Seventeen sepanggung sehidup semati




Tanpa pertukaran anggota sejak 20 tahun penubuhannya, Seventeen dianggotai oleh (dari kiri), Bani, Ifan, Andi dan Herman.

Tanggal 22 Disember 2018, sekitar pukul 9 malam pasti menjadi satu tarikh yang tidak akan dilupakan oleh penduduk Selat Sunda, Indonesia dan peminat seni Nusantara, saat menerima kenyataan bahawa bencana tsunami meragut nyawa lebih 400 orang termasuk hampir semua anggota kumpulan popular Seventeen.

Pada malam Sabtu minggu lalu, Seventeen yang dianggotai oleh Ifan (vokalis), Bani (gitar bas), Herman (gitar) dan Andi (dram) baru sahaja memanaskan pentas dengan lagu kedua dalam persembahan anjuran sebuah badan korporat di Tanjung Lesung Beach Resort, Pandeglang Banten apabila tiba-tiba sahaja, tanpa sebarang amaran, ombak tsunami muncul meranapkan pentas dan menghanyutkan semua yang berada di situ.

Hanya Ifan atau nama sebenarnya Rifiean Fajarsyah yang terselamat apabila sempat berpaut pada kotak saat dilambung ombak ganas tersebut. Namun malangnya, tiga lagi rakannya termasuk pengurus mereka, Oki Wijaya dan isteri Ifan sendiri, Dylan Sahara disahkan meninggal dunia.

Reda, mungkin itulah yang dapat disimpulkan menerusi muat naik status-status Ifan di laman Instagramnya sejak pengesahan insan-insan tersayang maut akibat insiden penuh tragis ini.

Tiada satu pun kata-kata yang diucapkan Ifan berbaur ratapan mahupun menyalahkan takdir atas apa yang berlaku, selain sering meminta peminat mendoakan arwah rakan-rakan dan isterinya itu ditempatkan dalam kalangan hamba terpilih di sisi Allah.

“Buat semua peminat dan pihak yang pernah bekerjasama dengan kami, jika selama 20 tahun 20 hari berkecimpung dalam industri seni ini ada yang terasa hati atau kurang berkenan dengan perlakuan kami berempat, saya mewakili arwah Bani, Herman dan Andi memohon maaf seikhlas hati atas kekhilafan kami terutama mereka bertiga yang telah tiada.

“Saya mohon, doakan agar sahabat-sahabat saya ini dikurniakan husnul khatimah dan ditempatkan di sisi Allah yang paling mulia. Saya dahulukan doa-doa kalian dengan ucapan terima kasih.

“Sesungguhnya kami, Seventeen adalah sahabat sepanggung sehidup semati,” tulisnya di laman Instagram saat kesemua mayat anggota kumpulan itu ditemui.

Berkongsi detik-detik hitam selepas dihanyutkan ombak hingga ke tengah laut, Ifan berkata dia sendiri hampir berputus asa untuk berenang ke pantai selepas hampir dua jam terapung dengan dirinya dikelilingi mayat.

“Sebaik sahaja saya berjaya sampai ke pinggir pantai, saya ternampak jenazah arwah Bani dan Oki (pengurus) bergelimpangan di antara timbunan tubuh-tubuh lain yang sudah tidak bernyawa,” ceritanya lagi.

Takdir

Sesungguhnya, takdir Tuhan tidak dapat dihalang. Sebenarnya, Seventeen bukanlah pilihan pertama penganjur iaitu Perusahaan Listrik Negara (PLN) untuk menghiburkan penonton pada malam kejadian.

Mengikut perancangan awal, kumpulan Element yang sepatutnya mengadakan persembahan malah semua hal termasuk bayaran, pengangkutan dan penginapan sudah pun dipersetujui oleh Element dan pihak penganjur.

Menurut vokalis dan pemain dram Element, Ferdy Taher, kerjasama tersebut bagaimanapun dibatalkan pada saat akhir tanpa diberitahu apakah puncanya dan penganjur hanya memberitahu mereka telah memilih Seventeen sebagai pengganti.

“Apabila diberitahu kami digantikan oleh Seventeen, saya ikhlas dan langsung tidak berasa marah atau kecewa. Saya anggap sahaja tiada rezeki. Rupa-rupanya ada hikmah yang tersembunyi.

“Namun sebagai rakan artis, Element pastinya turut berduka dan berasa sangat kehilangan atas pemergian anggota-anggota Seventeen dalam bencana ini. Semoga Ifan terus bersabar atas kehilangan rakan-rakan baik dan isterinya dalam kejadian ini,” katanya menerusi satu video dalam saluran You Tube Rans Entertainment baru-baru ini.

Dalam pada itu, jenazah isteri Ifan, Dylan yang juga merupakan pelakon dan pengacara tersohor Indonesia itu ditemui tidak jauh dari lokasi Ifan terdampar dua hari selepas bencana akibat letusan Anak Krakatau tersebut.

Menerima kehilangan wanita yang dikahwininya pada tahun 2016 itu dengan hati yang tenang, Ifan mencoret kata-kata menggambarkan dirinya tidak lagi berhasrat mencari pengganti isterinya dan mahu bersatu kembali di syurga.

“Hari ini saya hantar kamu dahulu ya sayang. Tunggu saya di syurga dan doakan agar kita kembali bersatu sebagai suami isteri di sana kelak. Terima kasih kerana telah menjadi isteri yang sempurna buat saya selama dua tahun ini,” tulisnya sewaktu majlis pengebumian Dylan, Selasa lalu.

Ifan turut memohon sesiapa yang memiliki gambar isterinya supaya mengirimkan foto-foto berkenaan kepadanya untuk disimpan memandangkan koleksi simpanannya hanya ada di dalam telefon bimbitnya yang hilang semasa dilanda tsunami tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post