Merdekakan filem dengan One Two Jaga


Bukan ingin terlalu mengangkat filem arahan saudara Nam Ron, apatah lagi ingin menghasut membuta tuli penonton untuk turun ke panggung wayang mengisi bangku yang ‘sejuk’ sejak mula ditayangkan 6 September lalu, cuma One Two Jaga kalau dibiarkan layu tanpa sokongan yang mencukupi, barangkali langkah naskhah-naskhah layar perak tempatan dengan bumbu sedemikian selepas ini akan terbantut begitu sahaja.

Maka, bergembiralah penonton semua dengan atmosfera filem yang terhad; sama ada yang lucu atau yang seram atau juga mungkin kisah cinta antara lelaki dan perempuan. Sementara di negara lain kian mara dengan filem-filem yang pelbagai, sedangkan kita masih terkial-kial untuk meraikan kepelbagaian genre sesebuah karya.

Paling menyedihkan, saat tulisan ini selesaikan, One Two Jaga diuji apabila sebilangan besar pawagam menghentikan tayangan filem berkenaan kerana kekurangan jumlah penonton. Itu tidak dicampur lagi dengan ‘kudis’ merebaknya ura-ura filem itu diboikot segelintir pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana cerita yang mengangkat gejala korupsi segelintir perosak badan beruniform tersebut.

Adakah dengan membentangkan hakikat yang wujud dalam realiti masyarakat, ia menjadi satu kesalahan? Penulis menghabiskan durasi kira-kira 95 minit menghadam One Two Jaga, sungguh tidak terdetik secuit rasa terancam atau terhina dengan pembongkaran Nam Ron, Bront Palarae dan rakan-rakannya, sedangkan ada ahli keluarga terdekat bekerja dalam bidang kepolisan.

Sebabnya, semua sedia maklum isu korupsi wujud dalam mana-mana organisasi bukan sahaja dalam dunia kepolisan.

Bukan sewenang-wenangnya menuding jari mendakwa segelintir polis sebagai tidak boleh dijentik, namun seperti pendekatan si penerbit, Bront, berlapanglah dada dalam menghadam sebarang pendapat atau respons biarpun didatangkan dalam bentuk naratif filem. Pendekatan sebegitu mampu membawa semua untuk terus maju dalam apa juga perkara yang dikerjakan.



Nilai naratif, sinematografi
Baiklah, lima perenggan penulis mengomel tentang penerimaan One Two Jaga usai seminggu ia menjengah orang kita. Izinkan saya menghuraikan pendapat mengapa filem ini antara filem tempatan yang wajar diberikan perhatian yang secukupnya. Pertama, ia senang dihadam dengan penceritaan yang sehabis selamba.

Buat mereka yang sudah menonton, pasti mengangguk tanda setuju dengan kisah yang dibentangkan. Korupsi atau rasuah itu andai tidak disemai, ia tidak akan berjangkit daripada seorang individu kepada individu lain. Ada dalam kalangan mereka atau mungkin kita terpaksa mencari ‘duit lebih’ kerana tekanan ekonomi hidup yang tidak berapa menyebelahi.

Ada yang terima rasuah kerana sudah terperangkap dan sukar menemui jalan keluar daripada kelaziman yang lama-kelamaan memakan diri sendiri. Ada yang sudah punya kuasa dan duit berjuta-juta, terus hanyut kerana menjadi hamba wang memang tidak akan pernah cukup. Bekerja demi nafsu serakah yang tidak pernah habis memang tidak akan pernah puas.

Penulis juga amat menggemari sinematografi yang dipamer. Konsistensi dark atau gelap memang diamalkan dengan tertib dari awal cerita bermula sehingga minit akhir. Bukan sekian kali menonton filem tempatan yang ‘serius’, penulis tidak melelapkan mata kerana terpana dengan pacing (pergerakan) babak yang menderaskan adrenalin.



Menyentuh soal lakonan pemain yang terlibat, semuanya cakna dengan tanggungjawab atau peranan masing-masing.

Terpegun dengan keberkesanan watak yang dimainkan Asmara Abigail sebagai Sumiati, Ario Bayu (Sugiman) dan malah, sekecil-kecil watak yang dijayakan Chew Kin Wah (ketua polis bernama James). Bahkan pelakon watak kanak-kanak bernama Joko juga setanding dengan kawan karibnya, Adi (Amerul Affendi).

Sorakan istimewa buat pelakon hebat Amerul yang menterjemah watak antihero bernama Adi dengan cukup berkesan. Lelaki kurus melengking itu jika diberi karakter ‘gengster memberontak’ diselitkan sedikit humor, dialah raja.

Sengaja tidak memberikan sinopsis kerana sepertinya ramai yang sudah berkicau tentang filem berkenaan di sosial media, penulis mengharapkan semua yang bercakap mengotakan sokongan dengan menghabiskan wang kurang daripada RM20 di panggung wayang yang masih menayangkan filem berkenaan. Majulah filem untuk negara, majulah negara untuk filem!

Post a Comment

Previous Post Next Post