Haqiem Rusli Saya tidak tipu


Haqiem Rusli percaya dia mengalami kemurungan ringan.

Penyanyi Haqiem Rusli atau nama sebenarnya Ridzuan Haqiem Rusli, 20, menafikan dakwaan bahawa dia menipu peminat gara-gara pernah mengeluarkan kenyataan menghidap kemurungan sekitar sebulan lalu.

Haqiem berkata, salah faham terjadi apabila dia tersalah menggunakan perkataan bagi merujuk masalah yang dialaminya sebelum ini.

“Sejujurnya, saya bukanlah orang pandai. Saya akui salah pilih perkataan untuk gambarkan masalah yang saya alami.

“Mana mungkin saya mahu main-main dengan perkara yang saya tanggung seorang diri,” katanya pada sidang akhbar yang berlangsung di Kafe Suka Sucre di sini sebentar tadi.

Pada sidang akhbar tersebut, Haqiem tampil memohon maaf secara terbuka disebabkan kontroversi melanda dirinya selepas mengumumkan bakal bersara sebagai penyanyi dan mengalami kemurungan.

Dalam pada itu, Haqiem menambah, dia bakal bertemu dengan pakar psikatris di sebuah hospital bagi mendapat maklumat lanjut sama ada dia benar-benar menghadapi kemurungan atau pun tidak.

“Saya percaya saya menghidap kemurungan ringan. Namun, saya belum lagi bertemu dengan doktor untuk mendapatkan pengesahan.

“Selepas apa yang berlaku, pihak pengurusan saya iaitu FMC Music telah mengaturkan pertemuan dengan pakar bagi mengetahui keadaan sebenar saya,” katanya lagi.





Dalam pada itu, Haqiem turut memohon maaf terhadap Ernie Zakri dan Wany Hasrita selepas kemunculan mereka dalam program Facebook Live anjuran radio Hot FM baru-baru ini menimbulkan kontroversi.

“Saya berharap agar kemunculan mereka pada program berkenaan tidak dipersalahkan. Jangan kecam mereka lagi,” ujar Haqiem lagi.

Haqiem juga meminta agar kelab peminatnya, Qiemillo tidak terus mengecam Ernie, Wany dan pihak media.

Terdahulu, Ernie memuat naik status di Instagram menyelar Haqiem kerana menggunakan alasan kemurungan untuk mempromosikan single terbaharunya, Selamat Tinggal Sayang.


Post a Comment

Previous Post Next Post