Bakal suami berjaya ubah Edlin


KURANG sebulan, peserta program realiti, Akademi Fantasia 2 (AF2), Edlin Abdul Rahim bakal menamatkan zaman solo dengan jejaka pilihannya.

Berdebar menanti gelaran raja sehari, Edlin bagaimanapun mengakui menyerahkan semua persiapan perkahwinannya kepada keluarga.

Tambahan pula, katanya, majlis perkahwinannya adalah yang terakhir di dalam keluarga.

"Alhamdulillah, persiapan sudah siap hampir 90 peratus.

"Saya hanya dua beradik dan adik pula dah kahwin akhir tahun lalu.

"Jadi, majlis saya menjadi tumpuan keluarga. Walaupun ada perbincangan bersama, namun saya serahkan semua persiapan pada mereka.

"Apa yang penting, saya harap semuanya dipermudahkan," katanya pada Media Hiburan.

Edlin dan bakal suaminya, yang hanya mahu dikenali sebagai N bakal mendirikan rumah tangga pada 8 April depan manakala majlis di pihak lelaki pula diadakan seminggu kemudian.

Edlin mengakui kini meniti bahagia bersama N yang dikenalinya dua tahun lalu.

"Kami bukanlah seperti pasangan bercinta yang lain. Kami tak bertunang tapi hanya mengadakan majlis merisik serta pertemuan di antara dua keluarga.

"Bukan saya tak percaya pada pertunangan, cuma takut macam-macam perkara boleh jadi. Malah, semakin dekat nak kahwin, kami jarang berjumpa. Kalau jumpa pun sebab perlu urus hal-hal tertentu," katanya.

Edlin, 34, bakal menjadi isteri kepada lelaki berusia 44 tahun merasakan beza usia mereka membina perhubungan yang jauh lebih utuh.

"Saya boleh ibaratkan dia sebagai first love . He changed me a lot. Dia buatkan saya jadi matang. Mungkin kami bercinta selepas kahwin nanti," katanya sambil ketawa.

Bersara dari dunia seni

Edlin memberitahu Media Hiburan, dia sudah mengundurkan diri dalam industri seni dan mula memperlahankan aktiviti sejak mula berhijab.

"Lagipun, industri hari ini dah terlalu ramai artis baru. Jadi, saya rasa inilah waktu terbaik untuk bersara," katanya.

Pada masa sama, Edlin juga memilih untuk memberikan tumpuan kepada pekerjaan utamanya yang berkaitan dengan teknologi maklumat di syarikat milik bapanya, sejak tiga tahun lalu.

"Bila difikir semula, it’s enough for me untuk aktif dalam bidang seni.

"Lagipun, macam-macam kena jaga apatah lagi apabila bakal berkahwin ni.

"Paling utama, saya takut tak dapat membahagikan masa nanti," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post