Persandingan kali kedua Norman Hakim & Memey Suhaiza


Selain sanggup bersanding sekali lagi demi anak-anak, Norman (kiri) dan Abby (dua dari kanan) yang pernah hidup bersama sebagai suami isteri menganggap ia adalah platform berkongsi perkara baik kepada masyarakat.

Selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, pasangan selebriti Norman Hakim dan Memey Suhaiza bersanding buat kali kedua pada sebuah majlis yang diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Penganjuran majlis persandingan tersebut juga merupakan sebahagian daripada gimik pelantikan pasangan itu sebagai duta syarikat katering acara perkahwinan, Mahligai Impian Catering.

Diraikan dalam suasana penuh kemeriahan bak pengantin baharu, persandingan yang ditaja oleh syarikat sama itu turut diserikan dengan kemunculan Abby Abadi bersama suami, Jaiezzany selain kehadiran hampir 600 orang tetamu.

Malah, apa yang menariknya persandingan tersebut menampilkan tiga orang anak hasil perkongsian hidup Abby dan Norman iaitu Mohamed Danish Hakim, 14, Marissa Dania Hakim, 12, dan Maria Danisha Hakim, 9, selain dua anak Norman bersama Memey iaitu Muhammad Darwisz Hakim, 4, dan Muhammad Dikhriz Hakim, 2.

Mungkin kedengaran agak janggal apabila Norman kembali bersanding bersama bekas isteri di atas satu pelamin yang sama, bagi Norman, tiada apa yang perlu dihairankan kerana hubungan mereka dalam keadaan baik.

“Sebenarnya majlis ini ada banyak mesej tersirat dan tersurat untuk difahami oleh masyarakat. Memang kelihatan agak janggal, tetapi niat kami hanyalah untuk berkongsi kebaikan membina silaturahim kepada ramai.

“Ini merupakan platform terbaik untuk saya mengumpulkan seluruh ahli keluarga besar selepas kerap mendapat permintaan daripada peminat yang sering melihat keakraban hubungan kami di laman sosial,” ujar Norman.

Norman atau nama sebenarnya Mohamed Norhakim Zaidon, 41, dan Memey, 29, mendirikan rumah tangga pada 2011.

Sementara Abby dan Norman pula pernah mendirikan rumah tangga pada 2002 sebelum bercerai pada 2008. Perkahwinan Abby bersama Jaiezzany atau nama sebenarnya Muhammad Faizal Zakaria berlangsung pada 2015.

Tambah Memey pula, pada asalnya persandingan tersebut hanya melibatkan mereka berdua. Namun, dia memberi idea untuk membawa Abby dan suami ke pelamin persandingan kerana mahu mengabadikan momen indah bersama-sama.

“Ramai peminat yang bertanya, bagaimana mahu menjadi seperti kami iaitu berhubungan baik walaupun pernah melalui episod hitam dalam hidup. Jadi, apabila peluang sebegini datang, saya usulkan kepada suami untuk mengajak Abby dan suami bersanding bersama pada majlis ini.

“Selain memberi mesej positif kepada masyarakat, sebagai ibu bapa kami memainkan peranan penting untuk menunjukkan contoh baik kepada anak-anak. Saya memanjatkan syukur dan memandang peluang ini dari sudut positif supaya mereka lihat dan tahu kami sentiasa bersatu.

Sementara itu, mengakui menerima idea tersebut demi anak-anak, Abby berkata, kesediaan mereka sekali gus mampu memberi mesej yang baik kepada masyarakat tentang kesan perceraian.

“Mula-mula saya memang tidak mahu sebab malu jadi tumpuan orang. Namun, selepas dipujuk anak-anak, saya bersetuju. Besar maknanya majlis ini kepada saya kerana kami pernah melalui episod getir sebelum sampai ke tahap ini.

“Lagipun, ini salah satu langkah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat tentang emosi dan kebajikan anak-anak meskipun ibu bapa sudah berpisah,” katanya.

Majlis itu juga diserikan dengan bacaan selawat daripada anak sulung Norman dan Abby, Mohamed Danish Hakim yang baru sahaja selesai menghafaz 30 juzuk al-Quran.

Post a Comment

Previous Post Next Post