Priyanka Chopra masih menjadi mangsa


Primadona Bollywood, Priyanka Chopra mendedahkan pengalamannya yang masih menjadi mangsa rasis dan seksis meskipun telah lama berhijrah ke dunia Hollywood.

Dalam satu temu bual bersama majalah InStyle, Priyanka, 36, memberitahu, dia pernah kehilangan watak utama gara-gara perkara itu.

“Ia baru berlaku tahun lepas apabila seseorang daripada produksi memberitahu ejen saya bahawa watak itu tidak sesuai gara-gara faktor fizikal.

“Pada mulanya saya ingatkan kerana bentuk tubuh sama ada saya perlu lebih kurus atau pun berotot, rupa-rupanya ia disebabkan oleh warna kulit,” ujarnya seperti mana dilaporkan portal E! News.

Pada masa sama, Priyanka turut mempertikaikan majoriti produksi di Hollywood yang kurang memberikan perhatian terhadap kekuatan watak mana-mana wanita.

“Ia berlaku di peringkat uji bakat lagi apabila watak yang ditawarkan kepada mana-mana aktres tidak sekuat watak hero.

“Pandangan stereotaip ini tidak akan berubah selagi diskriminasi jantina tidak diatasi,” jelasnya.





Post a Comment

Previous Post Next Post