Judika hargai, kongsi rezeki dengan peminat


JUDIKA memikat hati peminatnya dengan persembahan dan vokal bertenaga pada Malam Sensasi Bersama Judika yang berlangsung baru-baru ini.

Hampir 10 tahun lalu, Judika pernah mengalami zaman suram apabila percubaannya untuk bergelar seorang penyanyi tidak menemui jalan mudah.

Pada waktu itu, dia hanya seorang anak kampung yang memasang impian untuk bergelar anak seni dan tidak mempunyai keistimewaan kecuali vokal yang dianugerahkan Tuhan.

Justeru, kini selepas berjaya mengangkat nama Judika sebagai sebuah jenama kukuh dalam industri muzik Indonesia, dia mahu berkongsi kelebihan tersebut bersama peminat menerusi Projek Judika.

Projek Judika diwujudkan bertujuan memberi peluang kepada semua peminatnya mencipta single untuk dinyanyikan penyanyi kesayangan mereka itu.

“Projek Judika mendapat respons yang sangat menggalakkan. Hanya dalam tempoh tiga bulan sejak ia dijalankan bermula April sehingga Jun tahun lalu, saya menerima hampir 400 penyertaan daripada peminat.

“Semua lagu yang dihantar adalah istimewa, namun saya telah memilih lima yang terbaik untuk dimuatkan di dalam album terbaharu yang bakal dilancarkan pada April nanti,” kata Judika usai sidang akhbar Malam Sensasi Bersama Judika di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya tentang alasan yang mendorong hatinya berani mempertaruhkan lagu-lagu ciptaan bukan daripada komposer profesional dalam album kali ini, bapa kepada dua cahaya mata itu berkata, dia percaya setiap orang perlu diberikan peluang.

Pelantun lagu Aku Yang Tersakiti itu menjelaskan, suatu ketika dahulu dia sendiri pernah berdepan kepayahan meyakinkan orang industri untuk mendengar lagu ciptaannya. Atas alasan tersebut juga, dia mahu membantu sesiapa sahaja yang berbakat dengan menyediakan platform seperti ini.

“Sebelum menyertai Indonesian Idol, saya sudah mahu putus asa kerana hampir 20 pita demo (rakaman awal) yang dihantar kepada syarikat rakaman termasuk Sony Music ditolak. Namun, ia satu pengalaman yang menguatkan diri saya dan memberi inspirasi bagi membantu orang lain pula,” jelasnya lagi.

Beralih bicara tentang persembahan Malam Sensasi Bersama Judika yang berlangsung di pusat beli-belah IOI Putrajaya pada Jumaat lalu, tidak dapat dinafikan pengaruh besar Judika di Malaysia. Masakan tidak, biarpun hanya muncul di atas pentas pada pukul 9 malam, sejak petang lagi sudah ramai peminat setia menunggu penyanyi pujaan mereka itu.

Malam Sensasi Bersama Judika

Suasana yang tenang bertukar kecoh apabila kelibat Judika mula kelihatan di belakang pentas. Sedar peminat sudah lama menunggu kemunculannya, Judika bijak membeli jiwa mereka dengan bercanda mesra. Biarpun kebanyakan peminat yang hadir merupakan warga Indonesia yang bekerja di Malaysia, ia tidak membataskan lelaki berkulit hitam manis itu memberi persembahan terbaik.

Sebaik mikrofon berada di tangannya, Judika tidak henti menghiburkan peminat dengan koleksi lagu popularnya seperti Bukan Rayuan Gombal, Aku Yang Tersakiti, Bukan Dia Tapi Aku dan Mama Papa Larang serta lagu terbaharunya, Jadi Aku Sebentar Sahaja.

Lebih menarik, Judika turut menyanyi lagu dendangan Saleem daripada kumpulan Iklim berjudul Suci Dalam Debu.

“Persembahan di Kuala Lumpur ini sangat istimewa. Selain untuk mempromosikan single terbaharu, ini adalah kesempatan untuk bertemu dengan peminat di Malaysia. Terima kasih kerana hadir dan setia memberi sokongan kepada saya.

“Walaupun tiada dalam senarai persembahan, saya nyanyikan lagu bonus buat peminat Malaysia iaitu Suci Dalam Debu,” ujarnya yang mendapat sambutan hangat peminat.

Secara keseluruhan, persembahan dan vokal Judika sempurna. Bagaimanapun, sistem bunyi yang kurang memuaskan sedikit sebanyak telah mencacatkan Malam Sensasi Bersama Judika.

Post a Comment

Previous Post Next Post