2019 tahun aktif semula Dazrin Kamarudin




Selepas mendirikan rumah tangga pada tahun 2017 dan seterusnya menimang cahaya mata sulung setahun kemudian, kerjaya seni pelakon, Dazrin Kamarudin dilihat seperti dilanda angin musim kemarau.

Sepanjang tempoh tersebut juga, timbul ura-ura mengatakan anak kelahiran Melaka itu sedang melewati fasa hilang tawaran dan tidak lagi menjadi pilihan kebanyakan penerbit bagi menjayakan drama atau program televisyen.

Ditebak persoalan sedemikian, Dazrin, 31, bagaimanapun tidak cepat melatah. Jelasnya, bukan soal tidak laku atau hilang peluang berlakon selepas mendirikan rumah tangga dengan Nur Fazulin Razali, dia sebaliknya sibuk membangunkan beberapa buah perniagaan yang diusahakan seperti minuman madu bunga, butik pakaian dan koleksi tudung.

Kini, selepas perniagaan sudah semakin selesa dan agak stabil, juara Fear Factor musim pertama yang ditemui pada sesi fotografi di Studio Utusan baru-baru ini sudah bersedia untuk kembali memeriahkan industri dengan visi serta misi yang lebih besar.

KOSMO!: Setahun hilang daripada industri, apakah yang membuatkan Dazrin berasakan tahun 2019 adalah masa sesuai untuk membuat kemunculan semula?

DAZRIN: Rasanya tempoh setahun memperlahankan kerjaya untuk fokus terhadap perniagaan sudah cukup buat saya. Saya bimbang, andai ditinggalkan terlalu lama nanti ada yang lupa siapa Dazrin. Sebenarnya, tempoh setahun berehat digunakan untuk melatih isteri, Fazulin mengendalikan kerja-kerja perniagaan kami sebagai persediaan untuk saya kembali aktif berlakon. Nampaknya, dia sudah boleh mengendalikan perniagaan tanpa bantuan saya. Jadi, sudah tiba masa untuk saya kembali berlakon.

Mengapakah anda sanggup berkorban masa dan tenaga untuk membangunkan perniagaan jika mahu orang lain menguruskannya?

Saya lihat ini sebagai pelan sokongan jika sesuatu terjadi terhadap karier lakonan. Lagipun saya suka berniaga cuma untuk fokus sepenuhnya mungkin bukan sekarang kerana minat terhadap dunia seni masih menebal. Kebetulan pula isteri sudah pun meletakkan jawatan sebagai ketua pramugari sebuah syarikat penerbangan antarabangsa jadi tiada salahnya jika dia yang mewakili saya dalam perniagaan ini. Sejak anak saya, Dasuki dilahirkan lapan bulan lalu, saya perlukan sumber pendapatan tetap tanpa mengharapkan duit lakonan semata-mata.

Anda tidak risau persaingan yang bakal timbul memandangkan sudah ramai bakat baharu dalam industri sekarang?

Sudah hampir lapan tahun saya berada industri, jadi persaingan bukanlah satu hal besar. Apa yang penting, pengarah dan penerbit tahu sejauh mana bakat dan kemampuan saya. Jadi, tiada apa yang perlu dirisaukan. Setiap orang sudah ditentukan rezeki masing-masing.

Apakah perkara pertama yang anda ubah sejak memutuskan untuk kembali aktif berlakon?

Saya turunkan berat badan dan mendapatkan semula berat badan sebelum berkahwin. Saya tidak sedar rupa-rupanya penampilan fizikal saya agak berisi sejak menjadi suami sehingga berat mencecah 88 kilogram (kg) sehinggalah ada yang menegur. Sewaktu menjalani penggambaran filem XX-Ray 3 pertengahan tahun lalu, saya berjaya hilangkan lebih 10kg demi tuntutan kerjaya. Alhamdulillah berat itu kekal hingga sekarang.

Boleh kongsikan apakah perancangan anda untuk 2019?

Bagi tahun ini, saya sudah menyimpan hasrat untuk mengembangkan bakat bergelar seorang penyanyi pula kerana saya mahu mencuba semua bidang seni yang ada. Saya sudah menyiapkan beberapa buah lagu ciptaan sendiri tetapi masih mencari masa yang sesuai untuk melancarkannya. Saya bimbang juga dengan penerimaan peminat dengan cabang baharu yang ingin saya ceburi ini tetapi saya berpegang pada prinsip kalau tidak cuba maka kita tidak akan tahu.

Post a Comment

Previous Post Next Post