Ashraf Muslim lega tidak alami telinga kubis


Ashraf Muslim memberitahu dia baru menjalani pembedahan kecil pada bahagian cuping telinganya akibat kebocoran saluran darah.

Kehadiran pelakon Ashraf Muslim pada sidang akhbar teater Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka di Istana Budaya, Kuala Lumpur baru-baru ini menimbulkan tanda tanya apabila bahagian telinga lelaki berusia 36 tahun itu berbalut.

Menjelaskan kepada media, Ashraf atau nama sebenarnya, Muhd. Ashraf Muslim berkata, cuping telinganya berkemungkinan besar mengalami jangkitan kuman yang disebabkan oleh pengumpulan cecair atau darah akibat kebocoran saluran darah pada bahagian tersebut.

Jika dibiarkan berlarutan tanpa rawatan, pelakon filem Bukan Cinta Malaikat itu mendedahkan, dia akan berdepan keadaan lebih buruk iaitu kecacatan seumur hidup yang dikenali sebagai telinga kobis atau cauliflower ear.

Menyentuh mengenai perkembangan kariernya, Ashraf memegang watak sebagai Tun Ali dalam teater Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka yang akan dipentaskan di Panggung Bangsawan Melaka pada 20 hingga 21 Oktober depan.

Mengakui mempunyai minat yang mendalam dalam seni teater, Ashraf teruja bekerja di bawah arahan Lokman Ghani serta dua pelakon utama, Maya Karin dan Remy Ishak.

KOSMO!: Boleh terangkan apa sebenarnya yang berlaku kepada telinga Ashraf?

Ashraf Muslim: Saya mendapatkan rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) baru-baru ini disebabkan terkena jangkitan kuman pada bahagian cuping telinga. Kemudian, saya melakukan pembedahan pada bahagian cuping telinga. Alhamdulillah, ia hanya pembedahan kecil dan semuanya baik-baik sahaja.

Sebenarnya, saya sudah berasa sakit pada bahagian tersebut sekitar sebulan, namun hanya sempat bertemu doktor dan mendapatkan rawatan baru-baru ini.

Apa punca telinga anda jadi begitu?

Saya pun tidak pasti. Barangkali saya tidur dalam posisi yang tidak betul selama ini. Disebabkan itu, cairan pada bahagian cuping telinga terperangkap antara kulit dan tulang rawan telinga. Doktor juga ada kata, mungkin juga akibat trauma cuping telinga pernah ditarik atau dipulas. Kita tidak tahu waktu kecil dahulu, banyak kali telinga ditarik atau dipulas. Apabila sudah besar, baru terasa kesannya.

Apa akan jadi sekiranya anda tidak mendapatkan rawatan pada waktu yang tepat?

Saya diberitahu doktor mungkin keadaan akan menjadi lebih teruk sehingga mengalami kecacatan yang dikenali sebagai telinga kubis atau cauliflower ear. Saya pun tidak berapa pasti tentang penyakit tersebut. Apa yang saya tahu, petinju sering menghadapi masalah ini iaitu masalah pada bahagian telinga yang menyebabkan terjadinya cauliflower ear.

Maaf bertanya, barangkali ada berpendapat telinga anda jadi sebegitu disebabkan dipulas atau digigit isteri-isteri anda, komen?

Bukan kena pulas atau digigit oleh mereka. Mungkin sebab saya tidur terlalu lama, saya sendiri tidak sedar.

Baiklah, apa perkembangan seni terbaharu anda?

Drama Cinta Hati Batu baru tamat penggambaran. Buat masa sekarang, selain teater Tun Fatimah Serikandi Empayar Melaka, saya sibuk terlibat dengan penggambaran filem XX Ray 3 arahan Aziz M. Osman. Insya-Allah, bulan depan saya akan terbang ke Jordan untuk menjalani penggambaran di sana.

Bagaimana anda melihat watak anda sebagai Tun Ali dalam teater tersebut?

Saya teruja berkerja di bawah arahan Ghani Loqman yang merupakan antara pengarah teater kegemaran saya. Kemudian, saya berpeluang bekerja dengan Maya Karin dan Remy Ishak yang dilihat sebagai peluang terbaik bekerja dengan dua pelakon hebat itu. Watak Tun Ali memerlukan saya untuk melakonkan watak romantik dengan Tun Fatimah (lakonan Maya Karin). Namun, sebenarnya tidak banyak babak saya dalam teater ini. Bagaimanapun saya tetap tidak sabar untuk memulakan latihan.

Post a Comment

Previous Post Next Post