Sufian Suhaimi berlakon telefilem




Penyanyi yang popular dengan lagu Di Matamu, Sufian Suhaimi kini mengembangkan sayap seninya dengan menceburi bidang lakonan menerusi telefilem sulung berjudul Bayang.

Sufian, 26, berkata, di sebalik perasaan teruja, dia juga mengakui gementar kerana tidak tahu apakah reaksi penonton apabila menyaksikan lakonannya di layar kaca kelak.

“Bidang lakonan tidaklah asing bagi saya. Ketika sedang melanjutkan pelajaran dahulu, saya aktif melibatkan diri dengan pementasan teater di kampus.

“Cuma kali ini, saya sedikit gementar kerana saya terlibat secara penuh dalam sebuah telefilem,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menerusi telefilem arahan Zul Huzaimy itu, Sufian memegang watak utama berpasangan dengan pelakon baharu, Elisya Sandha.

Bagaimanapun, Sufian menjelaskan, dia masih menjadikan bidang nyanyian sebagai prioriti.

“Tidak salah rasanya saya cuba berlakon memandangkan ia satu cabang seni baharu yang agak mencabar.

“Namun, bidang nyanyian masih tetap menjadi keutamaan saya,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Sufian bakal bersaing di pentas Anugerah Juara Lagu Ke-33 menerusi lagu Di Matamu pada awal tahun depan.

Post a Comment

Previous Post Next Post