Kalau sudah namanya figura awam, apa sahaja yang dilakukan, baik dalam laman sosial mahupun tempat terbuka, pasti akan menjadi modal bualan masyarakat. Itulah yang terjadi kepada Sufian Suhaimi apabila dia memuat naik sekeping gambar di Instagram bersama seorang wanita baru-baru ini.
Mencuit rasa ingin tahu khalayak, ramai beranggapan wanita yang dikenali sebagai Natasha Ashraff itu merupakan teman baharu kepada Sufian. Tidak kurang juga ada yang memuji keserasian mereka berdua.
Namun, Nastaha bukanlah siapa-siapa dalam hidup Sufian. Ketika bertemu dengan penyanyi lagu Di Matamu itu baru-baru ini, Sufian berkata, Natasha merupakan sepupu kepada jurugambar yang membidik potret mereka pada waktu itu.
Pertemuan mereka tempoh hari berlangsung secara spontan sewaktu jurugambar dengan nama Fractment itu menyatakan hasrat mahu merakamkan gambarnya.
“Jurugambar tersebut merupakan kawan baik saya sejak zaman persekolahan dan dia memang gemar mengambil gambar. Natasha pula merupakan sepupu kepada kawan saya itu.
“Kami dipertemukan pada hari tersebut atas dasar sesi fotografi semata-mata, tidak lebih daripada itu,” tutur Sufian membuka bicara.
Ulas penyanyi berusia 26 tahun itu lagi, aksi mereka ketika dibingkaikan bersama tidaklah semesra yang dihebohkan oleh khalayak di laman sosial.
“Saya tidak jangka yang sesi fotografi tersebut menimbulkan banyak spekulasi dalam kalangan peminat.
“Bagi saya, ada ramai lagi yang bergambar sedemikian dan dimuat naik dalam laman sosial. Disebabkan ia gambar Sufian Suhaimi, maka perhatian yang diterima lebih sedikit.
“Jika gambar tersebut menyebabkan ramai yang terasa, saya dengan rendah hati ingin memohon maaf,” ungkap Sufian jujur.
Cinta
Melihat pada perkongsian tersebut, barangkali ada yang meneka Sufian kini bersedia untuk melangkah ke fasa berbeza dalam hidupnya dan meninggalkan kisah luka bersama bekas tunang, pelakon Elfira Loy.
Biarpun pernah melalui proses pertunangan pada penghujung tahun lalu dan hampir melangkah ke alam perkahwinan, namun, Sufian menidakkan kepentingan untuk mencari jodoh dalam masa terdekat.
Katanya, dia masih tidak terfikir untuk mencari teman hidup dan mahu memberi fokus terhadap kerjayanya dalam bidang muzik.
“Apa yang saya kerjakan sekarang ini sudah cukup untuk membuatkan kehidupan saya sibuk. Cinta bukanlah satu keutamaan bagi saya. Ada banyak perancangan yang ingin saya lunaskan pada masa akan datang.
“Begitupun, saya tidak pernah menutup hati untuk bercinta lagi. Jika ia datang, saya menerima dengan hati terbuka,” ujarnya.
Terlanjur berbicara mengenai percintaan dan jodoh, Sufian ditanya mengenai usia yang sesuai bagi seseorang lelaki itu untuk menamatkan zaman bujang. Tanpa berfikir panjang, ini jawapan Sufian.
“Sejujurnya, ia bergantung pada individu. Jika individu tersebut tidak tahan mahu berkahwin, usia 25 hingga 27 merupakan masa yang sesuai,” tutur Sufian sambil ketawa.
Meskipun Sufian kini berada dalam lingkungan umur yang dinyatakannya, namun dia selesa solo buat masa ini.
“Saya gembira dengan hidup sekarang. Saya dikelilingi oleh keluarga, rakan-rakan dan peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan.
“Jadi, tidak ada sebab untuk saya berkejar-kejar menamatkan zaman bujang,” katanya lagi.
Beralih pada hubung kait privasi dan statusnya sebagai selebriti, Sufian mengakui yang kehidupannya kini berjalan dalam perhatian peminat. Sufian juga sedar, setiap perkara yang dilakukan, pasti mendapat pujian atau kritikan daripada masyarakat.
“Saya sedar, ini merupakan harga yang perlu dibayar selepas bergelar penyanyi. Tetapi, ia bukanlah satu bebanan buat saya.
“Biarpun orang kerap memerhati, namun, ia merupakan satu hal yang bagus kerana kita akan lebih berhati-bati dan hanya akan berbuat perkara yang baik-baik sahaja,” katanya sambil tersenyum.
Nasihat
Bercakap tentang perhatian, Sufian turut diminta untuk mengulas mengenai ‘perangai’ artis-artis baharu sejak kebelakangan ini.
Haqiem Rusli contohnya menjadi bahan perdebatan khalayak apabila mengambil keputusan untuk berhasrat bersara daripada industri. Tidak cukup dengan itu, Haqiem turut mendakwa yang dirinya menghidap depresi.
Sebagai sebahagian kelompok pendatang baharu, Sufian menasihati Haqiem supaya menjadi lebih matang berfikir dan tidak mencampurkan hal peribadi dalam kerjaya.
“Haqiem sudah lama dalam industri dan saya pasti, dia tahu apa yang perlu dilakukan. Masih banyak perkara yang dia harus lalui bagi membentuk dirinya menjadi lebih baik.
“Kalau boleh, jangan campurkan hal peribadi dengan kerjaya dan tidak terlalu sensitif dengan keadaan. Bukan tidak boleh terkesan dengan persekitaran, tetapi jangan disebabkan kritikan, kita menjadi cepat terpengaruh dan kehidupan kita berubah,” katanya.
Dalam pada itu, Sufian turut menasihati artis-artis baharu supaya tidak menjadikan isu-isu sebegini sebagai pelaris untuk memasarkan karya mereka.
“Jika ada artis yang berpendapat isu-isu sebegini boleh dijadikan landasan atau gimik untuk karya lebih dikenali, saya boleh sifatkan ia sebagai satu tindakan yang tidak sihat.
“Perkara tersebut boleh menyebabkan industri muzik kita ini dipandang rendah. Akibatnya, orang tidak akan memandang serius terhadap bakat yang kita miliki.
“Hentikanlah gimik untuk jual lagu. Tidak baik kan menipu rakyat Malaysia?” katanya yang berharap agar penyanyi-penyanyi baharu menggunakan saluran yang betul bagi mempromosikan lagu.