Penyanyi Atilia Haron, 42, sedang mencuba pelbagai usaha untuk mendapatkan cahaya mata termasuklah kaedah perubatan Cina.
Menurutnya, kaedah berkenaan diamalkan baru-baru ini selepas selepas percubaan lain kurang berkesan.
“Doktor sudah mengesahkan saya dan suami tidak mempunyai masalah kesuburan. Saya masih boleh mendapat anak pada usia ini cuma mungkin sukar kerana selalu tertekan.
"Sudah puas mencuba pelbagai kaedah dan tidak menjadi, baru-baru ini saya mula amalkan minum akar-akar ubat Cina. Memang rasanya teruk tetapi saya kuat hati menelannya,” kata Atilia.
Puteri kepada penyanyi Salamiah Hassan ini mengakui kali ini dia bersungguh-sungguh mahu mendapatkan zuriat memandangkan usia kian meningkat.
“Selama ini saya selalu luangkan masa dengan anak kawan-kawan. Rasa tak sabar pula mahu bermain dengan anak sendiri,” katanya.
Atilia mendirikan rumah tangga kali kedua bersama lelaki pilihannya, Adam Sofian pada Ogos 2014 dan masih belum dikurniakan cahaya mata.