Usah lagi bercerita mengenai kisah cintanya yang sudah ternoktah. Setiap yang berlaku itu bersebab. Atas dasar itu sebagai manusia biasa harus sentiasa menerima ketentuan Tuhan dengan berlapang dada kerana pastinya akan terbit satu kemanisan.
Lihat saja kejayaan single terbaharu Sufian Suhaimi, Di Matamu yang kini sudah mencecah lebih enam juta tontonan di YouTube kendatipun baru saja dilancarkan minggu lepas.
Ternyata, kekuatan lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen itu meletuskan fenomena luar biasa sekali gus membantu Sufian, 26, memperkukuhkan jenamanya dalam kalangan peminat seni tempatan di sebalik kesedihannya gara-gara kisah tali pertunangan bersama dramatis popular, Elfira Loy yang terkandas di pertengahan jalan baru-baru ini.
Lagu Di Matamu merupakan single keempat Sufian selepas Terakhir, Harus Aku dan Terasa Ada.
“Alhamdulillah, ia sememangnya satu pencapaian yang manis sepanjang karier dan ia tidak akan berlaku tanpa sokongan peminat.
“Reaksi peminat juga cukup positif dan sejujurnya, saya tidak menyangka single Di Matamu mendapat sambutan luar biasa seperti ini.
“Memang pada mulanya saya mahu melancarkan muzik video berkenaan pada bulan ini, tetapi tetap memilih tarikh 23 Mac kerana ingin menjadikan tarikh tersebut sesuatu yang indah untuk dikenang sampai bila-bila,” ujarnya.
Sufian dan Elfira sepatutnya bernikah pada 23 Mac lepas, namun mereka yang bertunang pada 6 Oktober tahun lalu akhirnya membawa haluan masing-masing selepas tali pertunangan pasangan itu terputus pada 17 Februari lepas.
Pada masa sama, Sufian turut menegaskan bahawa segala yang dipaparkan dalam muzik video Di Matamu juga tiada kaitan dengan sesiapa.
“Saya sendiri tidak suka berkaraoke seperti mana yang ditunjukkan dalam muzik video berkenaan,” ceritanya lagi.
Tidak lagi mahu mengimbau kesedihan masa silam, Sufian turut berkongsi keperihalan peribadinya yang barangkali tidak diketahui khalayak.
Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu memberitahu, dia memiliki ophidophobia dan herpetophobia iaitu fobia terhadap ular dan cicak sejak sekian lama.
“Tidak tahu mengapa, saya memang tidak boleh menerima kehadiran ular atau cicak dalam kehidupan saya sejak dahulu,” ujarnya tertawa kepada Sensasi Bintang.
Pada masa sama, Sufian memberitahu, dia juga tidak gemar menonton cerita seram, selain pernah aktif bersukan kayak ketika masih bergelar mahasiswa sedikit masa lalu.
“Ramai juga yang tidak tahu selain bakat sebagai seorang penyanyi, saya juga berkebolehan memasak,” ungkapnya.
Pada masa sama, pemegang Ijazah Sarjana Komunikasi Massa serta Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Bahasa Inggeris ini juga belum bercadang untuk melanjutkan pengajian meskipun pernah menerima beberapa tawaran biasiswa untuk melanjutkan pengajian ke peringkat doktor falsafah (PhD).
“Buat masa ini, saya mahu fokus terhadap perkembangan karier gara-gara jadual yang semakin padat, tambahan pula PhD benar-benar menuntut komitmen dan bukan sesuatu yang mudah,” katanya seraya menoktah bicara.