Ressa Herlambang cadang beraya di KL


KALI terakhir muncul dengan single berjudul Jomblo pada 2010, Ressa akan tampil dengan lagu baharu dalam masa terdekat.

SABAN tahun, belum pernah waima sekali penyanyi dan komposer terkenal Indonesia, Ressa Herlambang tidak pulang menyambut Aidilfitri di kampung halamannya di Bandung sejak bergelar artis popular hampir dua dasawarsa lalu.

Cuma pada tahun ini, penyanyi yang popular dengan lagu Menyesal itu tidak menolak kemungkinan untuk meraikan lebaran di Kuala Lumpur, itu pun seminggu selepas hari raya pertama.

“Saya memang tidak pernah ketinggalan untuk pulang menyambut Aidilfitri di Bandung pada setiap tahun, persiapan juga sering kali disiapkan lebih awal supaya tidak begitu kelam-kabut dibuatnya.

“Cuma pada kali ini, saya bercadang untuk ke Kuala Lumpur kira-kira seminggu selepas raya untuk sesi bertemu peminat di sini.

“Selain menyanyikan beberapa lagu popular seperti Menyesal, saya juga teruja kerana berpeluang untuk bermaaf-maafan zahir dan batin bersama peminat di Malaysia,” ujarnya kepada Sensasi Bintang.

Ungkap Ressa, 32, rakan-rakannya dari Kuala Lumpur juga pernah memberitahu bahawa budaya menyambut Syawal di Bandung, Indonesia juga tidak banyak bezanya berbanding di sini.

“Kami juga menikmati juadah seperti soto ayam dan ketupat rendang. Cuma pada masa sama, saya teruja untuk menjamah sayur pataya yang dimakan bersama ketupat memandangkan juadah itu hanya boleh dinikmati ketika Aidilfitri di Bandung,” ceritanya lagi.

Mengulas mengenai perkembangan karier, Ressa yang berpengalaman sebagai komposer dan pernah mencipta beberapa lagu buat penyanyi popular Indonesia seperti Datuk Rossa dan Syahrini memberitahu, dia bercadang untuk tampil dengan single terbaharu dalam masa terdekat selepas hampir tujuh tahun tidak muncul dengan lagu baharu selepas kali terakhir tampil dengan single berjudul Jomblo sekitar 2010.

Ini kerana, menurut Ressa, dia kini sedang sibuk menguruskan syarikat produksi miliknya, RH Production yang diusahakan bersama rakan kongsi iaitu Ridho Madolofa.

“Kami memiliki visi dua hala iaitu membantu perjalanan seni mana-mana artis berbakat dari kedua-dua negara tanpa sebarang kekangan.

“Selain menguar-uarkan kehadiran artis baharu kami iaitu Fedi di sini, pihak kami juga bersedia untuk membantu mana-mana artis baharu yang ingin mencipta nama di Indonesia,” jelasnya.

Getus Ressa, kerjasama antara RH Production dan mana-mana syarikat produksi termpatan itu termasuklah rakaman single serta rangkaian promosi album secara menyeluruh termasuk peluang membuat persembahan di radio dan televisyen di sana.

“Saya benar-benar berharap supaya kerjasama seperti ini dapat mengikis tanggapan bahawa karya-karya dari Malaysia sukar menembusi pasaran Indonesia, selain memartabatkan muzik serantau.

“Ini sekali gus dapat memberikan variasi dalam kalangan pendengar serta bersaing secara kreatif,” ujarnya menoktah bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post