Yuna bersama keluarga Adam termasuk kakaknya, Aisyah Sinclair, abangnya, Ashraf Sinclair dan isteri, Bunga Citra Lestari.
Episod cinta antara pasangan Yuna dan Adam Yousof Sinclair sebenarnya bukan lagi satu rahsia buat peminat. Mula menjalin hubungan sejak tahun 2015, hal itu sering kali membuatkan peminat dikhabarkan dengan berita pertunangan palsu antara merpati dua sejoli ini.
Tidak mahu terus membiarkan khalayak berteka-teki tentang kisah pertunangan mereka, pemilik nama lengkap, Yunalis Mat Zara’ai itu akhirnya memilih tanggal 5 Ogos lalu sebagai tarikh keramat yang menyaksikan hubungannya dengan Adam Sinclair diikat dalam satu majlis pertunangan.
Majlis pertunangan yang berlangsung secara tertutup di kediaman ibu bapa Yuna di Shah Alam, Selangor itu penuh dengan suasana romantis sambil disaksikan ahli keluarga dan sahabat terdekat.
“Syukur alhamdulillah, majlis pertunangan kami berjalan dengan lancar. Majlis ini dihadiri oleh keluarga terdekat dan rakan-rakan karib. Kami sekeluarga sangat gembira dapat berjumpa dan bermesra dengan seluruh keluarga Adam.
“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada peminat-peminat yang selalu mendoakan kebahagiaan saya. Berkat doa anda, hari ini (Sabtu lalu) saya selamat bertunang dengan Adam Sinclair,” ujarnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan oleh pengurusnya, Nor Zaina Wardah.
Perkenalan
Menyorot kembali bibit-bibit perkenalan, pelantun lagu Terukir Di Bintang itu mengakui mula mengenali adik bongsu kepada pelakon Asyraf dan pengacara, Aisyah Sinclair itu sejak tahun 2013 yang lalu.
Ketika itu, jejaka kelahiran Riyadh, Arab Saudi itu bekerja sebagai seorang pengarah filem dan terlibat mengarahkan satu iklan komersial untuk sebuah stesen televisyen.
Ditugaskan menjadi pengarah dalam iklan yang melibatkan Yuna dalam penggambaran itu, siapa sangka hubungan yang pada mulanya sekadar teman biasa bertukar istimewa pada akhir tahun 2015.
Ternyata sikap penyayang dan baik hati jejaka berusia 32 tahun itu berjaya mencuit tangkai hati Yuna untuk membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius.
Akhirnya, wanita berusia 30 tahun yang kini berkelana di Amerika Syarikat itu nekad membawa Adam berjumpa dengan kedua ibu bapanya. Malah, Yuna juga tidak ketinggalan mengenali keluarga si kekasih hati.
Selepas mengadakan majlis merisik pada 27 Mac lalu, pasangan sama cantik sama padan itu kemudian mula membuat perancangan untuk majlis pertunangan pula.
“Pertunangan ini merupakan saat yang sangat manis bagi saya, kerana ia langkah pertama kami untuk hidup bersama dan saya sangat bersyukur berjumpa dengan seorang yang penyayang dan baik hati seperti Adam.
“Percaturan Allah itu memang sungguh indah, Adam merupakan rakan karib saya. Sepanjang perkenalan kami dia telah mewarnai hidup dan membuat saya senyum dan ketawa. Saya gembira akan bergelar isteri kepadanya suatu hari nanti, insya-Allah,” katanya.
Pada majlis itu, Yuna tampil menawan dalam balutan persalinan serba biru-kelabu hasil rekaan Hatta Dolmat.
Turut hadir meraikan hari bahagia mereka adalah kakak Adam, hos terkenal Aisyah, abang Adam iaitu pelakon Ashraf dan isterinya, bintang popular Indonesia, Bunga Citra Lestari.