Sinar baru Afad & Friends


Awal Muharam menjadi titik tolak untuk melakukan penghijrahan dan memperbaharui azam.

Semangat itulah yang dipegang bekas ahli kumpulan nasyid Raihan, Zulfadli Mustaza atau lebih mesra disapa sebagai Afad.

Tidak lagi bergerak solo, penyanyi nasyid berusia 33 tahun ini menubuhkan kumpulan Afad & Friends setahun lalu yang dianggotai Mohd Fuad Mohammad, Mohd Mahyudin Mohd Mokhtar, Mohd Khairul Anuar Mohd Ramly dan Syahrizan Sahamat.

Lebih menarik, kumpulan itu dianggotai barisan pemuzik profesional dan pernah mengiringi Raihan membuat persembahan di dalam atau luar negara.

Mengulas lanjut, Afad berkata, kumpulannya itu masih memperjuangkan lagu kerohanian dengan konsep muzik akustik.

“Konsepnya lebih kepada special project band. Saya bersyukur kerana mereka bersemangat bergerak bersama," katanya.

Tambah Afad, kumpulan itu bukan saja mempersembahkan lagu-lagu bernuansa Islamik tetapi mengatur perjalanan majlis perkahwinan mengikut sunnah Nabi Muhammad SAW.

“Perjuangan kita ialah berdakwah menerusi lagu kerohanian,” katanya kepada Media Hiburan.

Katanya, penubuhan kumpulan tersebut bukan untuk bersaing sebaliknya bersama memeriahkan industri seni tanah air.

Sebelum ini, kata Afad, pemuzik profesional ini sudah bergerak dalam satu kumpulan atas nama Gemersik Sufi, pada 2010 tetapi nama itu diimprovisasi menjadi Afad & Friends pada 2015.

Mereka bertuah kerana mendapat sokongan padu Raihan dan terus bertahan dalam industri seni.

“Alhamdulillah, kami bersyukur kerana dipertemukan sekali lagi dengan awal Muharam.

“Kami bukan saja sambut tahun baru Islam tapi Awal Muharam itu sendiri menyimpan sejarah yang cukup bermakna untuk dihayati," katanya.

Justeru, berbekalkan semangat itu, mereka berazam agar terus positif berjuang dalam industri seni.


Afad & Friends.

Afad juga berharap penubuhan kumpulan itu bukan saja mampu meninggalkan kesan positif terhadap diri sendiri tetapi juga buat masyarakat.

“Walaupun masih baru dalam industri, kami mahu peminat positif apabila mendengar produk kami," ujarnya.

Rindu Bilal

Dalam pada itu, meminjam semangat Muharam, Afad & Friends turut mengambil kesempatan melancarkan single pertama, Rindu Bilal.

Istimewanya, single tersebut menceritakan perjuangan Bilal bin Rabah, sahabat Nabi Muhammad SAW.

Katanya, lagu berkonsep pop ciptaan Syahrizan Sahamat dan susunan muzik Afad & Friends ini adalah percubaan pertama mereka.

“Walaupun ambil masa lama nak siapkan single ni tapi Alhamdulillah kerana kami masih diberi peluang," kata Afad yang turut mengakui mementingkan kualiti.

“Kita mahu audiens kenal dan ingat antara sahabat yang rapat dengan Nabi Muhammad SAW selain menanamkan rasa cinta terhadap Baginda.

“Menariknya, kami juga mendapatkan khidmat pemain dram profesional bagi menaikkan mood,” cerita Afad lagi.

Pada masa sama, katanya, Afad & Friends juga mahu memasarkan single tersebut di pasaran antarabangsa.

“Insya-ALLAH, kalau ada rezeki kami mempromosikan single ini menerusi sesi jelajah Indonesia, awal tahun depan.

“Kami pun dah bincang. Alhamdulillah, ada pihak berminat nak pasarkan lagu ini di sana. Selain Indonesia, kami rancang pasarkannya di Thailand dan Brunei,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post