Adel kuat melatah


MENYEBUT perkataan yang kurang manis atau tidak enak di khalayak ramai dianggap menjengkelkan. Namun, perkataan itulah yang sering terpacul dari mulut penyanyi Adel atau Adeline Joyce Masidah, 23.

Adel

Buktinya sewaktu siaran langsung program Hlive, baru-baru ini, Adel tanpa sengaja telah menyebut perkataan dalam dialek Kadazan Dusun yang membawa maksud alat sulit wanita.

“Ya, itulah perkataan yang sering saya sebut apabila melatah. Waktu program itu, saya tersadung dan hampir jatuh. Apabila dalam keadaan terkejut perkataan itulah yang sering terpacul dari mulut saya tanpa sengaja. Bukan suka-suka nak sebut, tetapi terkeluar secara sepontan.

“Bagi orang Sabah, mereka faham dan ada yang tegur dan tidak kurang pula yang ketawakan saya. Semua komen mereka saya terima dengan hati terbuka kerana saya tidak dapat menolak keadaan begitu kerana sejak dua tahun lalu tabiat melatah ini semakin menjadi-jadi,” ceritanya tanpa berselindung.

Bercerita lanjut tentang tabiat latah yang dialaminya, Adel berkata, semuanya kerana terikut-ikut.

“Dulu saya suka ajuk kawan yang melatah. Hah! Sekarang ini tabiat itu berjangkit pada saya. Memang penat kalau sering diusik oleh rakan-rakan. Setakat ini kawan-kawan rapat tidak pernah membuli saya. Semuanya berlaku apabila saya terkejut.

“Kalau boleh saya mahu kurangkan tabiat ni, sebab tak manis. Yalah, muda-muda lagi sudah melatah, lainlah kalau orang tua. Selalunya apabila menyanyi di pentas, saya akan cuba mengawal diri daripada melatah. Malu kalau berlaku lebih-lebih kalau keluar perkataan-perkataan yang kurang manis,” katanya sambil tersenyum.

Adel yang kini berada di Semenanjung selama 10 hari untuk mempromosi single kedua, Beranilah berkata, lagu berentak pop dance itu diterbitkan oleh Angsana Music Group.

Jelasnya, single kedua berbeza daripada Cinta Dan Tasbih yang berentak balada.

“Kalau awal dulu tampil dengan genre balada, kali ini saya tukar rentak untuk mencari kelainan. Memandangkan lagu ini rancak, saya perlu membuat banyak latihan untuk memastikan cukup stamina ketika menyanyi, apatah lagi jika diiringi dengan tarian.

“Lagu Beranilah penuh dengan motivasi bagi mereka yang tidak ada keyakinan diri. Saya harap Beranilah boleh memberi semangat kepada pendengar,” katanya.

Menurut anak kelima daripada enam beradik itu, sejak selesai menyertai program Akademi Fantasia 2014, dia kerap menerima undangan mengadakan persembahan pentas terutamanya di sekitar Sabah.

“Setakat ini tumpuan saya pada bidang nyanyian sahaja. Sesekali saya akan turun sini (Semenanjung) kalau ada undangan. Apa pun rezeki saya lebih banyak di Sabah.

“Dalam bidang lakonan pula, saya belum begitu yakin walaupun sebelum ini pernah muncul dalam telefilem Ketupat Jantung Hati bersama budak-budak AF yang lain,” katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post