Pengalaman Meskipun penampilannya bersama Armada Band dalam program Dahsyat di Indonesia mengundang pelbagai kritikan, As'ad Matowh bagaimanapun tidak melihatnya sebagai satu tindakan sabotaj atau cuba menjatuhkan kerja seninya yang kini sedang meningkat naik.
Pada era milenium kini, penggunaan media sosial bukan sahaja menjadi medium untuk bersosial tetapi ia turut menjadi pentas awal buat mereka yang ingin menonjolkan bakat.
Mampu dikatakan sebagai satu jalan pintas untuk merebut peluang dalam industri namun, segalanya bergantung kepada nasib dan bakat serta nilai komersial individu terbabit.
Dilihat mempunyai pakej lengkap tersebut, kehadiran As’ad Ahmed Mohamed Motawh atau lebih dikenali dengan nama pentas sebagai As’ad Motawh telah membuka jalan buatnya mencuri peluang dalam industri seni tanah air.
Permulaan kisahnya sama seperti kebanyakan penyanyi baharu lain yang muncul daripada internet. Dengan memuat naik beberapa video yang menyaksikan dirinya mendendangkan lagu penyanyi sedia ada, percubaan As’ad nyata tidak sia-sia. Dia kini bukan sahaja dikenali peminat tempatan, malah namanya turut disebut di Republik Indonesia.
Pengalaman
Muncul dalam sebuah program hiburan di Indonesia, As’ad menjadikan ia sebagai peluang dan batu loncatan bagi mengukuhkan kedudukan sebagai penyanyi sementelah dia sendiri baharu setahun jagung mencipta nama dalam industri.
Namun, langkah awalnya meraih sambutan kurang memuaskan apabila kemunculannya sebagai bintang undangan dalam program Dahsyat bersama Armada Band dikritik.
Menyanyikan lagu bertajuk Asal Kau Bahagia bersama Armada Band, As’ad tidak menjangka berlaku insiden ‘suara sumbang’ sewaktu membuat persembahan sehingga mengundang pelbagai reaksi peminat.
Mengakui ia bukan satu perkara mudah untuk diterima apatah lagi dia sendiri masih terlalu baharu dalam industri tetapi, segala yang berlaku dijadikan sebagai pengalaman buatnya agar lebih berhati-hati sebelum bersedia membuat persembahan secara langsung.
“Pada awalnya, susunan lagu telah dibuat terhadap beberapa bahagian tertentu agar not tidak terlalu tinggi dan masing-masing telah bersetuju dengan perkara tersebut. Disebabkan hal tertentu, not lagu tersebut tidak diubah menjadi rendah sehingga menyebabkan suara saya pecah.
“Saya mengakui ia satu pengalaman yang teruk dan pengajaran agar tidak lagi berlaku pada masa hadapan. Perkara itu mengajar saya untuk lebih membuat persediaan rapi sebelum bersedia membuat persembahan.
“Terima kasih kepada peminat yang memberi sokongan dan masih menaruh kepercayaan terhadap saya. Pengalaman tersebut bukan sahaja mengajar tetapi memberi pendedahan baharu tentang dunia seni,” ujar remaja berusia 17 tahun itu.
Tidak meletakkan kesilapan tersebut di atas bahu pihak lain, As’ad menjadikan apa yang berlaku sebagai satu iktibar dan memastikan ia tidak akan berulang pada masa akan datang.
Sejajar dengan insiden itu, As’ad mengambil pendekatan ‘sediakan payung sebelum hujan’. Dia kini mengikuti kelas vokal dan teknik persembahan serta bersenam bagi mengekalkan stamina ketika menyanyi.
Bukan bermaksud bersikap seperti sudah terhantuk baru terngadah, tetapi sebagai orang baharu dalam industri pasti dia memerlukan lebih masa untuk mempersiapkan diri.
Kritikan
Disebabkan itu, As’ad mengambil pendekatan untuk kekal positif meskipun mengetahui insiden tersebut mengundang pelbagai tanggapan negatif yang mengatakan dia tidak layak bergelar penyanyi.
Dia juga bersyukur, video persembahannya menyanyikan lagu tersebut bukan sahaja menjadikan namanya sebagai sebutan tetapi turut menerima lebih banyak undangan persembahan.
“Syukur, rezeki saya semakin bertambah setelah video tersebut tular di internet. Barangkali di sebalik sesuatu kejadian tersimpan hikmah yang kita sendiri tidak mengetahui,” katanya.
Pada masa sama, As’ad sendiri mengaku mentertawakan diri sendiri saat menonton persembahan tersebut.
Secara peribadi, dia sendiri tidak menjangkakan insiden terbabit mampu berlaku.
Ia lantas mengajar As’ad agar lebih berhati-hati membuat keputusan dan berani menyuarakan pendirian sama ada ingin menyanyikan sesebuah lagu yang bukan miliknya di hadapan khalayak.
Perancangan
Hadir ke acara sidang akhbar pencalonan senarai awal Anugerah Meletop Era 2018 baru-baru ini, As’ad turut memberitahu dia ingin kekal fokus terhadap pelajaran.
Memandangkan bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini, As’ad ingin menumpukan sepenuh perhatian terhadap tugasnya sebagai pelajar.
Mengikuti pendidikan di rumah (homeschooling), As’ad meletakkan SPM sebagai sasaran perancangan pertama sebelum dia melahirkan album penuh pertama pada penghujung tahun ini.
“Berdasarkan perancangan, saya akan menerbitkan album penuh sekitar penghujung tahun ini atau tahun depan. Namun, segalanya masih dalam peringkat perbincangan kerana buat masa sekarang saya baru sahaja merakamkan dua buah lagu. Terdapat beberapa proses yang perlu dilakukan sebelum bersedia tampil dengan album tersebut,” terang As’ad.
Perancangan lain As’ad bagi memastikan kerjayanya bergerak di landasan yang betul, dia bakal mengadakan jerayawara di beberapa buah negara Asia Tenggara seperti Singapura, Brunei, Filipina dan Thailand pada penghujung tahun ini.