Penyanyi dangdut terkenal, Mas Idayu menganggap rakaman parodi dirinya memarahi peserta program realiti Indonesia, D’Academy Asia, Baby Shima dengan ungkapan ‘ada nampak mummy senyum’ yang tular sejak minggu lalu sebagai sesuatu yang melucukan.
Video Mas Idayu menengking Baby Shima dalam laman sosial (Kredit Maison D'or Network)
Mas Idayu atau nama sebenarnya Masidayu Mesnun, 48, berkata, dia seorang yang tidak terlalu aktif di dunia laman sosial dan sekadar menggunakan akaun Instagramnya untuk mengemaskini perkembangan kerjayanya sahaja.
“Saya rasa parodi tular itu lucu malah adik saya juga ada yang membuat video yang sama. Biasalah benda-benda tular ini, saya tidak melihat ia sebagai satu masalah.
“Lagipun saya marah Baby Shima yang juga mewakili Malaysia untuk kebaikan dia juga. Jika pada pandangan orang lain ia keterlaluan, itu terserah pada penilaian masing-masing,” katanya menerusi mesej WhatsApp kepada Kosmo! hari ini.
Tambah Mas Idayu, dia juga tidak melihat video parodi sebagai gurauan keterlaluan yang boleh menjejaskan kredibilitinya sebagai seprang juri tetap D’Academy Asia kerana yakin setiap orang boleh membezakan perkara yang serius atau gurauan.
“Pada saya, jika pembikin video parodi itu berniat buruk maka itu urusan dia dengan Tuhan. Saya cuma menjalankan tanggungjawab saya sebagai juri dan memberi teguran mengikut apa yang saya rasakan perlu.
“Baby Shima juga tiada masalah dengan saya selepas malam itu malah hubungan kami erat seperti biasa kerana dia tahu saya menegur bukan suka-suka tetapi untuk kebaikan dia,” tegasnya lagi.
Terdahulu, video pelantun lagu Cintaku 100% itu menengking Baby Shima menjadi tular kerana dianggap keterlaluan sebelum ia menjadi bahan parodi peminat media sosial.
Ungkapan Mas Idayu sewaktu sedang marah iaitu ‘ada nampak Mummy (panggilan kepada Mas Idayu) senyum’ turut menjadi popular dalam kalangan pengguna laman sosial.