“Mungkin ada yang tak senang melihat saya cuba menjalankan perniagaan kedai makan. Saya sendiri pernah berdepan situasi menjadi mangsa hasad dengki orang keliling yang cuba menganiaya bisnes saya. Saya anggap itu lumrah dalam dunia perniagaan. Saya pun kena terima kenyataan tak semua orang suka kita.”
Itu luahan penyanyi Ronnie Hussein yang mengakui pernah berdepan dengan episod duka apabila perniagaan kedai makan yang dijalankan suatu masa dahulu pernah cuba disabotaj secara halus oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Bagaimanapun, menurut pelantun lagu Dikoyak Waktu itu, situasi itu tidak pernah mematahkan semangat dirinya bersama isteri untuk meneruskan bisnes berkenaan.
“Ketika itu kita baru nak berniaga memang tidak percaya kalau ada orang nak dengki sebegitu. Bagaimanapun, selepas mendengar nasihat, kita cuba ikhtiarkan apa yang patut,” katanya yang sudah mengusahakan kedai masakan panas, Ibunda Seafood yang terletak di Johor Bahru, Johor sejak tahun 2009.
Apa yang penting, hari ini bekas vokalis Hyper Act itu mampu tersenyum dengan perniagaan yang dimilikinya. Membuka tiga lagi premis makanan pada bulan lalu, pemilik nama sebenar Shahron Hussein itu kini banyak menghabiskan masa dengan mengendalikan kesemua premis miliknya itu.
“Saya sendiri yang masak kalau di kedai. Mungkin ada yang tidak percaya bahawa saya belajar memasak sebenarnya menerusi YouTube pada mulanya. Daripada situlah, kita belajar sedikit demi sedikit untuk memperbaiki masakan kita,” katanya yang membuka tiga premis baharu itu di pusat beli-belah Mydin Mall, Johor Bahru Mac lalu.
Menurut penyanyi berusia 37 tahun itu, dia mempunyai kecintaan mendalam terhadap dunia perniagaan. Baginya, sebagai peniaga, keuntungan bukanlah misi utama semata-mata. Sebaliknya, bagi pelantun lagu Menanti Janji itu, dia berasakan berniaga merupakan salah satu cara untuk berkongsi rezeki dengan orang lain.
“Pada saya, kita berniaga bukanlah mahu untung sahaja, tetapi lebih kepada konsep sedekah. Sebolehnya, saya mahu berkongsi rezeki itu dengan orang lain.
“Maksudnya, kita tidak boleh kedekut dengan pelanggan. Apabila pesanan makanan dibuat, kita lebihkan kuantitinya. Lagipun, kebanyakan pelanggan merupakan penuntut universiti berdekatan. Kira kita bersedekah dengan cara begitu. Busker (penyanyi jalanan) yang membuat persembahan berdekatan premis saya pun dapat makanan,” kongsinya yang mengusahakan makanan ala barat dan masakan Melayu dengan keseluruhan tenaga pekerja seramai 20 orang.
Biarpun sibuk berniaga, dalam perkembangan lain, Ronnie memberitahu, dia kini muncul dengan single baharu berjudul Pesimismu. Katanya, lagu tersebut menggambarkan satu sisi berbeza dirinya.
“Kalau ikutkan, saya selalu dengan lagu berentak balada. Cumanya, lagu ini agak berbeza kerana bukanlah jiwa saya. Cuma, saya rasakan perlu untuk lagu rancak sebegini. Sekurang-kurangnya apabila diminta membuat persembahan lagu rancak, saya ada koleksi lagu sendiri,” katanya yang memberitahu lagu itu dihasilkan oleh komposer Kencana dan lirik oleh Adam Iskandar.