Aiman Hakim Cinta kami bukan gimik




Masih terlalu awal untuk memberi komen soal hubungannya bersama Zahirah, Aiman meminta ruang dan masa sebelum dia terbuka untuk berbicara mengenai perkara tersebut.

PEMINAT dunia hiburan pastinya sudah maklum dengan pendedahan pasangan pelakon sama cantik sama padan, Aiman Hakim Ridza dan Zahirah MacWilson yang dikatakan menjalin hubungan cinta sejak awal bulan ini.

Menggunakan tanda pagar #ZahirAH menerusi perkongsian gambar dalam laman Instagram masing-masing, pendedahan mengejutkan itu ternyata menerima maklum balas positif daripada peminat yang menyifatkan mereka sebagai pasangan secocok.

Biarpun pada awalnya pendedahan tersebut disifatkan sebagai satu gimik oleh sesetengah pihak, namun Aiman Hakim menafikannya dan mengesahkan mereka sememangnya sedang bercinta.

Namun buat masa ini, pelakon drama Girlfriend Aku Dari Neraka itu enggan memberi komen lanjut berhubung percintaannya kerana menghormati Zahirah dan keluarga kekasihnya itu.

Ikuti penjelasan Aiman, 29, ketika ditemui pada sesi tayangan khas episod mini drama #SisCuba baru-baru ini.

KOSMO!: Boleh kongsikan pengalaman anda terbabit dalam drama mini #SisCuba selain kerjasama dengan tiga pelakon wanita Nabila Razali, Sarah Suhairi dan Syifa Melvin?

AIMAN HAKIM: Walaupun pertama kali bergandingan dengan mereka, tetapi ia memberi saya satu pengalaman baharu dan menyeronokkan. Cukup senang bekerjasama dengan mereka yang sentiasa ceria ketika di set penggambaran. Jadi, walaupun kami sedang bekerja, tetapi langsung tiada tekanan kerana mereka sangat suka ketawa.

Apakah sebab anda bersetuju menerima tawaran membintangi sebuah drama mini?

Jika mahu kata selektif, saya lihat kepada banyak faktor yang mampu mempengaruhi alasan tersebut. Antaranya pengarah, skrip, jenama dan waktu. Jika menyentuh tentang skrip, sebenarnya ia tidak banyak beza pun dengan mana-mana naskhah lain. Jadi, kadang-kala saya memilih untuk penjenamaan diri sendiri. Pada masa sama, saya memandang naskhah ini sebagai ringkas dan mesej yang cuba disampaikan mudah diterima penonton.

Bagaimanakah anda melihat perjalanan karier seni kerana nama anda agak ‘panas’ sepanjang tahun 2018?

Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Cuma saya akui tahun ini banyak juga cabaran yang saya lalui. Saya sedar, jika kita cuba buat sesuatu yang terbaik, ia pastinya tidak akan datang dengan mudah. Cabaran adalah lumrah dan saya ambil setiap yang berlaku dengan cara positif. Pengalaman ini mengajar saya supaya sentiasa menjadi diri dan jangan takut bersuara. Sangat penting untuk kita percaya dengan diri sendiri.

Bagaimana pula dengan perancangan tahun depan?

Selain berusaha untuk meningkatkan mutu lakonan, sudah tiba masanya untuk mencuba perkara baharu. Insya-Allah pada bulan Januari depan saya akan membuka sebuah kafe studio di Ara Damansara, Petaling Jaya, Selangor. Selain itu, saya turut membuka sebuah studio rakaman supaya orang ramai dapat mempelajari proses rakaman lagu. Dalam perniagaan studio rakaman, saya akan bekerjasama dengan penyanyi, Awi Rafael. Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk mencubanya kerana ia satu perkara baharu. Sejujurnya, saya tidak selesa untuk melakukannya kerana ia di luar zon selesa, tetapi inilah cabaran yang perlu saya hadapi.

Boleh komen tentang hubungan anda bersama Zahirah MacWilson?

Buat masa sekarang tidak banyak yang saya boleh komen. Sejujurnya, saya menghormati andai dia mempunyai pilihan (lelaki) yang lebih baik, selain turut menghormati keluarganya. Jika saya bercakap lebih-lebih dan beritanya akan keluar dalam mana-mana media, mungkin tidak semua orang akan faham. Bimbang jika berlaku sebarang salah faham, saya mohon untuk tidak memberi komen lanjut.

Apakah penjelasan anda apabila ada pihak mendakwa bahawa hubungan kalian sekadar gimik?

Bukan. Hubungan kami benar dan ia bukannya gimik. Hubungan ini saya lihat sangat positif dan berharapan agar lebih banyak perkara baik akan muncul pada masa depan.

Boleh anda kongsi apakah keistimewaan Zahirah yang membuatkan anda jatuh hati kepadanya?

Istimewanya Zahirah kerana dia menzahirkan diri saya. Saya tertarik pada sifat jujur yang ada dalam dirinya. Sebenarnya kami berdua sudah mengenali antara satu sama lain kerana pernah bekerjasama beberapa tahun lalu. Bagi saya, dia seorang pelakon yang bagus dan memang teringin untuk berlakon di samping Zahirah. Kami ada menerima beberapa tawaran lakonan bersama, cuma masih dalam perbincangan.

Post a Comment

Previous Post Next Post