Selepas tujuh tahun, T-Rex (tengah) kembali menghangatkan industri seni dengan karier solo. Dia bagaimanapun mendapat sokongan daripada ahli kumpulan Kamikaze, (dari kiri) Amy, Rahmad, Asry Hasan dan Along yang bertindak selalu pemuzik iringan.
BAGI peminat genre rock kapak, kumpulan terkenal Kamikaze yang popular sekitar era awal 2000 tentunya menjadi antara nama berpengaruh dalam dunia muzik tanah air.
Pernah popular menerusi beberapa buah lagu seperti Tawa Dalam Tangisan, Sentuhan Kecundang dan Bayangan Semalam, Kamikaze bagaimanapun seakan-akan tenggelam sejak tujuh tahun lalu apabila tidak lagi aktif dengan persembahan.
Tidak mahu nama dan populariti yang pernah digenggamnya terus terkubur begitu sahaja, vokalisnya T-Rex tampil membuat kemunculan semula dengan memperkenalkan diri sebagai penyanyi solo.
T-Rex atau nama sebenarnya Terence Law menjelaskan, keputusan bergerak solo bukanlah berpunca daripada kemelut dalam kumpulan Kamikaze, sebaliknya dia tidak mahu perjuangan muziknya terhenti begitu sahaja memandangkan selama ini pernah mempunyai jenama yang sudah kukuh.
“Kemunculan semula ini sama sekali tidak dibayangi oleh Kamikaze, sebaliknya saya membawa identiti sendiri memandangkan genre rock sudah sebati dalam diri.
“Disebabkan Kamikaze tidak lagi aktif seperti dahulu, setidak-tidaknya keputusan saya untuk bergerak solo dapat mengubat kerinduan peminat. Lagipun, kalau saya mahu mengeluarkan lagu baharu atas nama Kamikaze, ia perlu mendapat kebenaran daripada bekas ahli kami iaitu Sham yang merupakan pengasas kumpulan ini,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebagai introduksi solo dalam industri, lelaki kelahiran Kuching, Sarawak itu menjadikan dua buah single baharu berjudul Kasi Pecah dan Tujuh sebagai hadiah buat peminat yang mungkin merindui buah tangan terbaharu daripadanya.
Meskipun bergerak solo, namun T-Rex tetap mendapat sokongan daripada anggota asal Kamikaze iaitu Rahmad dan Amy (dram) dan Asry Hasan (gitar) dan Along (keyboard) yang bertindak selalu pemuzik iringan.
Izin
Buktinya, lagu Kasi Pecah ciptaan Bob Ramada, lirik oleh Bob bersama Asry Hasan. Bob turut menghasilkan lirik lagu Tujuh manakala lagunya hasil paduan bersama pemain bass Kamikaze, Rahmad
“Idea ini datang daripada Rahmad yang menyuarakan pendapat agar saya bergerak solo. Namun, disebabkan sudah terbiasa dengan Kamikaze jadi saya agak kekok untuk muncul sendirian di atas pentas. Apabila mereka menawarkan diri untuk membantu, saya menerimanya dengan lapang dada,” katanya.
Biarpun menyedari permintaan dan kerinduan peminat tidak pernah putus terhadap Kamikaze, Rahmad bagaimanapun menjelaskan, buat masa ini bayangan ke arah itu masih belum kelihatan memandangkan Sham seperti sudah cenderung ke jalan dakwah dan kerohanian.
“Dia pengasas Kamikaze, jadi kumpulan ini adalah miliknya. Kami tidak boleh memandai-mandai buat keputusan sendiri mengemudi kumpulan ini tanpa kebenarannya.
“Sebagai tanda menghormati perubahan Sham, maka kami ambil keputusan bergerak sebagai pemuzik iringan kepada T-Rex walaupun memang pernah timbul niat untuk mengadakan pertemuan semula bersama peminat,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, T-Rex merancang untuk mengadakan persembahan di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara selain tujuan mempromosikan single terbaharu iaitu Kasi Pecah dan Tujuh.