Cerewet cara Ayda Jebat




Mengenali wanita bernama Ayda Jebat, tiada apa yang mustahil baginya dalam meladeni karier sebagai seorang penghibur.

Pada pandangan mata kasar, Ayda mungkin dilihat sebagai seorang wanita peramah yang kerap menuturkan kata-kata usikan agar individu di sekitarnya mampu memecahkan gelak dan tawa.

Namun, di sebalik warna-warni karakternya, Ayda merupakan seorang penghibur yang serius dan sentiasa fokus terhadap sebarang pekerjaan.

Bukti jelas dapat dilihat pada usaha yang dihamparkan oleh pemilik nama sebenar Nur Suhada Jebat itu menerusi single terbaharunya yang berjudul Temberang.

Mengambil masa selama setahun untuk disiapkan, Ayda berkata, banyak perkara yang dititik beratkan sepanjang melunaskan pembikinan lagu ciptaan Ezra Kong dan Hael Husaini itu.

“Antaranya adalah perihal penukaran beberapa bait lirik dalam lagu Temberang. Lirik yang mereka hasilkan bagus, cuma ia memang seratus peratus Melayu.

“Jadi, saya meminta kebenaran daripada Ezra dan Hael untuk menukar liriknya sedikit agar lagu ini dapat diterima dengan mudah di Indonesia,” katanya membuka bicara.

Menurut Ayda, dia berasa beruntung kerana Ezra dan Hael begitu memahami kehendaknya.

“Ezra dan Hael risau juga jika lirik ini tidak dapat diterima oleh orang kita. Tetapi, setelah memberikan alasan kukuh, mereka yakin dan bersetuju untuk menukar lirik.

“Saya lihat ia sebagai satu toleransi yang bagus. Maklumlah, kadangkala ada perkara yang kita tidak nampak, jadi kerjasama antara saya dan komposer dapat melengkapkan karya ini sebaiknya,” kata Ayda lagi.

Lawan arus

Berbicara lanjut tentang rangka promosi lagu Temberang, Ayda dan pihak pengurusannya, Xeno Entertainment (dahulu dikenali sebagai Paranormal Asia) memutuskan untuk meluncurkan klip videonya terlebih dahulu.

Sungguhpun ia kelihatan bercanggah daripada kebiasaan, namun, Ayda mempunyai justifikasi tersendiri tentang keputusan tersebut.

“Saya faham, selalunya penyanyi akan melancarkan lagu terlebih dahulu sebelum klip video. Tetapi, saya mahukan satu cara promosi yang baharu agar lagu ini lebih senang untuk diterima oleh khalayak,” katanya jujur.

Melanjutkan perbualan, Ayda turut ‘campur tangan’ dalam urusan penerbitan klip video Temberang secara keseluruhan.

“Pada awalnya, kami merancang untuk menjalani penggambaran klip video ini di Dubai, tetapi, atas sebab-sebab tertentu, hasrat tersebut terpaksa dibatalkan. Jadi, saya hasilkan sebuah jalan cerita dan ia direalisasikan dengan sempurna oleh pengarahnya, Aaron Lee daripada Lenswork.

“Setelah selesai penggambaran, saya turut terlibat dalam proses suntingan bersama pihak Lenswork bagi mendapatkan hasil yang memuaskan,” kata Ayda yang mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan penggambaran klip video Temberang.

Melihat pada penerangan Ayda terhadap projek terbaharunya, pasti ada yang beranggapan bahawa Ayda merupakan seorang yang cerewet.

Namun, wanita yang berasal dari Melaka itu menjelaskan, dia cerewet bertempat.

“Saya sedar, ramai penyanyi baharu yang mula mencuba nasib dalam industri. Mereka juga mampu mencipta nama dengan cepat, termasuk meraih pengikut yang banyak.

“Barangkali, ada yang mengatakan saya sudah berada pada fasa yang stabil. Tetapi, ia tidak bermakna saya perlu selesa dengan keadaan.

“Sebab itu, saya sentiasa perlu hasilkan karya yang terbaik agar dilihat pada tahap berbeza,” katanya.

Negatif

Ditanya mengenai maksud yang tersirat dalam lagunya, Ayda berkata, Temberang hanyalah sebuah lagu santai yang ditujukan kepada umum.

Ujar pelakon filem Pinjamkan Hatiku itu, ia merupakan sindiran yang mungkin dekat dengan dirinya dan juga masyarakat.

“Sejak kecil, kita mesti pernah berdepan dengan situasi yang memerlukan kita berbohong.

“Jadi secara amnya, lagu ini untuk kita semua. Selain liriknya, melodi lagu ini senang diingati dan saya harap ia dapat diterima oleh semua orang,” kata Ayda sambil tersenyum.

Namun, dalam ghairah mempromosikan lagunya, nama Ayda terguris sedikit disebabkan kontroversi yang melibatkan pereka busana untuk poster dan sampul depan single terbaharunya.

Menurut pereka berkenaan, Ayda gagal memberikan akreditasi terhadap rekaan mereka sewaktu dia memuat naik poster pertama di Instagram beberapa hari sebelum klip video Temberang dilancarkan.

Menurut Ayda, tuduhan yang dimuat naik oleh pereka berkenaan dianggap biadab dan isu berkenaan boleh diselesaikan dengan lebih profesional.

“Saya telah berkomunikasi dengan jurugaya untuk memberi akreditasi bagi bajunya menerusi video berlainan. Tetapi, dia tetap menulis kata-kata berkenaan.

“Bagi saya, caranya menegur itu salah. Jika tidak berpuas hati, dia boleh datang terus berjumpa dengan saya secara bersemuka,” tegasnya.

Menurut Ayda, dia terfikir untuk tidak menggunakan gambar berkenaan dan mencari imej lain bagi sampul depan singlenya. Tetapi, mengenangkan penat lelah kru belakang tabir, Ayda tetap menggunakan gambar tersebut.

“Saya tidak mahu fikir sakit hati semata-mata. Saya perlu profesional.

“Pereka itu perlu mendapat bahagiannya juga. Jadi, tidak mengapalah, sudah menjadi rezeki dia,” tambah Ayda.

Melihat pada laluan hidupnya sepanjang 2018, Ayda mengakui yang namanya sering dikaitkan dengan perkara negatif.

Bagaimanapun, ia bukanlah satu hal yang memberi kesan besar dalam rutin hariannya.

“Saya percaya, setiap yang berlaku pasti ada sebabnya. Sebagai contoh, lagu Mata gagal mara ke Anugerah Juara Lagu Ke-32 tetapi dinobatkan sebagai Lagu Terbaik Malaysia pada Anugerah Planet Muzik 2018.

“Bagi saya, apabila ada benda yang menyakitkan berlaku, pasti akan ada balasan yang menyenangkan di tempat lain,” katanya.

Berkenaan dengan azam tahun baharunya, Ayda hanya inginkan karier seninya berkembang dengan lebih baik pada tahun depan.

“Tahun 2018 merupakan tahun yang sangat mematangkan saya.

“Oleh itu, untuk tahun depan, saya tidak ingin lebih, cukuplah momentum karier saya kekal di laluan yang betul,” harap Ayda.

Post a Comment

Previous Post Next Post