Status ikonik lagu Di Matamu




Tahun 2018 disifatkan Sufian sebagai tempoh transformasi yang menghadirkan dimensi berbeza, sama ada dari segi karier dan kehidupan peribadinya.

Ketika Sufian Suhaimi meluncurkan single keempatnya, Di Matamu sekitar Mac lalu, dia tidak pernah menjangkakan bahawa lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen tersebut akan menghadirkan impak luar biasa dalam kalangan pendengar.

Tentulah, hanya selepas lapan bulan dimuat naik di YouTube, Di Matamu berjaya meraih 47 juta tontonan, sekali gus menjadikan klip video lagu tersebut sebagai kandungan dengan jumlah tontonan yang terbanyak sepanjang tahun 2018.

Selain YouTube, nama Sufian juga mekar di platform penstriman muzik Spotify apabila lagu yang sama distrim oleh pengguna sebanyak 5.7 juta kali.

Bukan hanya popular di platform digital dan radio, Di Matamu turut terpilih untuk bersaing pada Anugerah Juara Lagu Ke-33 yang dijadualkan berlangsung pada Februari tahun depan.

Justeru, tidak keterlaluan dikatakan jika tahun 2018 merupakan tahun cemerlang buat Sufian Suhaimi, tidak hanya dari segi karier, tetapi pertumbuhannya sebagai seorang penyanyi.

“Selepas saya melancarkan lagu Di Matamu, saya sedar bahawa karier saya tumbuh seiring populariti lagu berkenaan.

“Tidak ramai penyanyi yang dapat ‘bersatu’ dengan lagu mereka sendiri. Jadi, saya benar-benar berasa bersyukur dan menghargai setiap perkara positif yang berlaku sepanjang tahun ini,” ujarnya.

Mengenai populariti Di Matamu, Sufian tidak menolak bahawa bahang lagu tersebut masih kuat dirasa sehingga ke saat ini.

“Sebenarnya, saya langsung tidak menjangkakan hayat Di Matamu begitu panjang.

“Saya agak terkejut apabila lagu tersebut masih dimainkan di radio walaupun ia dilancarkan pada Mac lalu,” kata Sufian sambil menyifatkan lagu tersebut sebagai lagu ‘kebangsaan’ bagi mereka yang sedang dirundung sedih.

Dekat

Di sebalik kejayaan lagu tersebut, ada sesetengah kelompok pendengar yang berpendapat, lagu Di Matamu menjadi sebegitu hebat disebabkan oleh peristiwa putus tunang antara Sufian dan pelakon, Elfira Loy.

“Saya sedar, ramai yang berpendapat sedemikian. Tetapi, sekali lagi ditegaskan bahawa lagu Di Matamu tiada kena mengena dengan kisah peribadi saya. Ia mungkin kelihatan dekat dengan saya kerana lagu berkenaan diluncurkan pada waktu saya berhadapan masalah peribadi.

“Namun, saya tidak meletakkan tanggapan orang ramai itu sebagai sesuatu yang negatif. Hal ini kerana, perkara sebegini yang menyebabkan Di Matamu berada dalam kelas berbeza. Tidak hanya melodi dan lirik yang mudah diterima, tetapi cerita di sebalik lagu turut menambahkan auranya,” ujar Sufian panjang lebar.

Bagaimanapun, Sufian turut mengakui bahawa peminat juga berasa dekat dengan kisah yang diceritakan menerusi Di Matamu.

“Selalunya, lagu hanya dijadikan sebagai medium hiburan dan peneman sewaktu sedang memandu mahupun sebelum tidur.

“Jadi, apabila Di Matamu berjaya mencetuskan emosi sebesar itu dalam kalangan pendengar, saya sifatkan ia sebagai satu karya yang luar biasa,” katanya lagi.

Ditebak adakah Di Matamu diletakkan sebagai karya ikonik, ini jawapan Sufian: “Sejujurnya, saya merasakan lagu Terakhir juga memberi kesan yang besar dalam kalangan peminat. Biarpun ia merupakan single perdana saya, namun Terakhir turut meraih jumlah tontonan memberangsangkan sehingga 20 juta dan berjaya ke AJL31.

“Ikonik atau tidak, sebagai seorang penyanyi saya mahukan lagu yang tidak hanya relevan pada satu-satu masa. Jujur, saya takut jika digelar one hit wonder. Namun, saya cuba berusaha dengan lebih keras untuk hasilkan karya yang lebih baik berbanding karya-karya sebelumnya,” tutur Sufian.

Momentum

Progres Sufian sebagai penyanyi berlaku dalam halaju yang agak pantas. Sepanjang tempoh dua tahun bergelar penghibur, dia telah berjaya meraih kejayaan yang barangkali tidak mampu digapai oleh kebanyakan penyanyi senior.

Sedar perkembangan kariernya berlaku dalam kadar yang sangat pantas, Sufian berharap agar momentum pada hari ini kekal sehingga bila-bila.

“Cepat atau lambat, kedua-duanya ada kebaikan dan keburukan. Apabila seseorang yang telah lama berusaha dapat apa yang dia inginkan, mereka belajar daripada pengalaman.

“Apabila perjalanan karier berlaku dengan pantas, terpulang kepada individu berkenaan bagaimana dia mahu mengekalkan kejayaan tersebut.

“Disebabkan itu, saya tidak mahu leka dan ambil mudah dengan apa yang ada sekarang. Biarpun Di Matamu cemerlang, ia bukan alasan untuk saya memperlahankan tempo dalam industri,” tegasnya.

Melanjutkan bicara, Sufian sempat bercerita mengenai persiapan menjelang AJL33.

“Buat masa ini, saya masih memikirkan konsep dan gaya persembahan bagi Di Matamu.

“Mungkin pada bulan hadapan saya akan mula masuk kelas vokal untuk melatih suara sebelum AJL33,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sufian bakal mengembangkan sayapnya dalam bidang lakonan menerusi telefilem sulungnya yang berjudul Bayang.

“Sebenarnya, bidang lakonan tidaklah asing bagi saya. Ketika sedang melanjutkan pelajaran, saya aktif melibatkan diri dengan teater di kampus.

“Cuma, saya sedikit gementar kerana khalayak terlebih dulu mengenali saya sebagai penyanyi,” katanya yang masih meletakkan karier nyanyian sebagai keutamaan.

Sebelum mengakhiri perbualan, Sufian sempat menyimpulkan tahun 2018 sebagai tahun transformasi bagi dirinya.

“Tahun ini banyak mengajar saya tentang pelbagai perkara, ia sekali gus memberi hala tuju berbeza dan menjadikan saya lebih matang untuk meneruskan kehidupan,” tutupnya.

Sufian Suhaimi berbicara mengenai impak dan kegilaan yang dicetuskan lagu Di Matamu, selain menyimpulkan 2018 sebagai tahun yang mematangkannya sebagai seorang lelaki dan penghibur.

Post a Comment

Previous Post Next Post