Berseminya cinta Ummi, Izzar


Pasangan sama cantik sama padan ini memilih Switzerland sebagai lokasi berbulan madu mereka kerana Izzar gemar melihat alam semula jadi. Sebelum itu, mereka terlebih dahulu akan bercuti ke Sabah, sekaligus menyambut ulang tahun kelahiran Ummi di sana.

Berkenalan bukan atas dasar suka sama suka, namun sebaliknya dikenalkan oleh orang tua akhirnya membuahkan bibit-bibit cinta antara pelakon Ummi Nazeera bersama suaminya, Mohd. Izzar Anwari Abdul Khani.

Itu antara momen manis yang dilalui oleh Ummi, 27, sebelum selamat diijabkabulkan bersama Izzar yang merupakan seorang doktor pada 23 Julai lalu.

Pasangan itu mula berkenalan sekitar Januari tahun lalu selepas dikenalkan sendiri oleh ibu Ummi, Datuk Maziah Musa sebelum mengikat tali pertunangan pada 12 November tahun sama.

Kini, selepas lebih seminggu bergelar isteri buat Izzar, 30, pasangan itu kemudian diraikan dalam sebuah majlis resepsi penuh meriah dan mewah yang diadakan di Hotel Shangri-la, Kuala Lumpur malam Sabtu lalu.

Majlis pada malam itu turut dihadiri oleh barisan tetamu kehormat iaitu Yang Amat Mulia Tengku Seri Panglima Raja Tengku Baderulzaman Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah serta isteri, Toh Puan Seri Wan Hidayah Wan Ismail; adik kepada bapa Ummi, Datuk Aziz Mat Akhir dan isteri, Yang Amat Mulia Tengku Datuk Rahimah Almarhum Sultan Mahmud Al-Mukhtafi Billah Shah; Tan Sri Annuar Musa dan isteri; Datuk Seri Idris Jusoh; Datuk Seri Rohani Abdul Karim serta Datuk Ahmad Maslan dan isteri.

Dihadiri seramai 600 orang tetamu, pelakon drama Nur Kasih itu anggun mengenakan dua persalinan indah berwarna ungu dan hijau batu zamrud yang direka khas oleh pereka fesyen dari Indonesia, Tex Saverio dan pereka tempatan, Fizi Woo.

Lebih istimewa, majlis resepsi tersebut diserikan dengan konsep perkahwinan dalam taman hasil sentuhan perancang perkahwinanan, Razak Flora.

Namun apa yang menariknya, Ummi dan Izzar menampilkan kelainan dan kejutan apabila menghiburkan tetamu dengan persembahan tarian demi menghidupkan suasana.

“Sebenarnya ia memang idea saya dan dibantu oleh abang sebab kami mahu menghidupkan suasana majlis agar ia tidak terlalu formal.

“Lagipun, kebanyakan tetamu terdiri daripada warga yang sudah berumur, jadi kami mahu memberikan kelainan dengan sebuah majlis yang santai,” ujar Ummi ketika ditemui di Hotel Shangril-la malam Sabtu lalu.

Tenang

Bercerita tentang saat indah melayari bahtera perkahwinan, Ummi yang tersenyum manja di sisi suami berkata, dia bersyukur kerana segala perancangan untuk hari bahagianya berjalan lancar.

“Saya memanjatkan setinggi-tinggi rasa bersyukur sebab majlis kami berjalan lancar bermula daripada majlis merisik, bertunang, bernikah, majlis berinai dan resepsi pada malam ini.

“Pun begitu, tugas kami belum selesai sebab masih ada resepsi untuk sebelah suami pula selepas ini. Saya sangat gembira kerana akhirnya bergelar isteri kepada Izzar,” ujarnya.

Ditanya tentang sikap si suami yang berjaya menambat hatinya, Ummi tanpa berselindung berkata, Izzar merupakan seorang lelaki yang bijak mengawal keadaan, selain tenang.

“Orang perempuan memang tidak tentu emosinya. Seperti contoh, kalau saya merajuk, dia pandai kawal keadaan dan bijak untuk menenangkan saya.

“Secara jujur, saya suka dengan sikapnya yang menyenangkan. Sebelum resepsi kami bermula sebentar tadi pun, dia nampak saya sangat gementar dan cuba tenangkan saya dengan lembut,” tutur Ummi bersulam emosi bahagia.

Apabila diusik tentang perkara istimewa pada diri si isteri, Izzar yang kelihatan agak gementar berdepan dengan pihak media buat pertama kali mengukir senyuman manis.

Menurut lelaki itu, sikap Ummi yang pandai membawa diri sebagai seorang anak perempuan dan artis antara penyebab dia tertawan dengan pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap itu.

“Apa sahaja perkara yang dilakukan, dia akan meminta pandangan dan nasihat daripada keluarga. Jadi, dari situ saya tahu dia sangat rapat dan mementingkan keluarga dalam apa hal jua sekalipun.

“Malah, saya kagum dengannya sebab sebagai seorang wanita dan anak perempuan, dia pandai menjaga diri, apatah lagi bekerja dalam lapangan industri hiburan.

Walaupun dia suka merajuk, tetapi sebagai suami saya perlu bijak menenangkan dia,” ujar Izzar menghambur tawa bahagia.

Keluarga

Menjelaskan tentang majlis pernikahannya yang diadakan secara rahsia pada 23 Julai lalu, Ummi berkata, semuanya dilakukan demi menjaga hati pihak keluarganya yang mahu majlis itu dipercepatkan.

“Apa yang saya lakukan iaitu mempercepatkan tarikh pernikahan selain mengadakannya secara tertutup adalah untuk menjaga hati banyak pihak, terutamanya keluarga.

“Semuanya berjalan pada saat-saat akhir tetapi apabila suami sendiri bersetuju untuk majlis tersebut dilakukan lebih awal, jadi kami sekeluarga tidak menunggu lama sebab lebih elok jika mempercepatkan perkara yang baik.

“Alhamdulillah, semuanya diuruskan dengan baik oleh ibu dan bapa saudara sebelah bapa. Secara tidak langsung, ini semua membantu mengeratkan hubungan antara keluarga saya dan keluarga sebelah ayah,” ujarnya tenang.

Jika mengikut perancangan asal, pasangan itu sepatutnya mengadakan majlis pernikahan mereka pada 3 Ogos lalu.

Bagaimanpun, Ummi sah bergelar isteri kepada Izzar dengan sekali lafaz pada pukul 10.45 pagi dalam majlis tertutup yang diadakan di kediaman bapa saudaranya (sebelah ayah) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur, sekitar seminggu sebelum tarikh asal pernikahan mereka.

Menyokong

Biarpun sudah bergelar isteri, namun pemilik nama lengkap, Ummi Nazeera Nur Hidayah Zainulabadin itu masih belum berhasrat mahu menamatkan kariernya begitu sahaja, sementelah mendapat sokongan dan izin daripada suaminya.

“Suami tidak menghalang, malah dia banyak memberi sokongan kepada saya untuk terus berlakon.

“Jika diikutkan, sebelum ini pun saya bukanlah seorang yang terlalu sibuk dengan jadual kerja.

“Jadi, perancangan karier berjalan seperti biasa. Tidak terlalu sibuk agar saya dapat bahagikan masa untuk keluarga dan karier dengan seimbang,” katanya.

Dalam perkembangan terkini kariernya, Ummi bakal muncul dengan sebuah filem televisyen berjudul Bisik Pada Langit arahan Kabir Bhatia.

Post a Comment

Previous Post Next Post