Kini ketika usia kandungan Stacy Anam atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam, 26, sudah mencecah empat bulan, suaminya, Akim tidak lagi keberatan untuk berkongsi kesayangannya itu.
Bukan sahaja bercerita tentang keadaan Stacy, pemilik nama sebenar Afiq Akim Ahmad, 25, ini juga mengakui dirinya turut mengalami perubahan sepanjang kehamilan ini. Walaupun jarang berdepan masalah alahan yang teruk, Akim tidak terlepas daripada melalui episod punya perasaan mengidam.
“Ketika diberitahu Stacy mengandung, ramai juga yang mengatakan kalau bukan isteri yang alahan, ia akan terkena kepada suami. Dalam hal ini, kami bersyukur kerana tidak mengalami apa-apa alahan atau masalah. Sama ada Stacy ataupun saya sendiri, semua okey sahaja.
“Tetapi saya tidak perasan rupanya selama ini saya ada mengidam terutamanya berkaitan makanan. Baru-baru ini saya mengidam nasi goreng dabai.
Rasa hendak makan benda itu lain macam sangat, dan masalahnya nasi goreng dabai hanya ada di Sarawak. Buah dabai sangat terkenal dan boleh didapati mengikut musim sahaja. Memang susah juga.
“Nasib baik selepas itu, saya ada membuat persembahan di sana. Kebetulan masa saya sampai memang musim buah dabai, jadi dapatlah saya makan makanan yang saya idamkan itu,” cerita Akim dalam rasa cukup teruja.
Berbeza dengan dirinya, isteri pula berlainan sikap. Kehamilan pertama ini tidak memberi sebarang tekanan buat si pembawa kandungan.
“Stacy tidak mengidam sangat cuma berubah cita rasa sahaja. Sebelum ini dia kurang gemar makanan Melayu dan lebih suka masakan tradisional dari Sabah. Namun, sejak mengandung selera dia terus berubah. Bayangkan, dia boleh suka pula kepada masakan Melayu seperti masak lemak, ikan patin dan banyak lagi.
“Kadang kala saya jadi pening untuk penuhi selera dia. Nasib baik rumah kami berdekatan dengan restoran masakan Melayu dan kedai-kedai yang menjual bahan untuk memasak masakan tersebut. Bagi saya perkara ini satu pengalaman yang menarik dan berguna untuk saya bergelar bapa nanti,” cerita Akim yang ditemui selepas Konsert ERA Rock di Sarawak, baru-baru ini.
Takkan halang Stacy bekerja
Selain sanggup melayan permintaan Stacy, Akim juga tidak menghalang sekiranya Stacy ingin terus bekerja sepanjang tempoh kehamilan ini. Sedar bahawa hati seorang ibu mengandung amat sensitif, jadi dia mahu menjaga hati isterinya sebaik mungkin.
“Saya sendiri tidak menghalang sekiranya Stacy masih mahu menyanyi dan bekerja ketika mengandung ini. Saya pun tidak mahu Stacy berasa tertekan kalau saya halang dia buat apa yang dia suka.
“Semua orang tahu, hati seorang wanita yang sedang mengandung sangat sensitif. Perkara kecil pun boleh buat dia sedih atau tertekan. Jadi, saya kena jaga hatinya supaya dia tidak tertekan atau terasa dengan perbuatan saya,” katanya.
Dalam menjaga hati isteri, menurut Akim, setiap hari dia mendapat ilmu baharu yang diterapkan dalam diri.
Ilmu yang paling berguna sudah tentu dia kini belajar untuk jadi manusia yang lebih bertenang dan bersabar.
“Apa yang saya belajar sekarang ini, juga boleh saya praktik selepas Stacy melahirkan anak nanti. Anak baru lahir pastinya akan menangis, berjaga pada waktu malam dan sebagainya.
“Jadi cara ini merupakan persediaan awal saya untuk menerima ahli baru dalam keluarga kami,” ujarnya.
Akim dan Stacy sah bergelar suami isteri pada 5 Februari lalu dalam majlis yang berlangsung di Hotel Shangri La Tanjung Aru, Kota Kinabalu, Sabah. Pasangan ini mempunyai seorang anak angkat, Bella Valentina, 5.
Single baharu rock keras
Sementara itu, dalam perkembangan lain, Akim baru sahaja tampil dengan single terbaharu bersama kumpulan Akim And The Majistret. Bagi mencipta kelainan, Akim dan rakan-rakan menyanyikan lagu rock keras berjudul Lygophobia.
Meski agak sukar untuk menyanyikan lagu ini, ia tidak menghalang kumpulan tersebut daripada bereksperimen dengan muzik. Selebihnya, Akim And The Majistret ingin menampilkan kepelbagaian muzik mereka.
“Lagu Lygophobia ini khas dibuat untuk filem Khabir Bhatia. Kami diberi mandat untuk menghasilkan lagu runut bunyi filem tersebut dan saya tulis liriknya berdasarkan skrip yang dihantar kepada saya.
“Kebiasaannya, lagu runut bunyi filem atau drama ialah lagu berentak perlahan. Jadi untuk tampil berbeza, saya dan rakan-rakan lain mencipta sebuah lagu rock keras.
“Secara jujurnya, memang agak sukar untuk bawa lagu itu. Daripada menyanyi sampai ke drum, semuanya agak mencabar dan susah. Lagu ini juga agak berat berbanding lagu-lagu Akim And The Majistret sebelum ini. Tetapi kami sahut cabaran tersebut demi untuk mencari pembaharuan dalam muzik kami,” jelas Akim.