Ayda Jebat setuju jumpa produksi Muzik Muzik


Niat penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat untuk mengetahui sistem pemarkahan yang diaplikasikan pihak produksi pada pentas separuh akhir Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) yang berlangsung beberapa minggu lalu menimbulkan pelbagai reaksi daripada peminat dan pemerhati muzik.

Ada segelintir peminat memuji tindakannya itu, dan melabelkan Ayda sebagai penyanyi yang berani untuk memperbaiki kelemahan diri selepas lagu taruhannya, Mata, gagal ke pentas AJL32.
Bagaimanapun, ada juga melemparkan kritikan dan menganggap Ayda atau nama sebenarnya, Nur Suhada Jebat secara suka-suka mempertikaikan tugas juri yang terlibat.

Bertemu pada majlis tayangan perdana filem Pinjamkan Hatiku yang berlangsung di GSC Pavilion, Kuala Lumpur baru-baru ini, Ayda menyifatkan kelantangannya di media sosial sebagai satu proses untuk memperbaiki kelemahan diri.

Katanya, dia tidak pernah mempertikaikan tugas juri, apatah lagi meremehkan pilihan mereka terhadap 12 lagu yang bakal bertanding.

Cuma, Ayda mahukan kepastian mengenai kelemahan lagunya dan juga apa yang boleh dibuat untuk meloloskan diri ke pentas AJL pada masa akan datang.

Dalam masa yang sama, Ayda turut menerima undangan Ketua Bahagian Hiburan Primeworks Studios, Muhammad Sufian Che Isa untuk bersemuka dan berbincang bagi menyelesaikan isu tersebut.

KOSMO!: Selepas lagu Mata gagal mara ke AJL32, Ayda ada membalas beberapa komen peminat di Instagram dan menyatakan hasrat mahu mengetahui markah diberikan juri terhadap lagu tersebut. Bagaimanapun, niat anda itu telah disalah anggap oleh khalayak. Untuk memperbetulkan keadaan, boleh ceritakan apakah perkara sebenar yang berlaku di sebalik isu pemarkahan ini?

Sejurus selepas lagu tidak diumumkan layak ke AJL32, saya terus bertanya kepada pihak produksi bagaimana saya boleh melihat markah yang diberikan juri kepada lagu Mata. Bagaimanapun, pihak produksi enggan membenarkan saya berbuat demikian kerana menyifatkan markah-markah peserta sebagai sulit dan persendirian.

Apakah alasan yang anda berikan terhadap pihak produksi sewaktu meminta kebenaran mereka untuk melihat markah lagu tersebut?

Saya jelaskan hanya mahu mengetahui kelemahan yang ada pada lagu Mata. Saya tidak mahu tahu markah atau kedudukan lagu lain. Jadi, apabila sudah tahu kelemahan diri, saya tidak akan mengulangi kesilapan yang sama pada masa depan.

Selepas beberapa lama isu ini diperkatakan, Sufian akhirnya mengundang anda untuk bersemuka. Apakah respons anda ketika mendapat tahu bahawa pihak produksi sedia untuk berbincang?

Saya berasa berbesar hati apabila pihak produksi menghubungi saya. Sekurang-kurangnya, saya berasa dihargai selepas memberikan komitmen seratus peratus terhadap lagu tersebut. Namun, saya dan pihak pengurusan masih belum menentukan bila kami akan berjumpa.

Tidakkah anda risau isu ini bakal menyebabkan anda sukar untuk mendapat tempat pada AJL33 kelak?

Jika lagu saya bagus, kenapa tidak ia dipertandingkan di AJL? Melainkan mereka tidak menyukai saya dan perkara tersebut boleh dianggap tidak profesional.

Pernah rasa putus asa untuk menyertai AJL?

Beginilah, pentas AJL merupakan idaman semua penyanyi. AJL dianggap sebagai pentas berprestij untuk penggiat seni suara dan muzik. Saya tidak akan berputus asa, asalkan tahu di mana kelemahan saya.

Ayda, boleh kongsikan sedikit perasaan menantikan filem pertama lakonan anda, Pinjamkan Hatiku yang bakal menemui penonton pada 30 November depan?

Sejujurnya saya berasa sangat teruja dan dalam masa yang sama sedikit berdebar. Maklumlah, filem ini merupakan naskhah layar lebar pertama yang saya jayakan. Apa pun, saya berharap filem ini sukses dan menepati cita rasa para peminat.

Post a Comment

Previous Post Next Post