Ezad Lazim mahu jadi pemilik label muzik


Tempoh lebih 20 tahun dalam industri hiburan tidak pernah memadamkan api kecintaan Ezad Lazim terhadap dunia nyanyian. Terbaharu, penyanyi lagu Kuasa Cinta itu meluahkan hasrat untuk membuka label muzik sendiri.

Meskipun masih dalam peringkat perancangan, namun daripada intonasi suaranya, lelaki berusia 38 tahun kedengaran jelas dan begitu optimis dengan keputusan tersebut.

Bukan sahaja mahu mengukuhkan kedudukan di persada seni tempatan, Ezad turut percaya, langkah tersebut dapat membantu khalayak terutama generasi baharu merealisasikan impian bergelar penyanyi.

Menyusun kemas setiap perancangan masa depan, Ezad bagaimanapun tetap memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengurusannya kini, MVM Music sebelum tamat kontrak pada awal tahun hadapan.

“Saya sering menerima kiriman video peminat, termasuk dari Indonesia, Singapura dan Brunei yang berhasrat untuk menceburi bidang nyanyian.

“Ada daripada mereka juga meminta pertolongan untuk mempelajari teknik nyanyian dan latihan vokal. Tidak kurang juga yang menghantar demo lagu.

“Banyak bakat muda berpotensi dan layak diberi perhatian lebih-lebih lagi bagi mereka yang mempunyai pakej lengkap,” kata Ezad.

Ezad yang ditemui pada majlis rumah terbuka di kediamannya baru-baru ini turut mengulas mengenai kriteria calon penyanyi yang diinginkan untuk berada bawah pengurusannya kelak.

Tentunya, individu yang berbakat besar menjadi pilihan utama bagi bapa kepada dua cahaya mata ini selain pakej lengkap agar dapat membantu mereka untuk lebih mudah diterima khalayak.

“Pakej lengkap dimaksudkan adalah memiliki rupa paras yang sedap mata memandang. Bukan berniat menafikan bakat tetapi khalayak lebih mudah tertarik dengan rupa.

“Tidak dinafikan bakat juga merupakan elemen penting kerana itu yang menentukan sama ada artis tersebut berkualiti mahupun sebaliknya,” terangnya.

Dalam nada bersahaja, Ezad turut menaruh harapan agar diberi peluang untuk menyertai program realiti Mentor di TV3. Baginya, program sebegitu bagus sebagai persediaan bergelar penasihat kepada bakat-bakat baharu.





Ikut kesesuaian

Selain meluahkan hasrat untuk membuka label pengurusan artis sendiri, Ezad turut tidak menafikan kecintaannya terhadap dunia lakonan.

Kemunculannya menerusi filem Mami Jarum, Mami Jarum Junior dan Mistik membuatkan kerjaya Ezad tidak hanya menyerlah sebagai penyanyi.

Hanya melepaskan ketawa kecil, Ezad mengakui kini mahu lebih fokus terhadap kerjaya nyanyian dan perniagaan baju sekolah jenama Bijak miliknya, yang diusahakan pada penghujung tahun lalu.

“Lakonan dan nyanyian merupakan dua perkara berbeza. Berlakon memperuntukkan saya berada di lokasi tanpa mengira masa siang atau malam.

“Berbanding dengan nyanyian, saya hanya perlu membuat latihan dan persembahan. Sejurus selesai, saya tidak terikat dengan sebarang perkara dan boleh memberi fokus terhadap hal lain.

“Namun, itu bukan bermaksud saya menolak sebarang tawaran berlakon. Sebaliknya, jika tiada kekangan dan waktu yang bersesuaian, saya tidak mempunyai masalah untuk berlakon,” ujar suami kepada Nor Azeana Ramli itu ceria.

Post a Comment

Previous Post Next Post