Barisan penyampai Zayan, (dari kiri) Raqib, Anas, Lyn, Mawi, Falyq (kanan) bersama PU Tahar.
Radio Astro telah melancarkan sebuah lagi radio berbahasa Melayu di bawah naungannya iaitu Zayan yang memberi fokus kepada pengisian serta kandungan yang positif dan segar buat generasi muda.
Zayan yang membawa maksud keindahan meletakkan golongan usia bermula dari 18 hingga 35 tahun sebagai sasaran dengan konsep yang masih belum diterokai oleh mana-mana stesen radio.
Membawakan konsep Muslim kontemporari, Zayan menawarkan pengisian lagu serta kandungan yang berteraskan kemanusiaan dengan tujuan menerapkan aura serta mesej positif kepada pendengarnya.
Menurut Pengurus Kandungan Zayan, Wan Syahrul Amry Wan Mansor, stesen tersebut memberikan pendengar satu pilihan baharu untuk didengari dan ia dijamin berbeza dari segala sudut termasuk pemilihan lagu dan isi kandungan segmen-segmennya.
“Kehadiran Zayan dalam industri bukan sekadar untuk memenuhi ruang kosong dalam frekuensi tetapi ia diwujudkan dengan tujuan yang spesifik iaitu membawakan sebuah gaya hidup positif dan berlandaskan agama menerusi cara moden.
“Kami amat menitikberatkan setiap pemilihan lagu agar ia tidak tergelincir dari landasan konsep asal kami dan setakat ini, ramai pendengar yang mendengarkan radio Zayan memberi maklum balas positif dan menerima apa yang cuba disampaikan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Zayan di APW Bangsar, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Stesen baharu ini diterajui oleh lima penyampai yang bertenaga, ceria dan berprinsip tinggi iaitu Mawi, Anas Tahir, Lyn Ariffin, Raqib dan Falyq yang mengendalikan empat segmen utama iaitu Salam Bros, ZOTD, Zayan Valet dan Zayan Cafe.
Impian
Sementara itu, bagi Mawi yang juga seorang penyanyi terkenal, tawaran untuk bergelar deejay di Zayan seperti impian tertunda yang baru ditunaikan sejak namanya lebih dikenali dalam dunia nyanyian dan lakonan.
Menurut Mawi, menjadi deejay ialah pekerjaan tetapnya di sebuah pasar raya di Johor Bahru sebelum dia menyertai program realiti Akademi Fantasia 3 pada tahun 2005.
Menganggap rezeki di Zayan sebagai sesuatu yang memenuhi cita rasanya, Mawi berharap pengalaman sebagai deejay pasar raya sedikit sebanyak membantu dalam mencuri perhatian pendengar.
“Saya sudah lama mahu menjadi penyampai radio kerana ia sebuah pekerjaan yang memerlukan otak kita sentiasa ligat berfikir agar pendengar tidak jemu atau bosan.
“Konsep Zayan yang ceria dan positif juga salah satu cara terbaik untuk mendekati dan pada masa berdakwah secara moden kepada golongan muda masa kini,” katanya yang mengendalikan segmen Salam Bros bersama Anas Tahir.