diri. Jadi apabila saya muncul dengan Satu Peluang, orang pun sudah mula tahu itu adalah stail saya.

Cuma untuk single ketiga nanti, saya sengaja memilih pop atau balada untuk mencabar diri mencuba sesuatu yang baharu.

Anda pernah muncul dalam telemovie Korban Penunggu Hospital dan bagaimana anda melihat bakat dalam bidang lakonan?

Telemovie tersebut merupakan lakonan sulung saya. Saya memang sukakan watak Ajib. Biarpun nampak mudah tetapi agak mencabar. Saya perlu bermain banyak emosi selain ada babak paling mencabar ketika wajah saya dihurung lipas yang sangat banyak.

Saya juga merancang untuk terus menghadiri uji bakat untuk mencari lebih ilmu lakonan. Saya sanggup belajar jika diberi peluang dan tidak akan mensia-siakan setiap yang datang depan mata. Selepas telemovie tersebut, ada juga saya menerima tawaran tetapi belum ada kata putus.

Apa yang anda kenal pasti tentang diri ketika berlakon?

Saya boleh mengikis perasaan mahu lebih-lebih apabila berdepan dengan orang dan suasana baharu. Saya juga mula sedar bahawa saya sebenarnya seorang penyabar. Sebab kita memang sedia maklum kalau kerja berlakon bukan ambil masa satu jam atau dua di lokasi.

Impian konsert 2019 Sarah Suhairi

Transisi daripada gadis yang menyanyikan lagu saduran di YouTube menjadi artis rakaman, seterusnya menjuarai program realiti Big Stage bukanlah suatu pengalaman yang boleh dilupakan oleh si genit bernama Sarah Suhairi.

Jika bercakap soal kenangan terindah 2018, perjalanan itulah yang dipegang oleh gadis berusia 18 tahun itu sebagai memori yang sehingga kini masih terasa bagaikan mimpi.

Syukur dan terharu, dua perasaan yang sering dilontarkan apabila ditanya tentang perasaan Sarah berhubung limpahan rezeki dan peluang yang jarang-jarang diperoleh pendatang baharu sepertinya.

Kini, 2018 sudah pun menamatkan kiraan kalendar. Sara pula berdebar-debar memulakan langkah baharu 2019 dengan pelbagai perancangan dan penyusunan karier yang sudah dicatatkan rutin hariannya.

KOSMO!: Bagaimanakah kejayaan menjuarai Big Stage mengubah hidup Sarah?

SARAH: Ia mengubah keseluruhan hidup seorang gadis bernama Sarah Suhairi. Sewaktu mula-mula menyertai Big Stage, saya langsung tidak menjangkakan impaknya bakal menjadikan putaran kehidupan saya berubah 360 darjah kerana saya peserta bukan pilihan.

Sebelum Big Stage, tiada orang mengenali Sarah Suhairi biarpun saya sudah memiliki satu single pada bertajuk Pedih. Saya hanya mencuba nasib kerana minat menyanyi. Apabila dinobatkan sebagai juara, barulah saya sedar betapa platform yang diberikan itu sangat besar dan berharga kerana orang mula memberikan perhatian serius kepada saya.

Apakah perkara paling susah dilakukan apabila bergelar juara?

Cabaran paling sukar adalah untuk kekalkan momentum dan proses adaptasi dengan kehidupan sebagai anak seni. Saya melangkah masuk ke dalam industri sebagai orang yang datang bukan daripada latar belakang keluarga seni, jadi perlukan masa untuk membiasakan diri.

Rasa kepenatan memenuhi jadual undangan yang padat, tiada lagi masa bersama kawan-kawan dan keputusan berat terpaksa ambil untuk menangguhkan proses pengajian juga salah satu daripada proses bergelar penyanyi sepenuh masa.

Namun saya yakin, setiap perkara mempunyai masa tersendiri. Mungkin Allah berikan saya peluang merasai pengalaman bekerja dahulu pada usia muda seperti sekarang.

Adakah tahun 2019 akan menjadi satu tempoh yang sibuk buat anda?

Harapnya begitulah. Saya sudah membuat pelbagai perancangan kerjaya sepanjang 2019. Perasaan teruja, takut dan gementar bercampur-campur tetapi saya percaya, jika tidak berdepan semua perasaan itu saya bukan manusia normal.

Orang sering mengaitkan tahun baharu dengan harapan dan impian baharu, begitu juga dengan saya. Saya dapat rasakan 2019 akan menjadi tahun yang lebih baik, penuh warna serta pengembaraan yang lebih menyeronokkan.

Boleh kongsikan sedikit perancangan yang ada dalam bayangan anda?

Sebuah mini konsert Sarah Suhairi & Friends akan diadakan menjelang hujung tahun nanti. Ya, saya masih terlalu baharu dalam industri dan mungkin ada yang berpendapat saya patut tunggu hingga nama benar-benar kukuh barulah fikir untuk buat konsert.

Namun, hasrat mengadakan mini konsert ini adalah untuk meraikan peminat yang banyak memberi sokongan terutama ketika saya bertanding dalam Big Stage.

Sejak program itu tamat, saya belum berkesempatan mengadakan pertemuan dengan kelab peminat Sarahae. Jadi, dengan mengadakan sebuah mini konsert, kami akan dapat berkumpul untuk berkenalan dengan lebih rapat.

Adakah anda rasa berbekalkan dua buah single cukup untuk mengadakan sebuah mini konsert?

Sebab itulah konsert berkenaan diberi nama Sarah Suhairi & Friends yang bermaksud saya akan memanggil rakan-rakan artis lain untuk turut berkongsi pentas. Bercakap soal single, saya menyasarkan untuk melancarkan sekurang-kurang tiga buah lagu baharu tahun ini. Jadi, bertambahlah rantaian lagu saya pada konsert itu kelak. Impian konsert itu bagaimanapun masih dalam perancangan, cuma saya berharap ia akan jadi nyata.

Suara anda pernah dilabel mirip Dayang Nurfaizah, sekali gus memberi tanggapan anda bakal menjadi pelapis muda berbakat besar. Bagaimana penerimaan anda?

Allahuakbar, teramat besar harapan yang mereka sandarkan kepada saya. Saya masih terlalu mentah dalam dunia nyanyian. Mulanya, saya agak tertekan dengan gelaran sebegitu, namun bagus juga kerana membuatkan saya terus berusaha untuk menjadi lebih baik.

Memasang azam mega sempena tahun baharu 2019, tiga anak muda berbakat besar iaitu Sarah Suhairi, Andi Bernadee dan Ben Ladin komited untuk memberikan yang terbaik dalam kerjaya nyanyian masing-masing.

Post a Comment

Previous Post Next Post