Gara-gara menumbuk muka seorang pekerja kelab golf, pelakon terkenal, Sharnaaz Ahmad didenda RM1,200 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini.
Sharnaaz,32, turut diperintah menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Mahyuddin Mohammad Som selepas pelakon, Suamiku Encik Sotong itu mengaku bersalah.
Sharnaaz, atau nama sebenarnya, Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 32, mengaku bersalah sengaja mendatangkan kecederaan dengan menumbuk muka Gous Ali.
Kesalahan itu dilakukan di Level 1, TPC KL di Kuala Lumpur Golf Country Club,(KLGCC) Taman Tun Dr Ismail, dekat sini jam 5.30 petang pada 22 Julai lalu.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Farah Adila Noordin mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Sharnaaz, melalui peguamnya, Zulkifli Awang merayu memberi hukuman ringan atas alasan telah insaf.
"Tertuduh juga telah memohon maaf kepada pengadu," katanya.
Suami kepada Noor Nabila itu hadir sendirian ke mahkamah kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya.