Saharul Ridz­wan, Orang Arab suruh letak nama Muhammad


Saharul Ridz­wan kini sibuk menguruskan perniagaan serunding daging.

BULAN ini merupakan momen cukup bermakna buat pelakon Saharul Ridz­wan. Ini kerana, selain pertama kali menyambut Ramadan bersama isteri, pelakon berusia 28 tahun itu juga dikurniakan cahaya mata sulung pada Selasa minggu lalu.

Semestinya, ia menjadi kenangan terindah buat dia sekeluarga dengan kehadiran putera pertama yang diberi nama Muhammad Luth Ali itu. Lebih manis apabila hari ini juga secara tidak langsung Saharul juga meraikan sambutan Hari Bapa buat julung-julung selepas bergelar ayah.

“Syukur Alhamdulillah. Rezeki di bulan Ramadan. Itulah, tahun ini tak sempat nak beraya berdua lagi. Merasa juga berpuasa, beraya dan sambut hari bapa buat pertama kali bertiga dengan bayi sulung pada tahun ini.

“Apabila sudah bergelar bapa, sebenarnya barulah kita tahu pengorbanan dan tanggungjawab dalam membesarkan anak,” kongsinya ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Berkongsi mengenai kelahiran anaknya, menurut Saharul, anaknya itu sebenarnya lahir seminggu awal daripada tarikh jangkaan doktor.

“Kalau ikutkan 13 Jun, tetapi awal se­minggu. Sewaktu menerima panggilan isteri, saya berada di luar dan tidak perasan dia ada menghubungi. Isteri sampai perlu menelefon kawan saya untuk maklumkan mengenai air ketubannya sudah pecah.

“Kelam kabut saya balik rumah. Alhamdulillah, proses kelahiran dipermudahkan. Kini dia menjalani tempoh berpantang di rumah ibunya,” cerita Saharul yang mendirikan rumah tangga pada September tahun lalu.

Berkongsi mengenai pemilihan nama anaknya itu, menurut Saharul, nama yang diberikannya itu mempunyai maksud dan cerita di sebaliknya.

“Sewaktu saya ke Mekah bersama isteri, ketika sing­­gah mahu membeli kurma, penjual Arab di sana beritahu kalau anak saya lelaki, letakkan nama Muhammad. Ketika itu saya bel­­­um tahu pun jantina anak lagi.

“Itu yang saya letakkan nama tersebut, manakala Luth pula merupakan pilihan isteri saya berikutan nama nabi. Nama ketiganya, Ali pula saya yang pilih bersempena Saidina Ali yang juga merupakan sepupu dan menantu Rasulul­lah,” cerita pelakon drama Megat Extend itu.

Menurut Saharul, keutamaan kini perlu diletakkan kepada anak sulungnya itu. Jus­teru, walau sibuk mana sekalipun, dia akan pastikan masa yang ada untuk bersama anaknya.

“Saya boleh mandikan anak sendiri. Kalau balik kerja tengah malam pun saya akan ­luangkan masa dengannya. Lagipun anak saya kerap bangun untuk menyusu. Kalau cakap pasal tidur, memang tak cukup.

“Pada masa sama, saya ambil keputusan untuk tidak terlibat dengan sebarang penggambaran drama buat masa ini, kalau tidak susah pula berjauhan dengan anak,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post