Benar kata orang, kehadiran anak mampu mengubah segala perkara dalam kehidupan pasangan suami isteri. Sesungguhnya hal itu yang sedang dialami oleh bekas juara Akademi Fantasia musim kelima, Mila Jirin.
Baru lima bulan bergelar ibu kepada seorang cahaya mata lelaki hasil perkahwinan yang dibina bersama jejaka pilihan hati, Isz Mustapha pada 11 November 2015 lalu, wanita berusia 30 tahun itu begitu teruja ketika diajak bercerita tentang perkembangan permata hati sulungnya itu.
Ternyata, kehadiran Mohd. Arif Zikri bukan sahaja mengubah jadual kerjayanya malah sebagai ibu dia kini mengakui lebih mengutamakan keperluan anak berbanding diri.
“Anak saya sekarang sudah berusia lima bulan. Arif semakin aktif dan banyak perubahan yang saya alami selepas dia lahir. Jika dahulu banyak aktiviti dilakukan di luar rumah, namun sekarang saya selalu rasa ingin balik cepat berjumpa dengan anak. Malah, saya juga sering mengutamakan keperluan Arif apabila keluar membeli-belah.
“Mujur saya dan suami menjalankan perniagaan sendiri, jadi apabila perlu ke pejabat, saya pasti akan membawanya bersama,” kongsi Mila ketika ditemui pada sidang akhbar Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor 2017 di Damansara, baru-baru ini.
Tambah pemilik nama lengkap Norsyarmilla Jirin itu lagi, menjadi ibu juga membuatkan dia lebih memahami naluri keibuan sama seperti yang dilalui kebanyakan wanita berkahwin.
“Sejujurnya baru saya faham maksud naluri seorang ibu. Hal itu mengingatkan saya ketika memulakan kerjaya sebagai penyanyi dan menetap sendirian di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu. Setiap hari ibu pasti akan menghubungi saya dan bertanyakan keadaan.
“Hal itu berlaku kepada saya sekarang apabila setiap masa pasti akan memikirkan soal Arif yang kadangkala terpaksa ditinggalkan bersama pembantu di rumah,” ujarnya sambil tertawa.
Waspada
Terus rancak berbicara, sengaja kemudian pelantun Aku Lebih Tahu itu diusik tentang kontroversi yang melanda dirinya awal bulan ini.
Mila yang sebelum ini dikenali sebagai artis polos lebih-lebih lagi selepas mendirikan rumah tangga diduga apabila menjadi mangsa kecaman netizen dek kerana gambar aksinya dikatakan kurang sopan tersebar di laman sosial.
“Sebenarnya gambar berkenaan diambil secara suka-suka selepas sesi fotografi bersama sebuah akhbar tempoh hari. Gambar itu diambil oleh pereka fesyen yang mereka baju saya tempoh hari.
“Silap saya juga kerana lupa mengingatkan mereka supaya jangan dikongsi gambar itu kepada sesiapa. Sekali pandang memang seperti tidak memakai seluar, namun saya masih waras. Cuma posisi dan tempat gambar itu diambil membuatkan ia seperti kurang sopan,” terang Mila.
Mengakui segala yang berlaku adalah khilaf dirinya, kongsi Mila dia terkejut kerana secara tiba-tiba notifikasi akaun Instagram miliknya dipenuhi dengan ratusan komen negatif.
Pada masa sama, Mila tidak boleh mengelak daripada berasa kesal kerana tanpa memikirkan perasaan orang lain, peminat turut mengaitkan situasi tersebut anak dan suaminya.
“Hendak dijadikan cerita, saya tidak aktif di Instagram pada hari kejadian. Dua hari selepas itu baru saya perasan, tetapi tidak berani membaca semua komen itu. Saya meminta suami yang membuka semua komen berkenan, dan dia terus mengarahkan agar pereka fesyen yang terlibat memadamkan gambar berkenaan.
“Perkara ini bertambah kurang enak apabila ada netizen mengaitkan suami dan anak saya, padahal mereka tidak bersalah langsung. Perkara ini benar-benar memberi pengajaran agar saya lebih berhati-hati dalam setiap tingkah laku terutamanya selepas menjadi isteri dan ibu,” kongsi Mila dengan penuh tekad.
Kembali aktif
Bercerita tentang perkembangan terkini, wanita kelahiran Teluk Kumbar, Pulau Pinang itu optimis dengan keputusannya untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian biarpun tidak terpilih untuk meneruskan perjuangan dalam rancangan AF Megastar.
Mendapat lampu hijau daripada suami untuk terus mengejar minat dalam dunia nyanyian, Mila kini sedang mencari material yang bersesuaian sebelum tampil dengan lagu baharu.
“Perancangan untuk tampil dengan single baharu terdetik sebelum menyertai AF Megastar. Secara kebetulan saya diundang untuk menyertai uji bakat program berkenaan, jadi perancangan single terpaksa ditangguh seketika.
“Apabila tiada rezeki untuk meneruskan perjuangan dalam AF Megastar, ia membuatkan saya terus bersemangat untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian,” katanya.
Tampil kali terakhir dengan single Bukan Isteri Sempurna ciptaan Eddie Hamid kira-kira dua tahun lalu, Mila bagaimanapun mengakui sedikit gementar dengan situasi industri sekarang.
Namun sebagai anak seni, Mila terpaksa akur dengan kehendak semasa yang mementingkan penggunaan media sosial sebagai salah satu platform untuk mempromosikan diri.
“Sejujurnya saya agak gementar untuk kembali aktif disebabkan tempoh yang terlalu lama tidak tampil dengan sebarang karya baharu. Saya perlu mempersiapkan diri dengan mental dan fizikal yang kuat untuk menghadapi sebarang kecaman daripada peminat.
“Sekarang saya aktif di Instagram hanya dua atau tiga hari sekali, tetapi untuk masa akan datang saya perlu mengubahnya. Malah jika perlu, saya juga akan menyanyikan beberapa lagu saduran dalam rangka mempromosikan diri,” katanya yang mengharapkan kehadiran sebuah material yang matang seiring dengan umurnya.
Ditebak soal keinginannya mahu terus bernyanyi biarpun sudah berjaya dalam bidang perniagaan Bizmilla Catering, wanita itu kemudian menguntum senyuman.
Ujarnya, darah seni yang mengalir dalam diri membuatkan dia tidak pernah sesekali memadamkan minat dalam dunia nyanyian.
“Tidak dinafikan dahulu menyanyi merupakan salah satu mata pencarian saya. Alhamdulillah, sekarang rezeki saya lebih ke arah bidang perniagaan pula.
“Saya ingin kembali aktif bernyanyi disebabkan rasa rindu dan minat yang tidak pernah padam. Saya rasa sudah tiba masa yang sesuai untuk aktif. Lebih-lebih lagi anak saya semakin membesar, ditambah pula dengan permintaan peminat ketika menyertai AF Megastar tempoh hari,” katanya menutup bicara.