Bicara cinta masa depan Emma Maembong


Mengakui Kamal Adli adalah lelaki paling rapat dalam hidupnya sekarang, Emma bagaimanapun ingin menstabilkan ekonomi sendiri sebelum menggalas tanggungjawab sebagai isteri.

Usianya baru mencecah 25 tahun namun sudah banyak pertanyaan tentang kesediaannya ke arah menamatkan zaman bujang sementelah di sisinya telah berdiri seorang lelaki istimewa bernama Kamal Adli. Namun, secara peribadinya si jelitawan bernama Emma Maembong itu mempunyai rencana hidup tersendiri daripada asyik memikirkan soal jodoh.

Tidak mahu terburu-buru, Emma atau nama sebenarnya, Fatimah Rohani Ismail lebih selesa meletakkan urusan tersebut ke tangan Ilahi sementelah pada pihaknya, dia tidak mengenepikan rahsia Tuhan tersebut di samping mengukuhkan kestabilan hidup dan memperbaiki pekerti budi.

Tudung

Justeru, Emma hadir dengan jenama tudung sendiri, My Sketchbook By Emma Maembong yang mula dijual secara kecil-kecilan melalui laman Instagram miliknya, @emmartw.

Biarpun sudah ramai selebriti wanita ‘memperdagangkan’ jenama tudung masing-masing, Emma mempunyai alasan tersendiri tentang keputusan tersebut yang mungkin agak terlambat berbanding artis lain.

“Saya bukan ingin berlawan dengan artis lain. Kalau itu tujuan saya untuk keluar dengan jenama tudung sendiri, memang dari awal lagi saya sudah mengalah atau undur diri.

“Saya ingin berkongsi minat dan hasil sentuhan kreatif bersama dengan peminat. Daripada saya buang masa melukis tanpa tujuan, ada baiknya hobi ini diterjemahkan dalam keadaan yang lebih baik,” ujar Emma memberi mukadimah bicara.

Kata Emmma, sejak kecil lagi dia berminat dengan seni lukisan. Bapanya, Ismail Embong banyak memberi pengaruh dan sokongan untuknya terus membina minat dalam seni lukisan.

“Sejak kecil, bapa sering membawa saya ke mana-mana sahaja tempat dia bekerja. Dari situ, saya belajar banyak perkara tentang seni lukis.

“Bagaimanapun apabila sudah berkecimpung dalam dunia lakonan, saya sudah jarang melukis namun tidak pernah berhenti daripada meneruskan hobi tersebut. Di set penggambaran, kalau punya masa terluang, tangan saya akan sentiasa ‘bekerja’ untuk melukis,” ungkapnya.

Akui Emma, dia mendapat lampu hijau daripada ayahnya untuk muncul dengan jenama tudung sendiri daripada hasil lukisannya.

Tambah Emma: “Saya ada berbincang dengan bapa, kalau ada hasil lukisannya yang ingin diterjemahkan sebagai motif dalam tudung, dia bersedia untuk memberikan kerjasama.

“Lukisan saya lebih cenderung terhadap unsur budaya Melayu sementara hasil lukisan bapa lebih cenderung mengenai unsur perang dan sebagainya. Dia mempunyai nilai abstrak tersendiri.”

Menariknya, Emma menggunakan bakat seni lukisan untuk melakar sendiri motif-motif indah pada koleksi tudung terbarunya. Antara motif yang dicurahkan pada lembar tudung jenamanya adalah corak bunga mawar, paku-pakis, pepatung, siput serta beberapa motif hidupan lain.

Sudah mengeluarkan tiga koleksi tudung melalui rangkaian Libelle, Metafora dan Fatamorgana, dengan sambutan hangat daripada pengguna, Emma kini muncul dengan empat lagi koleksi iaitu Budaya, Hibisco, Bumi Kita dan Seashell.

Kahwin

Saat disoal tentang perancangan masa depan khususnya soal jodoh, Emma cukup tenang menjawab setiap soalan yang diajukan. Kebetulan, Kamal turut berada di sisinya ketika sesi wawancara dijalankan.

“Soal sudah bersedia atau tidak, itu saya serahkan kepada takdir. Banyak kali apabila disoal tentang jodoh, saya tidak lagi mahu memberi janji tentang bila dan dengan siapa saya akan berkahwin.

“Mungkin saya akan berkahwin Kamal atau dengan lelaki lain. Siapa tahu, itu semua kerja Tuhan, bukan? Apa yang kami lakukan sekarang adalah menjalani hidup dengan sebaik mungkin.

“Apa yang penting, saya perlu stabilkan diri sendiri dahulu dari segi ekonomi. Begitu juga dengan Kamal. Insya-Allah, kalau ada jodoh kami berdua, tidak ke mana,” terang pelakon filem Kimchi Untuk Awak itu senyum lebar.

Seperti Emma, Kamal juga mahu menstabilkan ekonomi diri demi kelangsungan masa depan bersama orang tersayang. Celahnya, dia dan Emma akan saling menyokong antara satu sama lain.

“Emma bekerja keras dalam hidupnya sekarang. Saya pula inginkan sesuatu dalam hidup iaitu mengumpul aset. Saya juga inginkan seorang isteri.

“Buat masa sekarang, saya dan Emma berada pada landasan yang betul untuk ke arah itu (perkahwinan). Insya-Allah, kalau sampai harinya nanti, kami akan hebahkan kepada orang ramai,” jelas Kamal.

Meneruskan bicara, Emma memberi hujah. Andai sudah tertulis jodohnya dengan Kamal, dia ingin terus bernikah tanpa perlu bertunang seperti menjadi pilihan sesetengah pasangan kekasih.

“Kami sudah berkenalan selama lebih tiga tahun. Tidak perlu rasanya ingin bertunang kerana sudah cukup masak dengan perangai masing-masing.

“Bagi saya, bertunang hanya satu adat yang diamalkan orang lama. Kalau sudah siap daripada segala segi, saya ingin bernikah terus,” tuturnya.

Sambung Emma lagi, dia percaya ramai dalam kalangan peminat mendoakan percintaannya dengan Kamal berakhir ke jenjang pelamin. Disebabkan itu, banyak omongan daripada orang ramai tentang perkara tersebut

“Saya percaya apabila orang sering bertanya kepada kami tentang hal sama, maknanya mereka sayangkan kami dan segala perkara baik yang dibincangkan akan menjadi doa.

“Selagi hal itu (perkahwinan) tidak dibutirkan sama ada daripada mulut saya atau Kamal, ia hanya bersifat ura-ura dan tidak benar.

“Kalau ada, kami akan kongsi. Insya-Allah,” jelas Emma menggulung bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post