Gabriella Robinson cinta mati Hans Isaac


KAHWIN - Selepas bertunang pada Januari lalu, Hans dan Gabriella memilih tanggal 29 Julai depan sebagai hari yang akan menyatukan mereka.

SEKITAR pertengahan tahun lalu, ketika diajukan soalan mengenai soal jodoh dan perihal calon yang bakal bergelar suri hidupnya, Datuk Hans Isaac tidak pernah memberikan jawapan yang tepat.

Tiada sebarang huraian lengkap yang meluncur keluar dari bibir pelakon dan penerbit yang terkenal menerusi filem Cuci itu. Sebaliknya, beliau hanya meletakkan tahun 2017 sebagai anggaran masa yang sesuai untuk menamatkan zaman bujang.

Ternyata, ia bukan suatu omong kosong. Hasrat tersebut kini hampir menjadi kenyataan. Pemilik nama lengkap Gerald Hans Isaac itu bakal menamatkan zaman bujang pada 29 Julai depan bersama pilihan hatinya, Gabriella Robinson yang dikenali sewaktu mengisi kerusi juri bagi pertandingan ratu cantik Miss Universe pada tahun 2011.

“Semuanya bermula sewaktu saya ditugaskan untuk menjadi juri bagi pertandingan tersebut. Gabriella adalah salah seorang pesertanya. Ketika itu, saya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh pihak penganjur dan meletakkan sempadan antara kami berdua. Selepas pertandingan, kami hanya bergelar rakan biasa sahaja.

“Sehingga tahun lepas, saya dan Gabriella benar-benar rapat sebelum bercinta,” katanya pada sidang akhbar khas di Hotel Majestic, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kongsi Hans, beliau memilih wanita tinggi lampai berusia 28 tahun itu untuk dijadikan teman hidup kerana sifatnya yang lemah-lembut dan sering berada di sisinya saat susah dan senang.

“Sewaktu bergelar sahabat, Gabriella tahu banyak tentang diri saya, termasuklah kisah percintaan saya terdahulu. Dia juga seorang yang mudah dan sering mengingatkan saya tentang bumi tempat saya berpijak.

“Saya tahu, walau apa pun yang berlaku kelak, dia tetap akan berada di sisi saya untuk selamanya. Dia cinta mati saya,” ujar Hans yang melamar Gabriella di Singapura pada 29 Januari lalu.

Sinis

Namun, keterujaan yang dikongsi oleh Hans dan Gabriella seperti tidak disenangi oleh segelintir pihak.

Sehari selepas berita pengumuman tarikh perkahwinan mereka disiarkan, seorang lelaki yang dikenali sebagai Robin Coenraad telah memuat naik status berbaur tidak senang hati di laman Facebook miliknya.

Menerusi kemas kini tersebut, Robin menyatakan Gabriella masih lagi bergelar kekasihnya ketika wanita itu menerima lamaran perkahwinan oleh Hans pada Januari lalu. Tidak mahu terus berdiam diri, Hans menerusi akaun Instagramnya tampil membela Gabriella.

“Malang sekali, masih ada segelintir orang yang tidak mahu menghormati perasaan orang lain yang sedang teruja menantikan hari bahagia mereka.

“Barangkali, lelaki tersebut tidak mempunyai sebarang pekerjaan lain sehingga mahu menarik perhatian umum dengan cara sebegini,” ujar beliau.

Secara sinis, Hans turut menyelar individu tersebut yang dianggap sengaja memburukkan nama Gabriella sebagai bakal isterinya.

“Apa yang boleh saya katakan, saya sangat bersimpati dengannya. Kesian, dia perlukan kehidupan,” ujar Hans lagi.

Lamaran

Berbalik pada hubungannya bersama Gabriella, Hans punya kisah menarik yang ingin dikongsikan sewaktu beliau melamar pemenang Miss Tourism International 2012 itu di Singapura.

“Saya terbang ke Singapura bersama Gabriella sewaktu cuti Tahun Baru Cina awal tahun ini. Ketika itu, saya telah bercadang untuk melamarnya tetapi belum memikirkan cara yang sesuai,” ujar Hans yang hampir memilih Singapore Flyer sebagai lokasi untuk melamar bakal isterinya.

Namun, kebuntuan pelakon yang mula membina nama menerusi filem Ringgit Kasorga itu berakhir ketika dalam perjalanan pulang menuju ke hotel penginapannya.

“Teksi yang saya naiki berhenti betul-betul di hadapan Gereja Good Shephard, iaitu tempat mendiang ibu dan ayah saya berkahwin.

“Ketika itu juga idea untuk melamar Gabriella di sana tercetus secara spontan,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun, satu ‘penipuan’ besar terpaksa dilakukan demi memancing perhatian Gabriella untuk mengikutinya ke gereja tersebut.

“Saya terpaksa menipu Gabriella dan mengatakan bahawa tarikh 29 Januari sebagai tarikh ulang tahun perkahwinan ibu dan bapa saya.

“Biarpun terpaksa menipu dan melalui pelbagai cabaran, semua perancangan berjalan dengan lancar. Gabriella secara rasmi bergelar tunang saya pada tarikh tersebut,” ujar Hans sambil tertawa.

Keluarga

Melanjutkan sesi wawancara, Gabriella ditanya mengenai ciri-ciri istimewa yang ada pada Hans sehingga menyebabkannya jatuh hati pada lelaki berusia 46 tahun itu.

“Saya merupakan seorang wanita yang mementingkan keluarga. Sepanjang mengenalinya, Hans tidak pernah mengabaikan keluarganya, baik dari segi perhatian dan kebajikan.

“Selain itu, Hans juga merupakan lelaki yang bertanggungjawab dan sentiasa tahu tentang prioritinya dalam hidupnya,” jelas Gabriella.

Sementara itu, Gabriella menambah, perbezaan umur sebanyak 18 tahun tidak menjadi penghalang hubungan mereka, lebih-lebih lagi selepas mengenali Hans untuk tempoh yang agak lama.

“Jarak usia yang jauh tidak menjadi isu dalam sesebuah perhubungan.

“Apa yang penting kami saling menghormati antara satu dengan lain, itu sudah memadai,” katanya.

Bakal melangsungkan majlis perkahwinan di Gereja St. John Cathedral, Kuala Lumpur pada 29 Julai depan, Hans dan Gabriella turut merancang sebuah majlis resepsi yang diadakan pada sebelah malam di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.

Post a Comment

Previous Post Next Post