PENYANYI dari seberang, Afgan terus meletakkan impian untuk berduet dengan idolanya, Datuk Sheila Majid suatu hari nanti.
Tambahan pula, katanya, hasrat itu sudah lama terpendam.
"Saya sangat minat dengan Sheila malah lagu-lagunya bagaikan makanan ruji saya sejak kecil.
"Sheila juga antara faktor mengapa saya mahu menjadi penyanyi.
"Pastinya, saya juga mengimpikan untuk berkolaborasi dengannya satu hari nanti," katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran jenama pakaiannya sendiri, Sabtu lalu.
Selain Sheila, pelantun lagu Jodoh Pasti Bertemu ini turut mengimpikan untuk bekerjasama dengan Yuna dan Joe Flizzow.
"Sebenarnya, saya cukup tertarik dengan keistimewaan bakat mereka," katanya.
Sebelum ini, Afgan pernah berduet dengan penyanyi rap, SonaOne menerusi lagu X dan Rollercoaster yang dimuatkan dalam album solo keempatnya, Sides.
"Kini, saya sedang sibuk mempromosikan single ketiga iaitu Ku Dengannya Kau Dengan Dia," katanya.
Pada masa sama, penyanyi berusia 28 tahun ini meneruskan siri jelajah konsert Sides Malaysia Tour 2017.
Kali ini, pemilik nama sebenar Afgansyah Reza ini bakal menggegarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru pada 8 April depan.
Katanya, ini adalah lokasi ketiga siri konsert jelajah itu di negara ini selepas Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang diadakan pada 3 September 2016 dan Stadium Bandaraya Miri, Sarawak (24 Disember 2016) mendapat sambutan luar biasa.
"Konsert ini boleh disifatkan sebagai konsert berskala paling besar, bukan saja di Johor tetapi juga di serantau selatan.
"Saya sudah tidak sabar untuk menghiburkan peminat di sana," katanya yang terbuka menerima tawaran berlakon jika karya yang ditawarkan berbentuk muzikal.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Pada Mu Ku Bersujud ini juga bakal terlibat dengan persembahan Minggu Setiausaha April depan.
Afgan menjanjikan lebih kepuasan kepada peminat kerana diiringi band sendiri dan bukan minus one.
Impi butik sendiri
Afgan turut menyerlahkan kebolehannya dalam bidang perniagaan melalui pelancaran jenama pakaian sendiri, Arez.Co di platform e-dagang popular di Asia Tenggara, FashionValet.
Katanya, usaha itu menjadi langkah pertamanya dalam mengukuhkan jenama produknya di negara ini.
"Ini adalah satu permulaan yang baik untuk saya terus maju terutama dalam bidang fesyen.
"Saya juga harus berterima kasih kepada FashionValet kerana memberi peluang melancarkan koleksi Arez.Co di butik mereka.
"Sudah tentunya, saya ada impian untuk membuka butik sendiri, suatu hari nanti,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya, nama Arez diambil daripada singkatan namanya sekali gus menterjemahkan dedikasi terhadap peminat yang menjadi tonggak utama terhadap kerjaya seninya.
"Saya banyak berfikir mengenai peminat ketika menghasilkan koleksi ini dan sudah pasti bertuah kerana dapat melancarkannya bukan saja untuk peminat di Indonesia tetapi juga di Malaysia," katanya.
Lebih menarik, katanya, koleksi pakaiannya itu menampilkan rekaan hasil inspirasinya sendiri daripada karakter dan jiwanya.
"Setiap rekaan dekat dengan jiwa dan karakter saya. Ia simbolik kepada keghairahan saya dalam bidang fesyen.
"Jujur, ia buat saya jadi lebih teruja untuk mengeluarkan lebih banyak idea kreatif pada masa akan datang.
"Istimewanya, saya turut mengeluarkan koleksi untuk wanita berhijab kerana mereka juga menggemari jenama ini," katanya.
Arez.Co hadir dengan logo kaca mata sebagai signature kepada koleksi itu dan dihasilkan untuk lelaki dan wanita dengan harga berpatutan iaitu RM150.
Selain itu, penyanyi lagu Terima Kasih Cinta ini juga mempunyai perniagaan lain di Indonesia seperti restoran, pusat karaoke dan syarikat penganjuran acara.