Konsert di Pasir Gudang pemanas Ella


Ella menjanjikan persembahan istimewa buat peminat di Selatan tanah air pada Konsert Rockstar pada 7 September depan.

Lebih tiga dasawarsa bergelumang dalam dunia nyanyian sehingga digelar sebagai Ratu Rock Malaysia, sengaja soalan tentang bagaimana Ella berjaya mengekalkan momentum kecemerlangnya sehingga hari ini dilontarkan.

Ia berikutan satu kekecohan yang timbul baru-baru ini lantaran beberapa orang penyanyi muda tempatan sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan ingin berhenti menyanyi kerana berdepan depresi dan tidak tahan dengan kritikan daripada netizen di media sosial.

Artis berkenaan tidak lain dan tidak bukan, Haqiem Rusli, 20, yang kemudiannya ‘berjangkit’ dengan rakan baiknya, As’ad Motawh. Seperti mempermainkan isu depresi, Haqiem bagaimanapun muncul kembali dengan single terbaharu berjudul Selamat Tinggal Sayang, sekali gus seperti menjadikan isu berhenti menyanyi sekadar gimik.

Ditemui pada sidang akhbar Konsert Rocktar baru-baru ini, Ella atau nama sebenarnya, Nor Zila Aminuddin, 51, turut berkongsi perkembangan terbaharunya termasuk perancangan konsert solonya.

KOSMO!: Memandangkan sekarang masih bulan Syawal, bagaimana pula sambutan raya tahun ini?

ELLA: Disebabkan terlampau sibuk, tahun ini saya tidak berkesempatan untuk mengadakan rumah terbuka buat peminat. Sambutan raya biasa sahaja tambahan pula, suami saya Kapten Azhar Husaini Ghazali bekerja pada hari raya pertama dan kedua. Jadi, saya dan keluarga berkumpul di rumah kakak, Jojie.

Anda bakal muncul dengan Konsert Rocktar di Stadium Perbandaran Pasir Gudang, Pasir Gudang, Johor pada 7 September depan. Apakah kelainan yang akan dipersembahkan kepada penonton?

ELLA: Konsert Rockstar ini tidak melibatkan saya sahaja. Saya akan berkongsi pentas dengan Prime Domestic. Bagaimanapun, kami tidak akan menyanyi bersama.

Kelainan lain, saya akan berduet dengan Korie menyanyikan lagu Pergilah Sayang kerana persembahan lagu itu mendapat permintaan ramai.

Apa yang boleh anda janjikan kepada peminat?

Mungkin saya akan menyanyikan 15 buah lagu 50 peratus daripada album baharu dan selebihnya daripada album-album terdahulu.

Saya masih lagi mempromosi album baharu Peace.Love.Rindu dan akan banyak menyanyikan lagu daripada album itu.

Bagaimanapun saya pasti akan menyampaikan lagu-lagu hit yang masih segar dalam kalangan peminat.





Bagaimana perasaan anda apabila diumumkan sebagai satu-satunya penyanyi rock wanita terbabit dalam Konsert Rockstar di Johor kali ini?

Semestinya saya berasa teruja, apatah sudah lama tidak mengadakan konsert besar-besaran di Selatan tanah air. Mungkin konsert ini akan jadi pemanas badan buat saya untuk merancang sebuah konsert solo berskala mega selepas ini.

Maaf bertanya, sebagai seorang wanita yang amat mengimpikan saat menimang zuriat sendiri, apa yang boleh anda katakan apabila terlalu banyak kes pembuangan bayi yang berlaku dalam negara ketika ini?

Perkara itu sudah banyak kali berlaku dan saya berasa amat sedih kerana makin hari, makin teruk. Sepatutnya kita memberikan sokongan kepada orang yang memerlukan bantuan. Maksud saya, di Malaysia banyak pusat penjagaan bayi khas untuk kes-kes terlanjur.

Cuma, masyarakat kita jenis yang suka memberikan persepsi bukan-bukan andai anak luar nikah dilahirkan dan sebagainya. Kesedaran tentang hal ini harus ditingkatkan supaya bayi tidak berdosa tidak terus menjadi mangsa ibu bapa yang tidak bertanggungjawab.

Sebagai artis senior, apa pula pendapat anda apabila ada segelintir penyanyi muda yang mudah menyerah kalah atau mahu bersara awal daripada nyanyian?

Bagi saya, mereka perlu sentiasa berfikiran positif dan tidak terlalu melayan perasaan. Harus bersabar dengan dugaan dalam dunia hiburan. Kalau sudah ‘kena’ sedikit sudah mengalah, bagaimana mereka hendak pergi jauh? Saya bukan menyalahkan mereka 100 peratus namun mental kena kuat untuk terus maju.

Post a Comment

Previous Post Next Post