Elfira Loy nafi bercinta dengan Sufian Suhaimi


GAMBAR yang dimuat naik oleh Elfira Loy di Twitter ketika mendapatkan rawatan wajah di sebuah pusat kecantikan bersama Sufian Suhaimi pada awal Februari lalu.

TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba sahaja timbul kontroversi yang mendakwa pelakon Elfira Loy menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi Sufian Suhaimi.

Semuanya gara-gara Elfira menerima sejambak bunga daripada Sufian pada sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-23 pada 8 Mac lalu.

Lebih istimewa, jambangan tersebut mengandungi sebanyak 23 kuntum bunga ros merah simbolik usia Elfira.

Menguatkan spekulasi percintaan mereka, Elfira juga telah memuat naik video menerusi Instagram Stories memaparkan gelagat Sufian, 25, ketika menghantar bunga kepadanya.

Sebagai balasan, Elfira turut mengemas kini status di Twitter dengan ucapan terima kasih buat pelantun lagu Terakhir itu.

Hubungan rapat dan pemberian romantis itu bagai suatu petanda kepada peminat bahawa mereka sedang bercinta.

Menghangatkan lagi keadaan, seorang pengguna Twitter pula mendakwa, sejak popular Sufian telah bersikap lupa diri dan sanggup meninggalkan kekasihnya kerana Elfira.

Terkejut dengan dakwaan tersebut, pelakon drama Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu menafikan wujud hubungan cinta antara dirinya dan Sufian. Dia sebaliknya mengakui mereka hanyalah rakan biasa.

KOSMO!: Apakah status hubungan antara Elfira dan Sufian?

Elfira: Kami berdua hanyalah rakan biasa dan mula berkenalan sekitar sebulan lalu. Hubungan kami tidaklah begitu rapat seperti yang didakwa.

Meskipun baru berkenalan, kebetulan hari lahir saya jatuh pada 8 Mac lalu dan dia telah menghadiahkan 23 kuntum bunga ros merah.

Saya memuat naik pemberiannya itu menerusi sebuah video di Instagram Stories dan peminat mula menyangka kami bercinta.

Tidakkah anda terfikir impak yang akan diterima kesan daripada tindakan memuat naik video berkenaan?

Saya terfikir juga tentang penerimaan pengikut di Instagram tetapi tiada sebarang kebimbangan kerana dia hanyalah rakan saya.

Tidak sangka pula video berkenaan menjadi tular dan menimbulkan spekulasi kononnya kami bercinta.

Jika diikutkan, sepanjang sambutan hari lahir, selain Sufian saya menerima begitu banyak bunga daripada ramai lelaki. Tidak mungkinlah mereka semua teman lelaki saya.

Apakah sebab utama anda dikaitkan dengan Sufian berbanding lelaki lain?

Berbanding lelaki lain mereka tidak dikenali ramai, sebaliknya Sufian seorang penyanyi dan mempunyai ramai peminat.

Mungkin sebab itu setiap apa yang dilakukan meraih perhatian walaupun sekadar memberi bunga.

Bagaimanakah reaksi anda apabila didakwa menjadi penyebab perpisahan Sufian dengan bekas kekasihnya?

Sebenarnya saya langsung tidak tahu tentang perkara itu sehinggalah ia menjadi isu besar. Imej Sufian juga tercalar kerana dituduh lelaki jahat, sedangkan hubungannya dengan bekas kekasih sudah lama putus.

Secara tidak langsung saya juga terkena tempias dan Sufian telah memohon maaf atas perkara tersebut. Apa pun dalam perkara ini, kami bertiga sebenarnya tidak bersalah, sebaliknya menjadi mangsa keadaan.

Tidakkah anda penat apabila sering dikaitkan dengan gosip cinta?

Saya sudah tidak kisah kerana mulut orang tidak boleh ditutup. Saya masih muda dan rasanya tidak salah untuk berkawan dengan sesiapa sahaja. Asalkan keluarga tahu apa yang saya lakukan, cukuplah.

Apakah harapan anda selepas usia mencecah 23 tahun?

Saya mahu fokus dengan apa yang dilakukan sekarang seperti kerjaya seni dan perniagaan. Jika boleh, saya mahu mengembangkan lagi perniagaan, potensi diri dan menjadi manusia yang lebih baik daripada sebelum ini.

Mengapakah anda sudah lama tidak berlakon?

Buat masa sekarang saya lebih fokus dan seronok menjadi seorang pengacara. Disebabkan saya menjalankan perniagaan, masa untuk terlibat dengan lakonan agak terbatas.

Oleh sebab itu, saya terpaksa bersikap selektif dan memilih telefilem berbanding drama bersiri kerana durasi penggambaran agak singkat.

Alhamdulillah, tawaran lakonan masih ada, cuma saya tidak boleh ambil terlalu banyak kerja seperti dahulu.

Apakah projek terbaharu anda?

Terbaharu, saya menjadi pengacara untuk program bual bicara berjudul Assalam@9. Program berkenaan bersiaran setiap hari pada pukul 9 pagi menerusi saluran TV Alhijrah bermula 1 Mac lalu. Bagaimanapun saya hanya muncul dalam slot siaran hari Sabtu.

Apa yang boleh dikatakan ia suatu transisi buat saya. Selama ini orang melihat saya seperti remaja tetapi menerusi program ini Elfira menjadi seorang wanita matang.

Post a Comment

Previous Post Next Post