Alif Satar dan Sherry Al Hadad siap siaga


Alif dan Sherry sudah serasi digandingkan sebagai hos untuk sesebuah acara.

Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) bukan sahaja menampilkan wajah baharu sebagai finalis, tetapi meletakkan kepercayaan buat kali pertama kepada Alif Satar dan Sherry Al Hadad sebagai hos pada acara yang akan berlangsung pukul 9 malam, 11 Februari depan di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur.

Meskipun teruja dan berdebar untuk menggalas tanggungjawab yang begitu berat, mereka berdua yakin mampu memberikan yang terbaik, sementelah ini merupakan gandingan kedua mereka sebagai hos.

Sedar banyak mata yang memerhati, Alif dan Sherry bagaimanapun bersikap terbuka di atas kritikan dan kecaman yang bakal diterima kelak.

Apa perasaan Alif dan Sherry apabila terpilih sebagai hos AJL32?

Alif: Sudah tentu gembira tetapi dalam masa yang sama agak takut. Tahun lepas saya bertanding sebagai finalis dan kali ini sebagai hos. Perasaannya amat berbeza sekali. Timbul persoalan dalam diri, mampukah saya lakukan dengan baik? Hal ini kerana, AJL32 merupakan pentas berprestij paling besar pernah saya kendalikan.

Namun, saya yakin pihak TV3 bukan pilih sebarangan. Mereka tahu tahap kemampuan saya dan Sherry berdasarkan kerja kami sebelum ini.

Sherry: Saya terkejut apabila terpilih sebagai hos AJL32. Pada asalnya, saya hanya menggantikan tempat Amyra Rosli yang ketika itu hamil untuk mengacara program Muzik Muzik bersama Hefny Sahad.

Tidak sangka pula, pihak TV3 memilih saya untuk menggalas tanggungjawab hos utama AJL32. Apapun ini rezeki dan saya terus bersetuju tanpa berfikir panjang.

Sukar atau tidak untuk kalian mewujudkan keserasian?

Sherry: Sebenarnya ini kali kedua kami digandingkan. Sebelum ini sebagai hos program realiti Rockanova dan kami berkawan di luar waktu kerja. Jadi, tidak timbul isu keserasian. Walaupun saya boleh bekerja dengan sesiapa sahaja, tetapi lebih selesa bergandingan dengan rakan sendiri.


Apakah persediaan yang dilakukan kalian?

Alif: Saya pernah mengacarakan acara Anugerah Skrin tahun lalu, berdasarkan pengalaman tersebut jika terlalu ramai hos di atas satu pentas, ia akan menjadi kucar-kacir. Jadi, saya beri kata putus kepada pihak TV3 mahu mengacara secara solo atau berdua sahaja. Alhamdulillah, saya diberi pasangan yang sama kepala dan jiwa.

Kami akan menjalani latihan, beri idea bersama dan komitmen 100 peratus. Paling penting jika terlupa atau ada masalah di atas pentas, Sherry boleh tolong saya.

Sherry: Saya tidak percaya kepada pengacaraan secara spontan, semuanya perlu dirancang. Walaupun dalam televisyen hanya nampak kami berdua, tetapi hakikatnya ramai orang membantu di belakang pentas seperti penerbit, pengarah dan kru.

Jika saya buat kepala sendiri akan menyusahkan orang lain. Magis tidak akan berlaku begitu, sebaliknya ia perlu rancangan dan latihan yang keras. Saya harus sedar diri, sedar ruang serta sedar dengan siapa kita bekerja.

Adakah kalian sudah bersedia untuk menerima kritikan dan kecaman orang ramai?

Alif: Kita tidak boleh puaskan hati semua orang, apa yang penting buat kerja sebaik mungkin. Walaupun agak takut, namun telah bersedia dengan apa sahaja pandangan orang terhadap kualiti kerja saya.

Selain kualiti kerja, fesyen hos juga sering menjadi perhatian. Bersesuaian dengan tema Fesyen dan Muzik untuk AJL32. Sejauh mana Sherry sanggup bereksperimen dalam fesyen?

Sherry: Saya tidak boleh melampau dalam berfesyen kerana sedar memiliki tubuh badan yang sangat unik (ketawa). Jadi, sukar untuk bereksperimen, sebaliknya saya harus memakai warna dan bentuk yang sesuai dengan tubuh badan. Apa yang penting, saya selesa dan sedap mata memandang sudah memadai. Pada malam itu saya akan menggayakan busana rekaan. Datuk Rizalman Ibrahim.



Post a Comment

Previous Post Next Post