Fendi Bakri mengorak langkah


Meskipun sudah hampir lima tahun berkecimpung dalam bidang lakonan namun nama Fendi Bakri mungkin masih agak asing bagi peminat. Pun begitu, sebenarnya pelakon berusia 29 tahun ini sudah berlakon lebih 10 drama dan dua filem.

Menurut Fendi atau nama sebenarnya Mohd Affandi Nor Bakri, dia mengakui namanya agak kurang dikenali mungkin kerana kurang publisiti. Namun bukan salah sesiapa sebaliknya itu adalah prinsip dirinya sendiri.

"Saya mula berlakon selepas tamat Hero Remaja 2012. Ketika itu, pemenangnya adalah Fattah Amin. Saya bermula dengan Zeel Production dan kemudian Osman Ali asah bakat saya lagi dan memperkenalkan kepada rakan-rakan dalam industri. Jadi, dari situlah saya kenal dunia lakonan.

"Ketika itu saya tak banyak berlakon dan watak pun hanya ekstra saja. Jadi saya fikir tak perlulah terlalu menonjol kepada media sebab tak ada apa yang istimewa. Saya berdiam diri sebab nak tonjolkan diri dengan bakat dan bukan dengan cerita biasa," jelas Fendi merendah diri.

Tambahnya, setiap kali muncul dengan cerita baru, dia akan pastikan imejnya berbeza.

"Agaknya sebab itulah orang tak berapa kenal saya. Dalam TV saya nampak lain tapi di luar saya lain. Biasalah kalau ada yang tanya nampak macam kenal tapi nampak kat mana ya?" katanya sambil ketawa.

Tambahnya, antara sebab lain namanya lambat naik kerana fokusnya bukan semata-mata di bidang lakonan sebaliknya sibuk menguruskan syarikat yang diusahakan bersama rakan, Lotus LC Management.

"Kerana minat. Saya suka bagi training pada orang. Mula-mula sekadar suka-suka saja tapi lama-kelamaan jadi best. Setiap kali training mesti akan jumpa dengan orang baru yang pelbagai ragam.

"Cuma beberapa tahun kebelakangan saya nampak lebih aktif berlakon," kata Fendi.


Hingga kini, kata Fendi, dia lebih selesa bergerak sendiri tanpa pihak pengurusan.

"Saya faham, sebagai orang baru yang tak ada apa-apa mungkin agak sukar untuk mana-mana pihak ambil saya sebagai artis di bawah pengurusan mereka," ujarnya.

Justeru, katanya, dia berusaha menjalin hubungan baik dengan semua orang dalam industri untuk mendapatkan perhatian.

"Insya-ALLAH, selepas ini saya akan berada di bawah bumbung syarikat pengurusan Prokuya Studios, milik Fadzil Zahari. Tengoklah macam mana nanti syarikat ini boleh membantu memperkembangkan kerjaya seni saya,

"Saya kenal Fadzil ketika kami berlakon bersama di dalam drama Kerna Syurga Bukan Percuma, Jadi dari situlah, kami berbual dan terus saya berminat untuk turut serta dengan syarikat pengurusannya. Ada beberapa projek juga yang kami sedang bincangkan. Insya-ALLAH," kata Fendi lagi.

Percaya rezeki

Bercerita rakan seangkatannya, Fattah Amin, Syafiq Kyle dan Saharul Ridzwan, yang telah terlebih dahulu mengecap populariti mendadak berbanding diri sendiri yang masih mencari tapak kukuh, kata Fendi, dia tidak kisah dengan situasi tersebut sebaliknya terus berfikiran positif.

"Tidak cemburu langsung pun. Kami kalau berjumpa tetap berbual seperti biasa. Lagipun saya anggap ini adalah rezeki masing-masing.

"Untuk diri saya sendiri, mungkin sebab saya belum dapat lagi slot yang popular yang boleh membuatkan orang betul-betul kenal dengan saya.

"Tak ada masalah, saya pun banyak yang perlu belajar lagi," katanya yang turut menyertai Persatuan Teater Negeri Perlis.

Post a Comment

Previous Post Next Post