Siti Elizad Semoga Tuhan berkati awak


Kisah artis bertelagah dengan netizen di laman sosial bukanlah sesuatu yang baharu. Sementelahan pula dengan kepesatan dunia digital, golongan artis kini dilihat memiliki medium yang lebih mudah untuk kembali membidas setiap kritikan netizen berbanding masa lalu.

Terbaharu, suhu termometer hiburan tanah air minggu ini dilihat pijar seketika apabila aktres popular, Siti Elizad dilihat menegur tindakan biadab seorang individu di laman Twitternya, @elizad_official baru-baru ini.

Segala-galanya ekoran individu berkenaan bertindak biadab serta menghina bentuk tubuhnya secara terbuka di depan khalayak, selain menyamakan bentuk badan aktres tersebut tidak ubah seperti papan kayu.

Elizad atau nama sebenarnya Siti Elizad Mohamad Sharifuddin, 34, memberitahu, dirinya sukar untuk menerima penghinaan tersebut yang dianggap cukup keterlaluan dan kurang ajar.

Menurut Elizad, tindakan individu berkenaan seolah-olah langsung tidak memikirkan perasaannya sekeluarga, apatah lagi mahu mengkritik makhluk ciptaan Tuhan.

Tambahan pula, jelas Elizad, dia tidak lagi boleh bertolak ansur memandangkan kritikan individu berkenaan membabitkan bentuk fizikal.

“Nak hina benda lain saya okey lagi, cuma jangan sentuh bab keluarga dan fizikal saya. Kurus macam papan pun kejadian Allah yang bagi.

“Mulut mak cik cantik sangat ke? Okey bagi peluang nak famous kerana mulut awak yang menghina saya tu,” tulisnya di Twitter berkenaan sambil memuat naik profil individu terbabit.





Mengulas lanjut, Elizad turut mempertahankan tindakannya yang bukan untuk kembali menyerang balas netizen berkenaan, sebaliknya sekadar mempertahankan diri daripada dibuli di alam siber khususnya buat golongan selebriti sepertinya yang mudah menjadi mangsa kecaman netizen secara membuta tuli di laman sosial.

“Terima kasih atas kejian, takut esok Allah tarik kelebihan yang ada pada awak.

“Sekurang-kurangnya saya tidak hina orang, semoga Tuhan berkati hidup awak,” tulisnya lagi.

Pada masa sama, Elizad juga percaya tindakan keterlaluan individu berkenaan disebabkan oleh kurangnya didikan dan asuhan yang sempurna.

“Segala yang tercantik di dunia ini tidak boleh dilihat dan disentuh.

“Sebaliknya, ia perlu dirasai dengan hati,” ujarnya seraya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post