Filem Train to Busan bukan sahaja menjadi fenomena di Korea Selatan bahkan turut menjadi kegilaan seantero dunia.
Berikutan sambutan luar biasa itu, nama Gong Yoo, 37, hangat diperkatakan malah ramai menjadikannya idola.
Di sebalik nikmat populariti yang dikecapi, aktor kacak itu tidak terlepas menjadi mangsa manipulasi banyak pihak tidak bertanggungjawab.
Antaranya ada individu menggunakan nama Gong Yoo untuk mewujudkan akaun palsu media sosial padahal dia tidak memiliki sebarang akaun.
Baru-baru ini bintang yang digilai ramai wanita ini mengakui seronok hidup bujang.
Menurut Gong Yoo, status solo membolehkannya hidup dengan bebas dan lebih fokus terhadap kerja.
Bagaimanapun, dia tidak menafikan ada bayaran yang terpaksa dilunaskan di sebalik semua itu.
“Meskipun dilimpahi kasih sayang orang ramai, kehidupan anak seni sebenarnya sunyi.
“Saya turut melalui keadaan ini. Setiap kali rasa kesunyian saya akan pujuk hati dengan mengatakan sudah buat yang terbaik dan mampu melalui kehidupan sebegini dengan baik,” katanya.
Menyedari ramai berharap Train to Busan ada sambungan, Gong Yoo mengakui ada berkongsi pandangan dengan penerbit dan pengarah filem pecah panggung itu.
“Saya ada bercakap dengan Kim Yeon-Ho (penerbit) mengenai hal ini dan kemukakan pandangan biarlah karakter Seok Woo masih hidup sebagai zombie sekiranya ada sekuel. Namun dia memaklumkan ketika watak lakonan saya, Seok Woo mati akibat patah tengkuk ketika jatuh dari kereta api.
“Bagaimanapun, memandangkan karakter Ma Deong Seok masih hidup sebagai zombie, saya cadangkan pengarah filem ini, Yeon Sang Ho membuat sekuel daripada perspektif karakter itu pula,” katanya.
Gong Yoo kini sibuk dengan rangka promosi filem The Age of Shadows yang mendapat pencalonan Anugerah Academy.