Indonesia - Ramai peminat Bunkface di Indonesia memberikan komen positif tentang pemilihan Gunung Bromo sebagai lokasi penggambaran klip video Kembalii. Ia malah telah ditonton sebanyak 74 ribu kali di YouTube.
Mencecah usia 10 tahun pada 2016, umpama memberi petanda buat kumpulan muzik rock punk, Bunkface untuk perlahan-lahan mencuba sesuatu yang berbeza dalam karier nyanyian mereka.
Bukan mahu ‘membunuh’ terus identiti asal Bunkface, namun kumpulan yang dianggotai oleh Shamsul Anuar (Sam) selaku vokalis, Farouk Jaafar atau Youk (gitar bass) dan Ahmad Farhan (Paan) bermain gitar utama sedar selera muzik mereka berubah seiring dengan masa dan zaman.
Jika pada awal kemunculan sekitar tahun 2006 dahulu mereka terkenal dengan lagu-lagu berentak pantas dan bertenaga, kini Bunkface mahu lebih fokus kepada muzik yang tenang serta sedikit perlahan.
Kata Sam, bila mereka mula menyatakan hasrat untuk ke arah genre itu, ramai peminat mempersoalkan keputusan tersebut namun sebagai pemuzik, itu adalah perkara yang perlu dilakukan.
“Kami adalah orang yang akan mencipta lagu yang disukai dan bukan sekadar untuk memuaskan hati orang lain. Bunkface sudah melepasi fasa remaja dan kami juga sudah semakin berusia, maka kecenderungan muzik juga berubah.
“Sebagai seorang anak seni, evolusi itu penting dan tidak boleh selamanya berada pada takuk lama. Saya yakin peminat setia Bunkface akan memahami langkah yang kami ambil untuk memulakan dekad baharu bagi kumpulan ini,” katanya pada satu sidang akhbar single terbaharu Kembalii di BF Rock Studio di Subang Jaya baru-baru ini.
Bunkface - Kembali
Kembalii
Seiring dengan niat mereka untuk menukar selera dalam pemilihan genre muzik, Bunkface tampil dengan single terbaharu mereka, Kembalii yang dirakam semula dan diberi nafas baharu.
Kata Paan, Kembalii sebenarnya sudah dimuatkan dalam album mereka sebelum ini iaitu Malam Ini kita Punya, namun ia tidak diketengahkan sepenuhnya seperti lagu-lagu lain.
Berasakan single itu memiliki banyak potensi yang perlu didengari oleh peminat maka mereka mengambil keputusan merakam semula lagu tersebut mengikut rentak berbeza.
“Menerusi Kembalii, peminat perlahan-lahan akan dapat melihat perubahan arah tuju kami dalam pemilihan muzik dan ia akan kedengaran segar serta terkini.
“Jangan risau, Bunkface masih wujud, cuma kami berevolusi untuk terus maju ke hadapan bagi memastikan muzik yang kami perjuangkan terus relevan dalam industri,” tegasnya lagi.
Sempat ditanya adakah Bunkface berasakan bahang persaingan daripada artis baharu sehingga perlu mengubah warna muzik kumpulan itu, Paan pantas menafikan hal tersebut. Tegasnya, mereka berubah kerana mahu sama-sama menyemarakkan lagi industri.
Mengakui sedikit kecewa dengan penyanyi junior yang dilihat tidak mahu mencuba genre muzik baharu dan sekadar mengikut arus semasa, Bunkface cuba mengubah situasi itu dengan menjadi yang pertama bereksperimentasi.
“Sebagai kumpulan yang sudah melalui banyak perubahan zaman dan muzik, kami melihat penyanyi sekarang tidak berani mencipta identiti sendiri kerana bimbang ditolak peminat.
“Bunkface tiada masalah dengan kehebatan populariti artis-artis baharu, malah cuba belajar bagaimana mengendalikan dunia media sosial seperti mereka.
Cuma, sepatutnya lagu-lagu yang dibawakan perlulah menggambarkan masa depan dan bukan semakin mundur ke belakang,” luahnya satu persatu.
Pengalaman
Berbalik semula kepada lagu Kembalii, Youk juga sempat berkongsi pengalaman mereka menjalani penggambaran klip video single tersebut di puncak Gunung Bromo, Indonesia pada bulan April lalu.
Meskipun pada mulanya Youk membayangkan pergunungan di New Zealand ketika merakam lagu Kembalii, namun kekangan kos serta masa memaksa mereka mencari alternatif lain di Indonesia.
Ternyata pilihan untuk melakukan penggambaran di puncak gunung tersebut bukan satu keputusan yang mengecewakan kerana mereka berjaya menemukan pemandangan yang hampir serupa dengan Switzerland tetapi jauh lebih menguntungkan.
“Kami berada di sana selama tiga hari empat malam dan setiap sudut yang terakam dalam klip video ini sangat memuaskan hati saya.
“Hal ini juga salah satu cara untuk Bunkface memulakan salam kenal dengan peminat Indonesia dengan menghargai keindahan bumi mereka menerusi klip video Kembalii,” tuturnya yakin.
Selain Kembalii, Bunkface juga dalam proses merakam album baharu yang dijangka dilancarkan sekitar awal tahun hadapan dan masih dalam proses rakaman lagu.
Menyimpan hasrat berkolaborasi dengan penyanyi legenda, Datuk Jeffrydin untuk album tersebut, Paan berkata, beliau adalah individu pertama yang terlintas dalam fikiran yang bertepatan dengan muzik baharu mereka.
“Masih belum ada sebarang perbincangan dibuat dengan Jeffrydin tetapi insya-Allah, ia akan dibuat secepat mungkin,” tuturnya lagi.