Siti terkejut dengan penyebaran berita palsu mengaitkan dirinya.
Penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza kesal dengan penyebaran berita palsu oleh sebuah blog yang mendakwa beliau menggunakan maklumat secara tidak sah semata-mata untuk bergelar jutawan.
Siti, 39, menafikan dakwaan tersebut yang turut menggunakan gambar dan namanya selain meminta masyarakat agar tidak terpengaruh dengan berita palsu berkenaan.
"Berita ini terdapat di dalam sebuah blog iaitu blogspotcentral.com dengan tajuk lain tetapi apabila kita klik, akan keluar berita yang memaparkan wajah saya dengan ejaan nama Sita Nurhaliza.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya berita di atas (jika dirujuk kepada saya) dan perkara tersebut tidak ada kena mengena dengan diri saya.
"Ingatkan waktu berpantang, bolehlah berehat tapi tak mengapa, saya perlu jelaskan sesuatu supaya tidak ada orang yang keliru dengan berita palsu ini," tulisnya di laman Instagram.
Siti kesal dengan berita palsu mengaitkan dirinya.
Isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa ini, kini sedang berpantang selepas melahirkan anak perempuan yang diberi nama Siti Aafiyah pada 19 Mac lalu.
Menerusi posting tersebut, Siti memuat naik paparan skrin berita berbahasa Inggeris bertajuk 'Sita Nurhaliza Being Sued After Using Illegal Information To Make Millions (Sita Nurhaliza didakwa menggunakan maklumat tidak sah untuk menjadi jutawan)'
Dalam berita itu, mereka menggunakan foto penyanyi ini namun namanya dieja sebagai Sita Nurhaliza dan bukannya Siti Nurhaliza.
Sementara itu, Siti turut mempersoalkan motif berita palsu ini disebarkan oleh pemilik blog berkenaan.
Siti tidak teragak-agak mengambil tindakan kepada pemilik blog tersebut.
Malah, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan kepada penulisnya jika tidak memadam berita itu.
"Apakah tujuan yang cuba dibuat oleh pihak yang menulis berita tersebut? Saya tidak pasti namun menggunakan wajah saya dan nama Nurhaliza telah mengundang pertanyaan ramai orang mengenai berita tersebut.
"Saya berharap agar pihak yang membuat berita palsu ini segera memadamkan wajah dan nama saya kerana saya tidak ada kena mengena langsung dengan berita tersebut.
"Jika perkara ini berlanjutan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dan akan merujuk kepada pihak yang lebih arif," katanya.