Eizlan Yusof nafi jumpa bakal mertua


Pada usia 46 tahun, Eizlan Yusuf hanya mengharapkan jodoh baharunya mampu menerima dia dan tiga anaknya hasil perkahwinan terdahulu dengan sebaiknya.

Selepas bercerai dengan bekas isteri, Vie Santie Harun pada tahun 2014, pelakon Datuk Eizlan Yusuf sering dihimpit pertanyaan tentang kesediaannya mempunyai kekasih baharu atau bakal menamatkan zaman duda.

Baru-baru ini, menerusi satu ruangan gosip akhbar tempatan, Eizlan atau nama sebenarnya, Idris Md. Yusof digosipkan sudah bertemu dengan bakal mertua teman wanitanya yang didakwa seorang gadis muda berstatus pelajar universiti di luar negara.

Ditemui usai tayangan filem terbaharu lakonannya, Pencuri Hati Mr. Cinderella di ibu negara baru-baru ini, Eizlan, 46, menafikan pengisian artikel tersebut.

Eizlan amat terkejut apabila mendapat tahu tentang penyebaran hal itu sehingga mendapat ratusan mesej daripada kenalan serta media yang mengucapkan tahniah seperti dia bakal berkahwin tidak lama lagi.

Sementara itu, Eizlan bercerita tentang keterujaannya apabila diberi peluang berlakon sama dengan Ahmad Idham dalam filem Pencuri Hati Mr. Cinderella.

Menurutnya, dia juga merupakan peminat setia drama bersiri Cinderella lakonan rakan baiknya itu dan Haliza Misbun yang pernah menjadi fenomena sekitar 20 tahun lalu.

Kosmo!: Benarkah gosip atau dakwaan mengatakan Eizlan sudah bertemu dengan keluarga si gadis memohon restu untuk ke peringkat seterusnya?

Eizlan: Sejujurnya saya terkejut mendengar berita ini. Keesokan hari selepas artikel tersebut dikeluarkan, saya mendapat banyak ucapan tahniah daripada kenalan dan rakan media. Saya ingatkan saya menang anugerah atau apa, rupa-rupanya gosip berkenaan saya sudah jumpa bakal mertua. Sebenarnya, berita itu tidak benar sama sekali. Saya cuma menyatakan sudah bersedia untuk berkahwin lagi. Itu sahaja.

Kata orang, kalau tiada angin masakan pohon boleh bergoyang, mungkin anda rasa belum tiba waktunya untuk memperincikan soal ini?

Sejujurnya, saya berkawan dengan ramai orang. Sejak akhir-akhir ini baru saya mempunyai keinginan untuk lebih bersosial. Sebelum ini, masa banyak dihabiskan bersama anak-anak (Vie Zaara, Zareef Yusof dan Vie Zaalia) serta hal kerjaya.

Kalau betul-betul sudah ada dan ke arah yang lebih serius, saya akan berkongsi dengan orang ramai terutama pihak media. Insya-Allah.

Adakah anda terkilan atau kecewa dengan penyebaran berita tidak benar ini?

Mula-mula saya terkejut. Selepas beberapa kali membaca artikel tersebut, saya hanya ketawa. Sepanjang saya berkecimpung dalam bidang seni, media banyak membantu saya.

Saya tidak mahu menidakkan tulisan rakan-rakan media, cuma yang boleh saya katakan, kalau tidak keluar daripada mulut saya sendiri tentang hal itu, ia tidak benar. Tidaklah kecewa atau terkilan kerana saya lihat ia sebagai satu doa juga.

Jadi, gadis muda berstatus pelajar universiti di luar negara itu wujud atau tidak?

Saya berkawan dengan ramai orang. Barangkali apabila saya menghadiri majlis, saya berkomunikasi atau berurusan dengan pelbagai orang.

Saya pun tidak mahu menduda sampai ke tua. Kalau sudah ada yang berkenan, saya pun ingin meneruskan kehidupan saya dengan seseorang. Saya juga perlukan peneman dalam hidup kerana saya tidak suka hidup bersendirian.

Jika punya pilihan, anda mahu memperisterikan wanita muda atau berusia sedikit?

Soal perasaan, mana kenal muda atau berusia. Apa yang penting, dia mesti terima saya dan anak-anak seadanya. Kalau sudah jodoh nanti, siapa saya mampu menghalangnya.

Baiklah, boleh ceritakan sedikit tentang filem Pencuri Hati Mr. Cinderella?

Saya melakonkan watak rakan baik kepada Imran (lakonan Ahmad Idham). Seronok berlakon dalam filem ini bersama rakan lain seperti Cat Farish.

Saya pun ‘layan’ drama Cinderella suatu ketika dahulu. Ia memang satu fenomena yang hebat. Kalau ada peluang, saya berharap ada kesinambungan kisah cinta Cinderella dan Imran di layar perak nanti.

Post a Comment

Previous Post Next Post