Cetusan fenomena Syafiq Kyle




Keadaan langit di sekitar sebuah vila yang terletak di lereng Bukit Setiawangsa, Kuala Lumpur pada petang itu agak mendung. Di sebalik gumpalan awan kelabu, rintik-rintik gerimis masih turun dengan ligat, walaupun pada sebelah paginya hujan lebat telah membadai belantara ibu kota sehingga kebasahan.

Di satu sudut dalam vila mewah tersebut, kelihatan kelibat Syafiq Kyle yang mengenakan baju lengan panjang berona biru dengan rambut disisir rapi. Mimik wajahnya sedikit sebal, barangkali terlalu tekun menghayati karakter Tengku Isma yang memerlukannya bermain dengan emosi dan perasaan.

Begitu rutin harian terkini Syafiq, atau nama sebenarnya Mohd. Syafiq Shamim Abdul Razak sejak diberikan tanggungjawab menggalas karakter tersebut oleh sutradara Erma Fatima untuk drama bersiri terbaharunya yang berjudul Bukan Cinta Aku.

Membawakan watak utama di samping dramatis Janna Nick dan pelakon kelahiran Indonesia, Baim Wong, Syafiq kelihatan serius dalam memberikan yang terbaik ketika beraksi di hadapan kamera.

Akuinya, watak kali ini agak berlainan berbanding watak-watak dalam karya terdahulunya.

“Kalau ikutkan cita rasa, saya lebih suka membawakan watak-watak santai. Agak penat sebenarnya membawakan watak berat dalam drama.

“Maklumlah, watak-watak sebegini memerlukan kita bermain dengan emosi,” ujarnya bersahaja ketika diajak untuk berbicara.

Meneliti portfolio seni Syafiq sepanjang bergelar anak seni, ramai penerbit dan pengarah dilihat mula memberi perhatian terhadap kebolehan lelaki berusia 26 tahun itu dalam menggalas pelbagai watak sejak drama rantaian lakonannya, Nur yang disiarkan pada pertengahan bulan Ramadan lalu telah mencetuskan kegilaan khalayak.

Selain mendapat kepercayaan orang kuat dalam industri, populariti Syafiq juga melantun tinggi, menjadikannya sebagai pelakon yang paling ‘dikehendaki’ bagi tahun ini. Buktinya, khidmat Syafiq sebagai pelakon dilanjutkan ke layar lebar menerusi dua filem pecah panggung iaitu Langsuir dan Gol & Gincu Vol. 2.

“Walaupun ramai yang beranggapan saya mula dikenali menerusi drama Nur, namun secara peribadi, saya rasakan penonton mula menyedari kehadiran saya selepas drama Suamiku Paling Sweet ditayangkan pada tahun lalu.

“Disebabkan drama tersebut, saya mula dipanggil untuk membintangi drama-drama lain seperti Mencintaimu Mr. Photographer, Dekatkan Jarak Kita seterusnya Nur. Alhamdulillah, melihat kembali setiap rezeki yang diberikan, saya berasa lebih bersyukur kepada Allah,” ujarnya jujur.

Berliku

Mengenang kembali perjalanannya dalam industri hiburan, Syafiq menyedari bahawa apa yang diraih pada hari ini tidak datang bergolek.

Segalanya memerlukan cita-cita dan kesabaran di samping usaha yang tidak berpenghujung.

“Pada awal pembabitan dalam industri, pelakon-pelakon senior seperti Remy Ishak, Aaron Aziz dan Sharnaaz Ahmad sedang popular. Jadi, saya sendiri bimbang bagaimana mahu bersaing dengan mereka.

“Namun, apabila melihat sejarah karier pelakon-pelakon senior, mereka juga tidak mendapat nama dengan mudah dan mengambil masa yang agak lama untuk dikenali.

“Dari situ, saya mula memahami bahawa pengalaman dapat mematangkan kita sepanjang berkarier sebagai pelakon,” ujar Syafiq panjang lebar.

Dalam pada itu, Syafiq juga mengakui pernah berasa putus asa ketika sukar untuk menempatkan namanya sebagai pelakon.

“Pernah suatu ketika saya duduk bersama ibu dan menangis kerana sukar untuk meneruskan survival dalam industri hiburan. Biarpun keluarga kami senang, tetapi agak malu bagi seorang anak lelaki untuk terus bergantung harap pada ibu dan bapanya.

“Justeru, sejak saat itu, saya bertekad untuk terus berusaha tanpa menyusahkan keluarga,” katanya.

Melanjutkan bicara, Syafiq berkata, dia berasa sangat beruntung kerana ibunya, Rohaya Sulaiman sering memberi perhatian terutama apabila dia mempunyai masalah ketika bekerja.

“Ibu merupakan satu-satunya orang yang bertanya sama ada saya gembira atau tidak dengan apa yang saya lakukan.

“Disebabkan hal itu, saya sering pergi kepada ibu dan meluahkan rasa jika mengalami sebarang masalah. Ibu memberi banyak motivasi kepada saya,” katanya lagi.

Nur 2

Berkenaan dengan perancangannya terkini, Syafiq berkata, dia akan memulakan penggambaran bagi drama rantaian Nur 2 pada awal tahun depan.

Teruja untuk kembali beraksi bersama dengan barisan pelakon asal Nur serta pelakon-pelakon lain yang bakal muncul menerusi Nur2 kelak, Syafiq berkata, peminat bakal menyaksikan isu berbeza yang bakal diterapkan dalam naskhah arahan Shahrulezad itu.

“Apa yang boleh saya kongsikan, drama rantaian Nur 2 nanti akan mempertaruhkan isu yang cukup berbeza. Jika edisi pertama membawa kisah keagamaan, namun pada kali ini, pengarah mengangkat tema kemanusiaan.

“Bulu roma saya sendiri meremang sewaktu membaca skrip dua episod pertama baru-baru ini. Mungkin disebabkan pernah berada dalam persekitaran drama tersebut, ia membuatkan saya lebih teruja,” katanya sambil tersenyum.

Dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik Drama Rantaian menerusi drama Nur pada Anugerah Skrin 2018 baru-baru ini, Syafiq berkata, ia bukanlah satu bebanan untuk menjayakan sekuelnya nanti.

Menurut Syafiq, dia percaya dengan bekalan skrip yang bagus di samping pengarah, kru serta pelakon yang berkualiti, naskhah Nur 2 pasti mampu berdiri dalam kelas tersendiri.

“Jika dilihat kembali drama Nur secara keseluruhan, saya anggap ia sebuah pakej yang lengkap. Skrip yang bagus, pelakon berkualiti, kru berdedikasi dan pengarah yang kreatif menjadikan Nur begitu meninggalkan kesan terhadap penonton.

“Jadi, saya percaya pakej seperti itu akan dikembalikan dalam drama Nur 2 dan insya-Allah, ia pasti akan memberi ruang berfikir baharu kepada peminat,” katanya menutup perbualan.

Impak Syafiq Kyle dalam dunia lakonan sepanjang 2018 bukan calang-calang. Bermula dengan kegilaan drama Nur, namanya mula diberi perhatian baik oleh orang industri sendiri mahupun khalayak umum.

Post a Comment

Previous Post Next Post