Diplomasi cara Jalaluddin Hassan




Mencecah usia 64 tahun dan terus mendapat permintaan tinggi dalam industri, Datuk Jalaluddin Hassan mendedahkan bahawa rahsia kelangsungan karier seninya selama tidak memerlukan ‘kos’ tertentu, sebaliknya beliau mengambil pendekatan selamat iaitu tidak mencari atau mencetuskan masalah dengan sesiapa.

Selama 28 tahun bergelar anak seni, Jalaluddin sangat menjaga tatatertib dan adab sopan terutama apabila menyentuh soal periuk nasi serta memilih untuk tidak membuat sebarang keputusan mengikut kata hati.

Ditemui bagi sesi fotografi di Studio Utusan sempena promosi filem terbaharunya, XX-Ray 3 baru-baru ini, beliau turut diminta mengulas tentang keluhan beberapa pelakon veteran yang terkilan dengan jumlah bayaran yang dianggap tidak setimpal.

Tersenyum dan menarik nafas panjang sebelum berbicara lanjut, kata beliau, situasi sebegitu memang tidak patut berlaku. Bagaimanapun, sekiranya berat hati, tolak secara baik dan jangan terlalu beremosi sehingga mencetuskan situasi kurang enak bersama pihak produksi.

KOSMO!: Selama dalam industri, adakah Datuk sedar tentang situasi bayaran tidak setimpal yang diterima para pelakon veteran?

JALALUDDIN: Ya, saya sedar dan turut memahami perasaan rakan-rakan seangkatan. Namun mengikut hemat saya, perkara ini boleh diselesaikan dengan baik dan tidak perlu diperbesarkan kerana ia tidak membawa kebaikan kepada mana-mana pihak. Bukan saya hendak menyokong penerbit atau mengiakan golongan pelakon, tetapi kita sama-sama mencari rezeki dalam industri. Jadi, silaturahim perlu dijaga.

Adakah anda berkata begitu kerana tidak pernah mengalami situasi sama?

Siapa kata saya tidak pernah mengalami keadaan serupa. Kadang-kadang tawaran datang daripada rakan-rakan yang saya kenal, jadi susah untuk ditolak.

Prinsip saya adalah berbincang sehingga kedua-dua belah pihak berpuas hati. Jika tidak suka atau setuju, tolak sahaja dengan baik dan tidak perlu untuk menghebahkannya di media sosial. Yakinlah rezeki Allah itu luas.

Jika satu terlepas, pasti ada yang lebih baik menanti, itu sahaja yang sering saya amalkan. Namun itu adalah pendapat peribadi saya, setiap orang berhak menggunakan laman sosial mereka mengikut pertimbangan masing-masing dan saya tidak mahu jadi pihak yang menghakimi.

Apakah alternatif yang anda lakukan jika bayaran yang ditawarkan tidak memenuhi permintaan?

Sebagai orang lama, pasti kita sudah tahu selok belok industri. Jika penerbit tidak mampu membayar lebih, maka ada beberapa syarat yang ditetapkan dalam jadual penggambaran. Jika kedua-dua pihak bersetuju barulah tawaran boleh diterima. Andai tidak mampu berkompromi, anggap sahaja tiada rezeki.

Menyentuh sedikit soal peribadi, boleh kongsikan kehidupan anda selepas setahun beristeri baharu?

Hidup saya semakin teratur apabila ada isteri (Datin Rapidah Abd. Ghani) yang menguruskan makan, pakai, sakit dan demam saya. Saya bersyukur dipertemukan dengan wanita yang sudi menjadi teman hidup ketika usia semakin lanjut. Ternyata doa arwah ayah saya, Tan Sri Hassan Azhari yang mahu melihat saya kembali beristeri sebelum beliau meninggal dunia termakbul.

Pernahkah anda terfikir untuk kembali berumah tangga selepas kematian isteri pertama?

Tidak, selepas isteri saya meninggal dunia, pintu hati saya tertutup dan seperti hilang semangat hidup. Sehingga kini, ingatan pada arwah tidak padam walaupun sedikit.

Dia sentiasa ada dalam hati dan fikiran saya. Bukan bermakna isteri baharu kurang disayangi namun mereka memiliki keistimewaan tersendiri dalam membahagiakan saya sebagai suami. Saya juga tidak pernah membuat perbandingan antara arwah isteri dengan isteri sekarang.

Boleh ceritakan sedikit apakah perasaan anda apabila watak Hang Tuah dalam XX-Ray 2 lakonan anda dikembalikan menerusi XX-Ray 3?

Saya berasa terharu dan berbangga kerana watak itu membawa nilai sentimental ketika saya melakonkannya lebih 20 tahun lalu dalam XX-Ray 2. Kewujudan watak Hang Tuah dalam XX-Ray 3 membuktikan bahawa tidak kira semoden mana zaman sekarang, budaya Melayu tidak akan pernah hilang.

Post a Comment

Previous Post Next Post